KREATIVITI : ASAS DAN KONSEP DALAM MENGENDALIKAN PROGRAM

Daya kreativiti atau pemikiran kreatif sudah lama dibincangkan dan dibahaskan secara ilmiah. Sering kali terdapat perbezaan tanggapan pada pengertian dan definisi “kreatif” itu sendiri. Namun begitu, hal ini adalah perkara biasa dalam dunia akademik kerana masing-masing merupakan tokoh akademik, penyelidik, sarjana dan dapat mengemukakan konsep yang asli berdasarkan pemerhatian, pengalaman, kajian dan latar displin ilmu yang mereka miliki.

 

Perbezaan pendapat inilah yang mencetuskan kekayaan ilmu yang mampu menjadi rujukan yang baik kepada generasi akan datang. Pemikiran kreatif turut ditakrifkan oleh para ilmuwan sebagai “the ability to bring something new existence”.

Justeru, dalam konsep mengendalikan program, daya kreativiti atau pemikiran kreatif ini mampu menjadikan sesebuah program itu lebih seronok dan akan sentiasa dikenang oleh para peserta yang menyertainya. Dapat dirumuskan bahawa konsep pemikiran kreatif ini adalah berkisar kepada entiti berikut ;-

  1. Melakukan sesuatu dengan cara dan pelaksanaan yang unik.
  2. Seseorang itu dapat keluar daripada pola yang sama atau the pattern of sameness.
  3. Berfikir di luar kotak atau thinking outside of the box.
  4. Melihat sesuatu daripada perspektif baru.
  5. Menggabungkan idea yang sedia ada kepada pembentukkan idea baru.
  6. Membuka minda dengan idea-idea baru.
  7. Mencabar andaian.
  8. Menggabungkan daya kreativiti dengan penghasilan idea dan diterjemahkan sebagai produk yang asli atau original.
  9. Membuat sintesis, imaginasi dan visualisasi.

Dalam melaksanakan sesebuah kem motivasi atau kem teambuilding, sering sahaja para peserta dimomokkan dengan aktiviti yang sama dan persekitaran yang membosankan. Justeru, adalah penting bagi setiap jawatankuasa pelaksana program dan kem motivasi ini untuk sentiasa cuba mengaplikasikan daya kreativiti mereka dalam kelansungan sesebuah program.

Antara aktiviti yang disyorkan adalah ;

  • Permainan kreatif yang baru dan segar
  • Ilmu personaliti diri berdasarkan kiraan nombor tarikh lahir
  • Kenali personaliti diri melalui gambar
  • Cara menangani masalah personaliti diri tersebut.

Kesimpulannya, daya kreativiti ini tidak hanya penting dalam mengendalikan sesebuah program sahaja, namun begitu, pemikiran kreatif yang hebat akan membantu dalam mengembangkan perkara-perkara di bawah ;

  • Ekonomi tanpa sempadan
  • Industri kreatif
  • Komunikasi segera
  • Pengurusan pengetahuan
  • Perkembangan sejarah dan tamadun manusia.

Fikiranlah yang menjadikan sesuatu itu baik atau buruk, yang menjadikannya sedih atau bahagia, kaya atau miskin – Edward Spenser.

 

 

TEKNIK MENGENDALIKAN KEKECEWAAN : BINA SEMANGAT POSITIF DALAM KEM MOTIVASI

Teknik mengendalikan kekecewaan dan perasaan sedih adalah salah satu ilmu dan kemahiran diri yang perlu diterapkan dan diajarkan kepada setiap individu sejak dari usia kanak-kanak lagi. Jika dahulu, teknik dan ilmu ini hanya diajarkan kepada golongan dewasa sahaja.

Namun begitu, jika dilihat natijah daripada kepesatan teknologi sekarang, golongan kanak-kanak juga semakin terkesan dengan tekanan hidup. Tidak terlepas juga golongan remaja. Justeru, adalah penting supaya dalam setiap kem motivasi atau kem jati diri supaya asas-asas mengendalikan kekecewaan dapat diajarkan dan dititipkan kepada mereka untuk membantu mereka dalam membuat sesebuah keputusan.

