Pada 16hb sehingga 18hb Julai baru ini, baru sahaja berakhir pertandingan kawad kaki peringkat kebangsaan di pusat latihan dan rekreasi Asia Camp di Kuala Kubu Baru. Seramai hampir 500 orang telah berkumpul dan berkampung di Asia Camp pada hari kemuncak pertandingan kawad kaki ini yang terdiri daripada 200 orang peserta, puluhan guru pengiring, wakil kontinjen dari PDRM, pihak media, para penyokong dan masyarakat awam yang lain. Penyertaan kontinjen dari pelbagai negeri ini mewakili unit beruniform kadet polis yang telah menjalani pelbagai modul team building and ketahanan fizikal dan mental. Setiap dari mereka membawa nama dan mewakili kontinjen negeri masing-masing. Kehadiran tetamu-tetamu VVIP seperti Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim turut menggegarkan bumi Asia Camp. Sesungguhnya, acara kawad kaki peringkat kebangsaan yang julung kali diadakan ini merupakan ‘event’ terbesar dan teramai yang pernah diuruskan oleh pihak Asia Camp setakat ini.
Terdapat 3 kriteria yang dilihat oleh para juri untuk skema pemarkahan pertandingan kawad kaki unit beruniform ini yaitu; (1) persediaan asas, (2) pergerakan kawad , dan (3) pemarkahan formasi. Di dalam kriteria pertama dan kedua, setiapnya dipecahkan lagi kepada 3 sub bahagian. Contohnya di dalam aspek persediaan, setiap ahli atau peserta kawad disemak secara detail dari asas pakaian, kekemasan diri dan pakaian serta keseragaman pasukan secara keseluruhan. Untuk aspek kedua, sub-kriteria yang dilihat melibatkan kawalan asas pergerakan peserta dan pasukan, kawalan menerima laporan dan kawalan statik pasukan. Kriteria kedua ini yakni pergerakan kawad membawa markah terkumpul yang tinggi sebanyak 50% dari keseluruhan markah untuk kumpulan penyertaan.
Para jurinya pula terdiri daripada anggota khas unit beruniform negara dari cawangan tengah (central) yang telah berpengalaman berpuluh tahun di dalam bidang keselamatan negara. Penilaian dan pemarkahan mereka adalah muktamad hasil dari ketelitian, keseriusan disiplin dan pengalaman bersama unit keselamatan kebangsaan.
Pertandingan tahunan kawad kaki peringkat kebangsaan sebegini merupakan agenda penting bagi badan-badan unit beruniform dan ia menjadi fokus utama bagi para pelajar yang menyertainya. Mereka seboleh mungkin akan berusaha sekuat daya untuk melayakkan diri untuk sampai ke peringkat akhir. Pengalaman dan peluang menghadiri pertandingan seperti ini akan membuka minda para pelajar khususnya dari 3 aspek utama; (i) mempelajari arahan hukuman dan kreativiti formasi kawad yang baru, (ii) meluaskan kenalan dari pelbagai latar belakang sekolah dan budaya, serta (iii) pengalaman hidup dan perasaan mengenai sesuatu yang baru dan ruang untuk membuktikan diri setara dan mampu menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Tentunya ia sesuatu yang mengujakan bagi para peserta dan adik-adik remaja kita.
Mari kita nikmati gambar-gambar yang sempat dirakamkan sepanjang pertandingan unit beruniform ini berlangsung.
Kesimpulannya, pertandingan sebegini yang diadakan secara tahunan merupakan satu peluang bagi para peserta dan adik-adik remaja ahli unit beruniform sekolah untuk mempelajari aspek-aspek penting dalam hidup. Aspek-aspek ini merangkumi nilai-nilai murni kehidupan seperti mempunyai fokus, berdisiplin, bekerja kuat dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu.
Bagi pihak pengurusan Asia Camp pula, pengalaman menguruskan ‘event’ besar sebegini merupakan satu peluang untuk lebih memajukan potensi perkhidmatan, meluaskan profil, dan memberikan yang terbaik untuk pelanggan. Secara umumnya, Admin berpendapat menguruskan 500 orang ‘crowd’ yang terdiri daripada pelbagai kumpulan ini bukanlah suatu kerja yang mudah. Ini melibatkan kebajikan setiap peserta, keselamatan, keselasaan dan akhirnya kepuasan para peserta, pelanggan dan masyarakat umum yang lain. Namun begitu, kami di Asia Camp bersyukur kerana program telah berlangsung dengan jayanya.
Semoga kita berjumpa lagi di tahun hadapan dengan aksi yang lebih menarik dan modul yang lebih mencabar!
Terima kasih daun keladi dari pengurusan Asia Camp.