PENERAPAN KAEDAH CORT DALAM KEM MOTIVASI MENERBITKAN IDEA KREATIF DAN SEMANGAT BERPASUKAN

Kaedah CoRT adalah satu jenis kaedah berfikir yang paling mudah dan menarik serta sesuai digunakan bagi setiap peringkat usia. Perkataan CoRT bermaksud Cognitive Research Trust diperkenalkan oleh Profesor Dr. Edward de Bono pada sekitar awal tahun 1970-an.

Kaedah ini diperkenalkan bagi tujuan menjana idea kreatif dalam diri setiap individu dengan menggunakan peralatan-peralatan yang sesuai. Selain berupaya menerbitkan sisi kreatif dalam diri individu atau kumpulan, kaedah ini juga terbukti memberi kesan positif kepada emosi setiap individu. Justeru tidak dipertikaikan lagi mengapa kaedah ini sering menjadi pilihan dalam setiap kem motivasi untuk menguji kecerdasan minda.

Melalui kaedah CoRT ini juga ada kalanya, kita dapat lihat bahawa para peserta dapat melahirkan idea secara spontan dan bertindak mengikut reaksi orang lain. Mereka tidak menggunakan daya persepsi secara konsisten dan dipengaruhi oleh situasi semasa. Justeru, TUJUH alat berfikir dalam kaedah ini diwujudkan bagi membantu individu atau kumpulan untuk membuat keputusan dengan lebih rasional dan memperluaskan persepsi individu.

Tujuh alat tersebut adalah ; –

  1. PMI (Plus, Minus, Interesting) – bermaksud menentukan baik, buruk dan menariknya sesuatu idea tersebut.
  2. CAF ( Consider All Factors) – bermaksud mempertimbangkan semua faktor dan penyebab yang ada.
  3. C&S ( Consequence and Sequal) – dalam kaedah CoRT ini ia membawa maksud meneliti kesan da akibat daripada idea tersebut dalam jangka masa panjang dan pendek.
  4. AGO (Aims, Goals, Objectives) – bermaksud menetapkan tujuan, matlamat dan objektif secara sasar dan tepat.
  5. FIP (First Important Priorities) – bermaksud memberikan keutamaan kepada perkara yang penting terlebih dahulu.
  6. APC ( Alternatives, Possibilities, Choices ) – membawa maksud menyenaraikan segala alternatif, kemungkinan dan pilihan yang boleh dibuat dan dapat diramalkan dalam sesuatu keputusan.
  7. OPV (Other Point Of View) – membawa maksud menilai pandangan individu lain atau mendengar pandangan daripada semua persepsi masyarakat yang terlibat secara lansung atau tidak lansung dalam setiap permasalahan yang timbul.

Differ

Ketujuh-tujuh elemen yang dirungkai di atas bukan sahaja salah satu kaedah terbaik untuk menjana idea dan menerbitkan sisi kreatif seseorang tetapi juga berfungsi sebagai modul membentuk kerjasama dan semangat berpasukan dalam sesebuah kumpulan dan organisasi.

EMPAT JENIS KONSEP DIRI DALAM MENENTUKAN KECEMERLANGAN PASUKAN

Konsep diri penentu kecemerlangan merupakan satu teori di mana seseorang individu itu berupaya mengenal dirinya sendiri dan menentukan konsep yang dipilih adalah positif atau negatif. Semakin individu itu memahami sejauh mana kebolehan dirinya sendiri, semakin mudah baginya untuk menjalankan tanggungjawab dan menangani permasalahan.

Terdapat empat jenis konsep diri ; –

Konsep diri jasmaniah : sekiranya seseorang itu mempunyai konsep diri jasmaniah yang positif, maka dia akan cuba untuk memandang fizikal dirinya dari sudut positif seperti “aku tetap cantik seperti dulu” dan bukannya merendah-rendahkan dirinya sendiri dengan berkata “aku sudah buruk dan aku benci melihat tubuhku”.