Image may contain: 2 people, people sitting and indoor

Teknik mengendalikan kekecewaan ini adalah berbeza kepada setiap individu. Ini kerana mereka tidak menghadapi masalah yang sama malah peringkat masalah mereka juga berbeza. Ada orang yang merasakan bahawa masa depannya akan gelap sama sekali dan lansung tiada harapan hidup apabila dia kehilangan harta benda.

Walhal dengan pengetahuan dan mendalami ilmu yang lebih luas dia seharusnya menyedari bahawa kehilangan harta benda bukanlah pengakhiran hidup. Golongan yang meletakkan kekayaan dan harta benda sebagai ukuran kejayaan seseorang individu ini adalah mereka yang sentiasa mahu dilihat hebat di mata manusia dan sangat mementingkan reputasi.

Image may contain: 3 people, people standing, hat and outdoor

Maka, nasihat yang terbaik untuk golongan sebegini adalah mereka harus lebih bersyukur dan mencari ketenangan jiwa. Antara teknik mengendalikan kekecewaan yang boleh dipraktikkan oleh mereka adalah;

  • Cuba untuk tersenyum walaupun hati sedang kecewa
  • Meluahkan masalah kepada orang lain dan dia akan sedar bahawa dunia ini bukan hanya dia sahaja yang mempunyai masalah
  • Mendapatkan nasihat daripada orang-orang yang lebih berusia dan mereka akan sedar bahawa golongan ini telah menempuh pelbagai kekecewaan yang lebih besar
  • Setup mind bahawa dunia ini bukan hanya ada masalah harta benda atau wang ringgit sahaja, namun di seluruh dunia terdapat golongan yang sedang bergelut dengan peperangan, kesihatan dan kebuluran.

Kesimpulannya, teknik mengendalikan kekecewaan yang paling berkesan adalah dengan menerapkan ilmu bersyukur dan sentiasa mengingatkan mereka bahawa masalah dunia adalah bersifat sementara. Pasti ada harapan bagi mereka yang sentiasa berusaha.

MENGHADAPI RASA BERSALAH DAN TEKANAN PERASAAN KUNCI KETENANGAN JIWA

Rasa bersalah dalam diri dan tekanan perasaan adalah satu jenis perasaan yang akan dirasai oleh setiap individu yang normal dan masih waras. Selagi individu itu masih hidup di muka bumi, maka kesalahan dan kesilapan diibaratkan sebagai rencah kehidupan yang pasti akan dilalui oleh semua orang. Namun begitu, apa yang membimbangkan dewasa ini adalah apabila perasaan bersalah itu dibiarkan menjadi racun yang akhirnya akan memusnahkan individu tersebut.

The culture of interactive and constructive discussion should be implemented to encourage a competitive working environment

Perasaan bersalah ini amat mudah menjadi racun dalam jiwa sekiranya tiada dorongan dan panduan dalam meneruskan kehidupan. Seseorang individu yang sedang bergelut dalam menghadapi rasa bersalah dalam diri dan tekanan perasaan yang memuncak haruslah berani untuk ;

  • Menganggap kesilapan adalah satu kesalahan dan bertekad memperbaiki kesilapan tersebut dan tidak mengulanginya kembali.
  • Berani mengakui kesilapan dan meminta maaf.
  • Tidak menghukum diri sendiri dan mengatakan bahawa dirinya adalah tidak berguna.
  • Menahan diri agar tidak terlalu mengenang setiap saat yang pahit.
  • Menjadikan kesilapan sebagai satu batu loncatan untuk bertindak lebih baik
  • Menerima hakikat bahawa kesilapan adalah satu pengalaman untuk membantu membuat keputusan yang lebih baik pada masa akan datang.

Selain daripada itu juga, sikap seseorang juga adalah penentu dalam sesuatu tindakan. Memandang negatif terhadap rasa bersalah dalam diri juga tidak mampu untuk membuatkan keadaan menjadi bertambah baik sebaliknya hanya memburukkan keadaan.

Dalam keadaan tertekan ini tadi adalah lebih baik individu tersebut menyemaikan sikap positif seperti ;

  • Percaya kepada diri sendiri dan memberi peluang kepada diri sendiri untuk memulakan semula pengharapan yang baru
  • Menerima hakikat bahawa ujian yang paling tinggi seharusnya dapat memotivasikan diri dan membina sikap terpuji seperti rendah diri dan menghargai apa yang dikurniakan kepadanya.
  • Kita sendiri yang menentukan emosi diri sama ada mahu bersedih atau berduka, termasuk juga mahu terus dibelengu kesilapan lampau atau kembali berusaha memperbaiki kesilapan.

Inspiring youth leadership skills through fun and challenges activities

 

Kesimpulannya, mental yang tenang dan positif dan dicorakkan dengan sifat-sifat jujur, akan mudah membentuk keperibadian yang positif selari dengan ketetapan minda tersebut.

Kita mengangkat diri kita dengan fikiran-fikiran kita. Kita mendaki di atas visi yang berasal daripada diri kita – Orison S Marden.

 

MENGEMBANGKAN FIKIRAN DAN SEMANGAT KEYAKINAN POSITIF DALAM JATI DIRI

Mengembangkan fikiran positif dan semangat positif adalah salah satu keperluan asas untuk mencapai kejayaan tidak kira sama ada kejayaan individu mahupun kejayaan sesebuah organisasi. Jika seseorang itu tidak berjaya untuk berfikir secara positif dan mengembangkan semangat positif dalam dirinya, maka secara kesimpulannya mencapai kejayaan adalah dianggap sebagai suatu perkara yang mustahil.

Seseorang yang sentiasa melatih dirinya untuk beranggapan positif pasti menyedari akan satu jenis keajaiban yang digelar “kekuatan berfikir positif”. Secara lahiriah, setiap manusia dilahirkan dengan dua sisi otak iaitu otak kanan dan otak kiri. Otak bahagian kanan adalah pemecah masalah dan berupaya mengembangkan fikiran positif.

Ini bermaksud  jika seseorang itu sedang mengkritik sesuatu, maka otak kirinya yang sedang berkerja, namun jika anda cuba mencari jalan penyelesaian lantaran kritikan tersebut, maka otak kanan yang sedang digunakan. Justeru, telah dibuktikan melalui kejayaan orang-orang besar dan tokoh-tokoh hebat di mana kebanyakan mereka adalah terdiri daripada golongan orang yang mampu menggunakan kehebatan kedua-dua belah otak dalam membuat pertimbangan dan pemikiran yang luas.

Fikiran negatif pula tidak mampu membantu seseorang itu menemui potensi dirinya yang sebenar. Justeru, mengembangkan fikiran positif dalam diri individu bukan sahaja akan membantu dirinya membina kekuatan emosi dalam menangani pelbagai permasalah, malah mengeluarkan daya potensi yang sebenar dalam diri seseorang itu.

Jika kita lihat daripada temubual orang-orang hebat yang telah berjaya, rata-rata daripada mereka mengatakan hal yang sama iaitu mereka sendiri tidak percaya akan kebolehan diri mereka pada awalnya. Namun, lantaran berpegang kepada satu semangat yang sama iaitu tidak pernah berputus asa, maka segala penat lelah mereka dibayar dengan kejayaan pada masa yang sesuai.

Justeru, nyata sekali semangat tidak berputus asa dan bangun berkali-kali dalam perjuangan hidup hanya mampu diperolehi daripada fikiran dan semangat yang positif. Dengan semangat dan kemampuan untuk sentiasa berfikir positif jugalah yang mampu menentukan seseorang itu berjaya atau gagal.

 

Fikiranlah yang menjadikan sesuatu itu baik atau buruk, yang menjadikannya sedih atau bahagia, kaya atau miskin – Edward Spenser.