Sentiasa gembira sentiasa positif

Dalam konsep diri penentu kecemerlangan ini juga memperkenalkan konsep diri yang kedua iaitu konsep diri sosial ; bagi seseorang yang mempunyai konsep diri yang positif, dia akan sentiasa cuba untuk bergaul dengan baik dengan mana-mana kelompok masyarakat tanpa mengira umur, bangsa dan taraf ekonomi. Manakala, apabila seseorang itu mempunyai konsep diri social yang negatif dia tidak mampu untuk bergaul dengan masyarakat sekeliling dan menganggap pergaulan tersebut adalah suatu perkara yang membebankan.

inspiring and empowering others not one man job

 Pergaulan yang baik asas kerjasama

Konsep diri yang ketiga adalah konsep diri emosi di mana seseorang itu mampu mengawal emosinya dengan baik dan tidak mudah melatah. Selain daripada itu, dalam teori konsep diri penentu kecemerlangan ini turut menegaskan bahawa konsep diri yang negatif menunjukkan seseorang yang hanya cenderung untuk bermasam muka dan mencetuskan perbalahan. Ia adalah salah satu contoh sikap yang menjadi racun dalam semangat teambuilding yang akhirnya akan memudaratkan seluruh pasukan atau organisasi tersebut.

Manakala teori konsep diri yang keempat pula adalah dikategorikan sebagai konsep diri intelektual di mana seseorang individu itu menganggap dirinya pintar dan hebat dari segi intelektual dan akademik berdasarkan sijil-sijil yang diperolehi. Semakin tinggi pencapaian sijil tersebut iaitu Ijazah atau PHD maka semakin hebat seseorang individu tersebut.

Image result for ambil ijazah tanpa diploma

Kesimpulannya, setiap konsep diri ini tidak kira dari segi konsep diri jasmaniah, konsep diri sosial, konsep diri emosi atau konsep diri intelektual mempunyai ciri pemikiran dan perasaannya sendiri. Apa yang paling penting dalam sesebuah pasukan adalah untuk membawa semua konsep ini ke arah hala tuju positif dalam memastikan objektif pasukan tercapai.

LAGU PASUKAN SEBAGAI IDENTITI DAN SEMANGAT TEAMBUILDING

Penciptaan lagu pasukan adalah salah satu asas semangat teambuilding selain daripada mencipta logo pasukan atau memakai baju boria sesama ahli pasukan. jika diperhatikan konsep nyanyian lagu dalam pasukan ini adalah sebagai salah satu cara untuk melambangkan identiti mereka. Konsep ini bukan sahaja digunakan dalam sesebuah pasukan, malah jika kita lihat dan membuat kajian konsep mencipta dan menyanyikan lagu pasukan ini turut digunapakai oleh jabatan-jabatan berikut iaitu ;-

  1. Semua sekolah di Negara
  2. Semua jabatan kerajaan di Negara
  3. Semua negeri di Negara
  4. Semua Negara di dunia

 

LAGU MALAYSIA “NEGARAKU”

 

Dapat dibuktikan bahawa melalui penciptaan lagu pasukan akan secara automatik membangkitkan satu semangat yang dikenali sebagai keazaman dan iltizam untuk mencapai objektif pasukan. Selain daripada menimbulkan rasa bangga dan patrioritik, aura semasa menyanyikan lagu pasukan ini akan membentuk satu jati diri untuk melindungi pasukan (protective team).

Justeru, menjadi satu idea yang menarik dalam setiap kem teambuilding yang diadakan untuk mengadakan pertandingan mencipta lagu pasukan. Ketua pasukan atau ketua jabatan juga disyorkan untuk mengadakan pertandingan dalam jabatan masing-masing dan memberikan hadiah kepada sesiapa yang berjaya mencipta lagu pasukan yang baik dan sesuai mencerminkan identiti pasukan atau jabatan.

MENYANYIKAN LAGU PASUKAN

Sebagai contoh, Kementerian Kesihatan Malaysia menerapkan konsep penciptaan lagu pasukan ini dengan memperkenalkan lagu baru seiring dengan perubahan motto kementerian mereka. lagu terbaru mereka yang diberi judul “KAMI SEDIA MEMBANTU” adalah seiring dengan motto terbaru mereka.

Tidak dinafikan juga, menggubah lagu bukanlah sesuatu perkara yang mudah dah boleh disiapkan dalam sekelip mata. Justeru sekiranya mana-mana ketua pasukan ingin melatih minda ahli pasukan atau anak buah mereka menjadi lebih kreatif dan inovatif maka mengadakan pertandingan mencipta lagu pasukan atau logo pasukan adalah antara cara terbaik mengasah ketajaman minda.