 

MEMBUDAYAKAN KESUKARELAWANAN DI KALANGAN MURID-MURID DAN PELAJAR ASAS JATIDIRI CEMERLANG

Membudayakan kesukarelawanan dalam kalangan anak muda merupakan satu bentuk usaha kerajaan dalam melibatkan golongan muda untuk menjadi aktivis sosial yang prihatin kepada masyarakat sekeliling. Golongan sukarelawan ini merupakan aktivis sosial yang mempunyai nilai-nilai murni dalam jiwa mereka dan sentiasa terdorong untuk membantu golongan lain yang berada dalam kesusahan.

Menjadi sukarelawan ini adalah satu anugerah lantaran dewasa ini kebanyakan anak muda khususnya golongan remaja lebih cenderung untuk memilih menjalankan aktiviti yang kurang baik seperti melepak sehingga larut malam atau terlibat dalam kegiatan lumba haram yang lebih dikenali sebagai merempit.

Justeru, peranan kerajaan dan masyarakat dalam usaha membudayakan kesukarelawanan ini adalah sangat penting. Ia adalah supaya semangat sukarelawan ini dapat dipupuk dalam diri golongan murid-murid dan para pelajar.

Jika kita lihat, di sekolah-sekolah, sering sahaja para guru menganjurkan program gotong royong secara besar-besaran yang melibatkan para pelajar dan juga ibu bapa. Setiap individu termasuk para guru, pelajar dan ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan program seumpama ini berjalan lancar. Tidak dinafikan juga, melalui konsep gotong royong ini juga, para guru mampu menilai sikap kerjasama dan teambuilding juga keprihatinan mereka terhadap sekolah.

Terdapat beberapa langkah yang penting dalam mempersiapkan diri untuk menjadi sukarelawan yang terbaik dalam usaha membudayakan kesukarelawanan ini. Antaranya adalah ;

  • Mempunyai minat terhadap kerja sukarela : minat harus wujud dari sanubari individu itu sendiri dan tidak dipaksa oleh orang lain. Hal ini demikian adalah sangat penting kerana tanpa minat dikhuatiri para pelajar tidak akan ikhlas melaksanakan tugasan malah mengharapkan balasan insentif seperti bayaran pula.
  • Mengenal pasti golongan sasaran yang ingin dibantu : golongan sasaran ini terdiri daripada pelbagai kelompok masyarakat seperti kanak-kanak, remaja bermasalah, keluarga, golongan orang kurang upaya dan warga emas. Individu yang mahu terlibat dalam aktiviti sukarelawan ini perlu memilih golongan mana yang lebih selesa dibantu.
  • Mempunyai perancangan masa yang berkesan : pengurusan masa yang terbaik adalah kunci kejayaan bagi setiap individu. Jangan pula disebabkan terlalu sibuk dengan aktiviti sukarelawan, maka tugasan hakiki pelajar tersebut diabaikan.

Kesimpulannya, melalui konsep membudayakan kesukarelawanan ini akan dapat membentuk keperibadian yang cemerlang di kalangan para pelajar.

memancing di keniam

MELESTARIKAN ALAM SEKITAR DI ASIA CAMP TAMAN NEGARA JERANTUT PAHANG

Melestarikan alam sekitar boleh didefinisikan sebagai satu konsep tanggungjawab untuk cuba mengekalkan ketulenan alam yang telah diamanahkan kepada kita sebagai manusia di muka bumi ini. Senario ini mempunyai tanggapan aspek yang begitu luas dan subjektif, namun apa yang ingin ditekankan dalam konsep kelestarian ini iaitu di bawah kata kunci “tanggungjawab bersama” dalam memelihara dan memulihara alam sekitar.

Di Asia Camp Taman Negara Jerantut Pahang misalnya, para pengunjung berpeluang untuk melihat dan menikmati sendiri pemandangan indah hutan dara yang masih terpelihara khazanah muka bumi dan keaslian keindahan panorama. Justeru, adalah penting bagi setiap pengunjung untuk mengetahui memahami konsep melestarikan alam sekitar sebelum menerjah masuk meneroka ke dalamnya.

Sebagai contoh, mungkin ada di antara orang awam yang tidak arif tentang penguatkuasaan undang-undang dalam usaha menjaga alam sekitar ini. Seperti yang telah termaktub dalam Syeksyen 29 Akta Kualiti Alam 1974 yang dengan jelas menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan kerosakan kepada alam sekitar boleh didenda sehingga RM 500,00.00 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Penguatkuasaan ini dijalankan adalah kerana masih terdapat segelintir individu yang masih tidak mempunyai kesedaran dan tanggungjawab dengan melakukan perbuatan khianat seperti merosakkan hutan, membuang sampah di merata tempat atau mencabut pokok bunga.

Image may contain: outdoor

Dalam konsep melestarikan alam sekitar ini juga, tokoh ternama Mahatma Gandhi sendiri ada menyebut bahawa dunia ini hanya mencukupi bagi orang-orang biasa yang tinggal di atasnya, tetapi tidak mencukup bagi mereka yang tamak haloba. Lihat sahaja buktinya, dengan kepesatan kemajuan ekonomi sekarang dan rakusan sikap haloba manusia, maka hutan-hutan ditarah sewenangnya dan menjejaskan hampir keseluruhan ekosistem.

Dengan penarahan dan penerokaan hutan secara haram, maka haiwan-haiwan semakin hilang habitatnya. Air sungai yang menjadi punca air utama kepada manusia semakin tercemar dan kini tidak lagi selamat untuk diminum.

Image may contain: sky, tree, outdoor, nature and water

Maka, rasionalnya jika amalan dan konsep melestarikan alam sekitar ini tidak difahami, dijelaskan dan dipraktikkan daripada sekarang, nescaya yang tinggal untuk generasi akan datang hanyalah alam sekitar dan bumi yang tercemar dan tidak lagi selamat untuk didiami.

KEKUATAN KEYAKINAN DIRI MEMACU KEJAYAAN

Kekuatan keyakinan adalah satu semangat yang perlu ada dalam diri setiap individu tatkala ditimpa pelbagai ujian dan musibah. Ramai individu yang kalah dalam perjuangan hidup dan tidak mampu lagi untuk bangkit berjuang lantaran hilangkan keyakinan terhadap diri dan kehidupan. Malah apa yang lebih buruk, ada di kalangan mereka juga yang lebih senang mengambil jalan singkat dengan cara membunuh diri.

Perkara pertama yang perlu difahami oleh setiap individu, bahawa semua manusia itu dilahirkan dengan pelbagai masalah dan dugaan dalam kehidupan mereka. Dalam sesebuah organisasi, jabatan atau kumpulan juga pelbagai jenis masalah yang perlu ditangani dalam memacu kejayaan.

Justeru, melalui kekuatan keyakinan dan sentiasa memaafkan diri sendirilah yang akan membantu setiap individu itu restart atau memulakan semula sesuatu kegagalan. Tanpa semangat keyakinan diri yang tinggi seseorang itu pasti akan tergapai-gapai untuk mencari hala tujuan semula. Semangat keyakinan ini terbahagi kepada tiga :

  1. Keyakinan akan perkerjaannya

Keyakinan akan pekerjaannya ini adalah satu jenis pertimbangan yang perlu diambil oleh seseorang apabila terjadinya masalah dan konflik di tempat kerja. Sebagai contoh, adakah wajar untuk seseorang itu meletakkan jawatan hanya disebabkan perselisihan faham dengan teman sekerja. Melalui daya kekuatan keyakinan, seseorang itu harus bijak membuat keputusan dengan mengetahui kedudukan kewangannya dan impak yang terjadi sekiranya dia meletakkan jawatan. Dia perlu memahami sekiranya dia meletakkan jawatan maka dia perlu mencari kerja lain dan bermula semula dari bawah. Justeru, dalam situasi ini kebolehan membuat keputusan secara rasional adalah sangat perlu.