Ini kerana ahli pasukan yang mempunyai fikiran yang cerdas yang mampu menghasilkan lagu pasukan tentu sahaja mampu menjana idea yang lebih kreatif dan kritis dalam menjana kecemerlangan organisasi.

 

Imaginasi adalah sama penting dengan pengetahuan – Albert Einstein

KREATIVITI : ASAS DAN KONSEP DALAM MENGENDALIKAN PROGRAM

Daya kreativiti atau pemikiran kreatif sudah lama dibincangkan dan dibahaskan secara ilmiah. Sering kali terdapat perbezaan tanggapan pada pengertian dan definisi “kreatif” itu sendiri. Namun begitu, hal ini adalah perkara biasa dalam dunia akademik kerana masing-masing merupakan tokoh akademik, penyelidik, sarjana dan dapat mengemukakan konsep yang asli berdasarkan pemerhatian, pengalaman, kajian dan latar displin ilmu yang mereka miliki.

 

Perbezaan pendapat inilah yang mencetuskan kekayaan ilmu yang mampu menjadi rujukan yang baik kepada generasi akan datang. Pemikiran kreatif turut ditakrifkan oleh para ilmuwan sebagai “the ability to bring something new existence”.

Justeru, dalam konsep mengendalikan program, daya kreativiti atau pemikiran kreatif ini mampu menjadikan sesebuah program itu lebih seronok dan akan sentiasa dikenang oleh para peserta yang menyertainya. Dapat dirumuskan bahawa konsep pemikiran kreatif ini adalah berkisar kepada entiti berikut ;-

  1. Melakukan sesuatu dengan cara dan pelaksanaan yang unik.
  2. Seseorang itu dapat keluar daripada pola yang sama atau the pattern of sameness.
  3. Berfikir di luar kotak atau thinking outside of the box.
  4. Melihat sesuatu daripada perspektif baru.
  5. Menggabungkan idea yang sedia ada kepada pembentukkan idea baru.
  6. Membuka minda dengan idea-idea baru.
  7. Mencabar andaian.
  8. Menggabungkan daya kreativiti dengan penghasilan idea dan diterjemahkan sebagai produk yang asli atau original.
  9. Membuat sintesis, imaginasi dan visualisasi.

Dalam melaksanakan sesebuah kem motivasi atau kem teambuilding, sering sahaja para peserta dimomokkan dengan aktiviti yang sama dan persekitaran yang membosankan. Justeru, adalah penting bagi setiap jawatankuasa pelaksana program dan kem motivasi ini untuk sentiasa cuba mengaplikasikan daya kreativiti mereka dalam kelansungan sesebuah program.

Antara aktiviti yang disyorkan adalah ;

  • Permainan kreatif yang baru dan segar
  • Ilmu personaliti diri berdasarkan kiraan nombor tarikh lahir
  • Kenali personaliti diri melalui gambar
  • Cara menangani masalah personaliti diri tersebut.

Kesimpulannya, daya kreativiti ini tidak hanya penting dalam mengendalikan sesebuah program sahaja, namun begitu, pemikiran kreatif yang hebat akan membantu dalam mengembangkan perkara-perkara di bawah ;

  • Ekonomi tanpa sempadan
  • Industri kreatif
  • Komunikasi segera
  • Pengurusan pengetahuan
  • Perkembangan sejarah dan tamadun manusia.

Fikiranlah yang menjadikan sesuatu itu baik atau buruk, yang menjadikannya sedih atau bahagia, kaya atau miskin – Edward Spenser.

 

 

MEMBUDAYAKAN KESUKARELAWANAN DI KALANGAN MURID-MURID DAN PELAJAR ASAS JATIDIRI CEMERLANG

Membudayakan kesukarelawanan dalam kalangan anak muda merupakan satu bentuk usaha kerajaan dalam melibatkan golongan muda untuk menjadi aktivis sosial yang prihatin kepada masyarakat sekeliling. Golongan sukarelawan ini merupakan aktivis sosial yang mempunyai nilai-nilai murni dalam jiwa mereka dan sentiasa terdorong untuk membantu golongan lain yang berada dalam kesusahan.