  1. Keyakinan akan kemampuannya

Keyakinan akan kemampuannya ini lebih senang digambarkan kepada ahli perniagaan yang sering kali jatuh bangun dalam selok belok dunia perniagaan ini. Namun, lantaran adanya semangat kekuatan keyakinan ini, golongan seperti ini masih tetap berusaha untuk mengembangkan perniagaan dan sentiasa cuba memperbaiki strategi pemasaran mereka. Kebiasaannya golongan seperti ini mempunyai semangat motivasi yang sangat tinggi.

  1. Keyakinan bahawa masih ada hari esok

Keyakinan bahawa masih ada hari esok adalah satu jenis terapi dan harapan kepada mereka yang sedang dilanda kekecewaan. Maka untuk menetapkan semula langkah-langkah yang perlu diambil pada keesokkan harinya di samping sentiasa berdoa maka mereka akan mengorak semula perjalanan mereka dengan fikiran dan semangat positif.

Kesimpulannya, kekuatan keyakinan juga adalah asas yang penting dalam menentukan kejayaan seseorang malah juga kejayaan sesebuah organisasi.

Hidup kita adalah apa yang kita fikirkan dan kita gagaskan – Marcus Aurelius

kem unit beruniform

BINA IMEJ DIRI YANG POSITIF ASAS PERTAMA KEJAYAAN

Kegagalan membina imej diri yang positif adalah langkah pertama menuju kegagalan dalam kehidupan.  Individu yang berimej negatif bukan sahaja sering menyalahkan orang lain atau menyalahkan keadaan lantaran mereka dihimpit kegagalan, malah mereka juga gagal untuk menggerakkan diri mereka ke arah perubahan yang positif. Ada juga yang menyalahkan majikan lantaran tidak berjaya dinaikkan pangkat malah yang lebih buruk individu ini mula menyalahkan takdir dan membuat keputusan bahawa segala usaha dan doanya adalah sia-sia, maka tidak perlu lagi dia berusaha untuk lebih maju.

Hakikatnya mereka lupa bahawa individu yang berjaya bukanlah kerana dia ditakdirkan untuk berjaya. Mereka bermula dengan membina imej diri yang positif terlebih dahulu. Ini bermaksud, tunggak kejayaan sesiapa sahaja di dunia ini adalah apabila dia berjaya mengawal dirinya sendiri terlebih dahulu sebelum mengawal pandangan orang lain terhadap dirinya.

Antara tips untuk menukar imej negatif kepada positif adalah ;

  • Tukarkan fikiran negatif kepada sentiasa optimis dan positif dalam apa jua situasi. Dalam erti kata lain cuba mencari hikmah dalam setiap permasalahan yang terjadi.
  • Tingkatkan keterlibatan dalam semua aktiviti. Dalam erti kata lain cuba sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti sosial supaya anda tiada kesempatan untuk bersedih.
  • Cuba untuk membentuk persekitaran positif adalah cara yang baik untuk membentuk imej diri yang positif. Ini kerana orang-orang yang berjaya akan cuba melingkungi dirinya dengan bergaul bersama-sama mereka yang telah berjaya
  • Rebut peluang mencari ilmu di mana sahaja. Berkongsi pengalaman dengan orang yang telah berjaya juga mampu membuka mata hati dan jiwa.

Dalam konsep teambuilding dan kerjasama berpasukan, aura dan imej yang positif ini akan membantu seluruh pasukan atau organisasi bergerak maju dan membentuk daya saing. Melalui penerapan pemikiran dan penghasilan idea yang kreatif dan inovatif adalah perlu imej yang positif ini sentiasa diterapkan sejajar dengan kemajuan organisasi.

Ini adalah penting bagi mengelakkan terjadinya permusuhan lantaran rasa iri hati dengan kejayaan pasukan lain. Justeru, di sinilah kepentingan imej diri yang positif yang tidak hanya menentukan kejayaan dan kecemerlangan individu malah menentukan juga kecemerlangan seluruh organisasi dan jabatan.