Menjadi sukarelawan ini adalah satu anugerah lantaran dewasa ini kebanyakan anak muda khususnya golongan remaja lebih cenderung untuk memilih menjalankan aktiviti yang kurang baik seperti melepak sehingga larut malam atau terlibat dalam kegiatan lumba haram yang lebih dikenali sebagai merempit.

Justeru, peranan kerajaan dan masyarakat dalam usaha membudayakan kesukarelawanan ini adalah sangat penting. Ia adalah supaya semangat sukarelawan ini dapat dipupuk dalam diri golongan murid-murid dan para pelajar.

Jika kita lihat, di sekolah-sekolah, sering sahaja para guru menganjurkan program gotong royong secara besar-besaran yang melibatkan para pelajar dan juga ibu bapa. Setiap individu termasuk para guru, pelajar dan ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan program seumpama ini berjalan lancar. Tidak dinafikan juga, melalui konsep gotong royong ini juga, para guru mampu menilai sikap kerjasama dan teambuilding juga keprihatinan mereka terhadap sekolah.

Terdapat beberapa langkah yang penting dalam mempersiapkan diri untuk menjadi sukarelawan yang terbaik dalam usaha membudayakan kesukarelawanan ini. Antaranya adalah ;

  • Mempunyai minat terhadap kerja sukarela : minat harus wujud dari sanubari individu itu sendiri dan tidak dipaksa oleh orang lain. Hal ini demikian adalah sangat penting kerana tanpa minat dikhuatiri para pelajar tidak akan ikhlas melaksanakan tugasan malah mengharapkan balasan insentif seperti bayaran pula.
  • Mengenal pasti golongan sasaran yang ingin dibantu : golongan sasaran ini terdiri daripada pelbagai kelompok masyarakat seperti kanak-kanak, remaja bermasalah, keluarga, golongan orang kurang upaya dan warga emas. Individu yang mahu terlibat dalam aktiviti sukarelawan ini perlu memilih golongan mana yang lebih selesa dibantu.
  • Mempunyai perancangan masa yang berkesan : pengurusan masa yang terbaik adalah kunci kejayaan bagi setiap individu. Jangan pula disebabkan terlalu sibuk dengan aktiviti sukarelawan, maka tugasan hakiki pelajar tersebut diabaikan.

Kesimpulannya, melalui konsep membudayakan kesukarelawanan ini akan dapat membentuk keperibadian yang cemerlang di kalangan para pelajar.

KEM KEPIMPINAN KETUA PASUKAN – ASAS MELAKSANAKAN TUGAS DENGAN BERKESAN

Melaksanakan tugas dengan berkesan adalah diibaratkan sebagai kayu pengukur kejayaan sesebuah pasukan atau organisasi. Sebagai seorang ketua pasukan yang baik, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira dalam memastikan tugasan berkumpulan terlaksanan dengan cemerlang dan menepati objektifnya. Antara perkara tersebut adalah :-

  1. Ikhlas dan jujur memegang jawatan – mendapat pujian yang menggunung, disangjung tinggi, dihamparkan permaidani merah, dihidang dengan makanan mewah, malah turut diberi sanjungan yang gah, jika semua situasi di atas adalah diharapkan sebagai layanan apabila menjadi ketua maka sebaiknya berhentilah menjadi pemimpin. Keinginan sebeginilah sebenarnya ibarat racun dalam kepimpinan yang merosakkan pasukan untuk melaksanakan tugas dengan berkesan.
  1. Mempunyai jati diri dan semangat yang teguh – mempunyai kemahiran dan kepakaran sahaja tidak mencukupi untuk membolehkan seorang pemimpin atau ketua menjadi ketua yang hebat. Justeru, pemimpin dan ketua yang hebat perlu mempunyai visi dan misi yang jelas, ketekunan dalan menjalankan tugasan bersama-sama anak buahnya, dan daya usaha untuk sama-sama berdaya maju.

  1. Kepimpinan bukan menjadikan ahli pasukan sebagai kuli atau orang suruhan – pemimpin yang baik akan bertindak sebagai leader atau penunjuk jalan yang sama-sama memastikan objektif pasukan tercapai. Seorang ketua adalah melakukan kesilapan sekiranya hanya tahu memberi arahan mandatori kepada anak buahnya sahaja.
  2. Dalam usaha melaksanakan tugas dengan berkesan juga, pemimpin perlu sentiasa positif pada perbezaan pendapat. Perbezaan pendapat atau konflik idea selalu berlaku dalam setiap pasukan atau organisasi tidak kira sama ada di sekolah mahupun di pejabat. Justeru, kaedah terbaik adalah dengan menghadapi situasi ini dengan bijak dan tenang. Apa yang penting adalah untuk mengingatkan kepada semua ahli pasukan supaya menghormati pendapat dan pandangan ahli yang lain. Walaupun pendapat dan pandangan mereka berbeza-beza, namun selagi tidak menyalahi undang-undang maka pasti ia boleh digunapakai.

Justeru, apa yang penting adalah ketua pasukan dan ahlinya hendaklan sentiasa bermuhasabah atau mendapatkan maklum balas daripada semua pihak dalam memastikan keberkesanan memimpin. Menghargai orang di sekeliling melalui ucapan terima kasih dan perbualan yang sopan santun juga akan membantu menimbulkan suasana harmoni dalam pasukan.

MENDAPAT KEPUASAN DALAM MELAKSANAKAN TUGAS – TIPS PASUKAN GEMILANG

Kepuasan dalam melaksanakan tugas dikenali sebagai satu perasaan yang senang hati dan gembira apabila seseorang itu diberi peluang untuk mengendalikan sesebuah tugasan. Sebagai contoh, seorang pelajar yang merasa gembira apabila dipilih oleh guru kelas untuk menjadi ketua kelas.

Tentu sahaja perasaan pertama yang timbul di hati murid tersebut adalah perasaan gembira dan bangga apabila dipilih. Namun demikian, cabaran yang perlu dihadapi olehnya saban hari akan mempengaruhi kualiti tugasan tersebut. Sebagai contoh, murid ini tadi sikit demi sedikit mula merasa terbeban dan tidak lagi seronok apabila rakan-rakannya enggan memberikan kerjasama semasa ketiadaan cikgu di dalam kelas.

Apabila situasi ini wujud, maka kepuasan dalam melaksanakan tugas telah tiada dalam diri murid tersebut sebaliknya diganti dengan perasaan TERPAKSA menjalankan tugasan. Justeru, dalam artikel kali ini akan dikongsikan 3 perkara untuk membantu individu supaya mendapatkan kembali perasaan teruja seperti pada awal tugasan diberikan. Perkara-perkara tersebut adalah :-

  1. Ingat kembali mengapa anda berada di situ. Teknik ini digunakan untuk memberi motivasi kepada murid atau individu dalam membantu mengingat kembali tujuan utama dan mengapa dia terpilih untuk melaksanakan tugasan tersebut. Adalah perlu bagi ketua untuk menegaskan keistimewaan yang ada pada dirinya yang melayakkan dia menyandang jawatan atau melaksanakan tugasan tersebut.
  2. Aspek kepuasan dalam melaksanakan tugas ini juga memerlukan individu tersebut untuk sentiasa cuba mencari inspirasi yang baru. Mungkin cara lama yang diamalkan sudah membosankan. Sebagai contoh, seorang ketua darjah akan mengugut untuk menulis nama murid yang bising dan nakal di dalam kelas. Maka, tidak salah sekiranya guru kelas tersebut menyarankan kepada ketua kelas untuk membawa murid-murid lain ke bilik tayangan media dan membenarkan mereka menonton cerita yang sesuai semasa ketiadaan guru di dalam kelas.
  3. Individu tersebut juga perlu sentiasa berusaha untuk mengekalkan kesegaran minda dan sentiasa berfikiran positif dalam melaksanakan tugas. Sebagai contoh, dia harus sentiasa cuba berfikir bahawa setiap hari diibaratkan seperti hari pertama dalam melaksanakan tugasan.

cuba aktiviti baru di Asia Camp

Justeru, dengan tiga langkah di atas perasaan puas dan gembira dalam melaksanakan tugas akan dapat dipupuk oleh individu tersebut.

 

SITUASI RACUN DALAM TEAMBULIDING – KENALI DAN ATASI SEGERA

Sebagai seorang ketua pasukan, mengenali situasi-situasi yang diibaratkan sebagai racun dalam teambuilding adalah sangat perlu bagi mengelakkan pergaduhan yang lebih besar dan mewujudkan suasana tidak harmoni dalam pasukan.

Antara situasi tersebut adalah :-

  1. Apabila ahli menyerang ketua kumpulan. – menyerang ketua kumpulan merupakan tingkah laku secara langsung yang disebabkan oleh masalah tertentu dalam kumpulan tersebut. Terdapat teori yang berpandangan bahawa “MENYERANG AKAN MENINGKATKAN PERGERAKAN KUMPULAN” (Donigian & Malnati, 1987). Oleh itu adalah penting bagi ketua kumpulan untuk tidak mempedulikan serangan ini. Sekiranya berlaku, perkara ini harus ditangani segera dengan baik dan selamat bagi mengelakkan storming akan berterusan.

 

  1. Lempar salah juga adalah racun dalam teambuilding. Melempar salah atau mengarahkan perhatian negatif kepada individu lain dengan tujuan supaya perhatian lebih kepada orang yang melemparkan salah dan juga dengan tujuan supaya memudahkan urusan dirinya apabila menghadapi hal-hal yang tidak menyenangkan. Ia juga dikenali dengan strategi untuk menjatuhkan orang lain supaya dapat menaikkan nama sendiri. Individu yang suka melempar salah ini akan mengenalpasti mangsa terlebih dahulu sebelum mengejek atau mempersendakan mangsa. Dalam situasi ini, kaunselor luar adalah digalakkan untuk menilai situasi kerana tiada unsur berat sebelah.
Image result for tunding jari

menunding jari – racun dalam teambuilding

 

 

  1. Bersikap dingin dan bermusuh. – ahli yang bersikap sebegini kebiasannya kelihatan sangat sombong dan lama kelamaan akan menjadi racun dalam teambuilding. Kebiasannya sikap sebegini dipamerkan secara terang-terangan oleh ahli tersebut dan menganggap bahawa ahli pasukan yang lain tidak penting baginya. Situasi ini akan menyukarkan pasukan sekiranya terdapat sebarang program yang memerlukan semua ahli terlibat sama. Oleh kerana sikap dingin dan sombong ahli tersebut maka adalah sukar bagi ahli pasukan lain untuk berkerjasama dengannya.

  1. Mendiamkan diri juga adalah situasi yang mengganggu semangat berpasukan. Ahli yang lebih gemar mendiamkan diri mungkin juga cuba mengelak daripada terlibat dalam pertelingkahan yang tidak diketahui oleh ketua tersebut. Ada juga ahli pasukan yang mendiamkan diri kerana merasa rendah diri dan tidak tahu cara untuk berkomunikasi dengan baik.

Justeru, ketua pasukan haruslah sentiasa peka dan mendengar pandangan setiap ahli.

Kritikan membina penting dalam memajukan diri dan merangsang perubahan dalam diri individu

KENALI PUNCA GANGGUAN EMOSI – TIPS MENGAWAL EMOSI DI KEM JATI DIRI

Punca gangguan emosi adalah antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam sesebuah pasukan. Gangguan emosi yang berlebihan akan menyebabkan kestabilan sesebuah organisasi itu terganggu yang akhirnya dikhuatiri akan menjejaskan keseluruhan kecemerlangan pasukan atau organisasi tersebut.

Image may contain: 9 people, people sitting and outdoor

Ellis (1970) telah menggariskan 12 perkara atau peristiwa yang sering menjadi punca seseorang individu itu menjadi tidak rasional dan menunjukkan perubahan emosi yang sangat terganggu. Di antara perkara-perkara tersebut adalah :-

  1. Merasa diri tidak disayangi dan dipercayai oleh orang-orang yang penting bagi dirinya.
  2. Mempercayai bahawa orang lain adalah sangat zalim, jahat dan akan menggunakan dirinya untuk kepentingan peribadi
  3. Punca gangguan emosi juga adalah kerana mereka merasakan diri mereka tidak berguna.
  4. Sekiranya berlaku sesebuah perkara yang tidak mengikut perancangan yang telah ditetapkan, maka semangat hidup mereka hilang secara total.
  5. Tidak mampu untuk mengawal emosi sebagai contoh apabila dia merasa sedih maka dia akan tetap melayan perasaan tersebut sehingga tidak mahu bangkit dari tempat tidur.
  6. Kehilangan orang yang tersayang seperti kematian atau ditinggalkan secara mengejut.

Kesemua perkara di atas adalah antara punca-punca yang menyebabkan seseorang hilang semangat daripada hidupnya dan tidak mahu lagi berkerja kerana menganggap segala yang dilakukan adalah tidak berguna dan sia-sia.

Punca gangguan emosi ini adalah faktor pencetus kepada masalah-masalah lain dalam organisasi dan pasukan. Ini kerana, apabila seseorang ahli tidak mampu lagi menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, maka secara automatik, beban tugasan tersebut akan pergi kepada ahli atau pegawai yang lain.

Ketua pasukan pula tiada pilihan lain selain mengagihkan tugasan tersebut kepada ahli yang tinggal sehinggalah pasukan atau organisasi tersebut mendapat ahli yang baru. Maka, situasi sebegini boleh dikategorikan ibarat telur di hujung tanduk, hanya menunggu masa untuk jatuh dan pecah sahaja jika tidak dibendung awal.

Image result for telur di hujung tanduk

Sebagai ketua pasukan, jika gangguan emosi sebegini telah menerjah masuk ke dalam pasukan anda, maka segeralah mencari jalan penyelesaian terbaik supaya tidak mengganggu emosi kakitangan yang lain pula. Ini kerana jika seluruh kakitangan telah diganggu emosi negatif maka pincanglah perjalanan organisasi atau pasukan tersebut.

 

MOTIVASI DI TEMPAT KERJA BENTUK SEMANGAT BERPASUKAN – MELALUI TEORI DUA FAKTOR OLEH HERZBERG

Teori dua faktor Hezberg menerangkan bahawa ada dua jenis faktor yang meninggalkan kesan motivasi kepada para pekerja yang perlu diketahui oleh setiap pemimpin atau ketua pasukan sekiranya mereka tidak mahu pasukan dilanda pelbagai masalah yang serius. Sebagai ketua pasukan atau pemimpin organisasi dan jabatan juga mereka pasti sedia maklum sekiranya pelbagai masalah dan konflik yang timbul pasti akan menghilangkan semangat teambuilding dan memberikan keburukan kepada pasukan.

Image may contain: 4 people, people smiling, people standing and outdoor

Herzberg sangat menekankan kualiti hidup bekerja dengan menjadikan kerja sebagai rutin lebih menarik. Justeri, Teori dua faktor Hezberg adalah seperti berikut :-

  1. Faktor kesihatan atau hygience factors.
  2. Faktor pertumbuhan atau growth factors.

Kedua-dua jenis faktor ini apabila tidak berjaya diwujudkan di tempat kerja atau dalam sesebuah pasukan justeru akan menyebabkan terjadinya RASA TIDAK PUAS HATI di kalangan para pekerja atau ahli pasukan. Faktor-faktor ini secara tidak lansung mempunyai hubung kait dengan tempat kerja dan tugas-tugas yang dijalankan. Faktor-faktor kesihatan adalah seperti :-

  1. Gaji.
  2. Keselamatan pekerjaan.
  3. Gaya penyeliaan.
  4. Dasar-dasar pengurusan.
  5. Hubungan interpersonal.

Secara amnya, faktor kesihatan berfungsi mencegah timbulnya perasaan tidak puas hati, namun demikian ia tidak mampu untuk menjadi alat motivasi kepada pekerja untuk mengubah sikap mereka atau menaikkan semangat.

 

Walau bagaimanapun, Teori dua faktor Hezberg turut menyebut tentang faktor pertumbuhan. Faktor Pertumbuhan inilah yang mampu menjadi sebagai pendorong dan pemangkin motivasi para pekerja atau ahli pasukan untuk memberi semangat positif terhadap tugasan, sekaligus merubah sikap mereka daripada hati mereka sendiri tanpa sebarang paksaan.

Dalam faktor pertumbuhan, Herzberg menerangkan adalah penting supaya pekerja merasa tidak bosan untuk menunaikan tanggungjawabnya. Selain menerangkan bahawa pengalaman berkerja juga dapat dijadikan sebagai salah satu pengalaman hidup, seseorang ketua organisasi perlu memberi ruang kepada ahli bawahannya untuk mengurus sendiri sesuatu tugasan.

Anda perlu mencintai perkara yang sedang anda lakukan supaya anda berjaya menghasilkan suatu ciptaan yang baru – Phillip Green –