MENGUCAPKAN TERIMA KASIH ASAS KOMUNIKASI POSITIF

Mengucapkan terima kasih adalah satu unsur budaya yang sangat penting dalam semua lapisan masyarakat tidak mengira usia, budaya dan latar belakang pendidikan atau sosioekonomi. Pelbagai sebab dan tujuan yang membolehkan seseorang itu memberi ucapan terima kasih kepada seseorang yang lain. Antara sebab dan tujuan ucapan penghargaan ini dituturkan antaranya adalah

  1. Menerima jemputan atau undangan bagi sesebuah program atau keramaian.
  2. Mendapat bantuan dan pertolongan dari segi fizikal ; misalnya dibantu oleh mekanik lantaran kereta yang rosak.
  3. Mendapat penghargaan atau pujian daripada individu lain ; seorang murid yang dipuji oleh cikgunya lantaran kecemerlangan.

Perkara-perkara yang dinyatakan di atas adalah antara faktor seseorang itu mengucapkan terima kasih. Keikhlasan hati dan nada suara serta gerak badan dan senyuman yang dilontarkan semasa ucapan tersebut juga perlu selari bagi menunjukkan kesyukuran atas bantuan yang diterima.

Perlu diingatkan bahawa nada yang kurang menyenangkan akan menjejaskan komunikasi positif dalam komunikasi dua hala ini. Terdapat juga ucapan terima kasih yang lebih panjang yang menggambarkan kesopanan dan penghargaan khusus kepada seseorang individu atau jabatan tersebut seperti ;

  1. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada jawatankuasa yang menganjurkan majlis ini.
  2. Tidak dapat saya gambarkan betapa besarnya penghargaan saya….

Justeru dalam budaya mengucapkan terima kasih ini, selain daripada teknik menzahirkan ucapan penghargaan tersebut dengan baik dan ikhlas, teknik membalas kembali ucapan tersebut perlu dititikberatkan. Ini kerana cara yang terbaik dan mampu menyebarkan emosi positif kepada individu yang menerima bantuan adalah dengan membalas ucapan tersebut dengan turut seikhlas hati dan tidak sekadar menganggukkan kepala sahaja.

Contoh ucapan terima kasih kembali yang sesuai dan lebih positif adalah ;

  • Saya senang hati sekali melakukannya
  • Saya gembira dapat membantu tuan
  • Saya melakukan hanya yang termampu sahaja
  • Tidak mengapa tuan, tidak perlu disebut-sebut lagi

Dengan ucapan timbal balas di atas, maka kedua-dua pihak akan sama-sama rasa dihargai dan merasa lebih gembira.

Terima kasih daun keladi,

Lain hari bantulah lagi,

Kami kini terhutang budi,

Semoga tuan sentiasa dirahmati.

 

PERSIAPAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN : TIPS PEMBELAJARAN DALAM KEM MOTIVASI

Persiapan menghadapi peperiksaan adalah modul ilmu yang sering diterapkan dalam setiap kem motivasi pelajar di asia camp. Peperiksaan merupakan perkataan yang amat sinonim dengan para pelajar. Boleh diibaratkan bahawa selagi seseorang itu bergelar pelajar, tidak kira sama ada di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah mahupun institusi pengajian tinggi, beliau tidak akan terlepas daripada menduduki dan menghadapi peperiksaan.

Justeru, untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran dan peperiksaan, semua pihak iaitu daripada ibu bapa, para guru dan golongan pelajar itu sendiri perlu mempersiapkan diri sebaiknya dengan ilmu, tips dan teknik-teknik berkesan dalam persiapan menghadapi peperiksaan.

Dalam mana-mana kem motivasi pasti akan diselitkan dengan satu modul khas untuk para penceramah berkongsi tips dan teknik untuk menghadapi peperiksaan dengan baik. Salah satu contoh persediaan adalah melalui persediaan fizikal. Contohnya para pelajar ini perlu mendapatkan tidur yang cukup dan berkualiti sebelum menghadapi peperiksaan.

Cabaran ibu bapa pada masa kini adalah di mana kebanyakan pelajar menjadikan gadjet dan telefon pintar sebagai sahabat karib yang akan dibawa ke mana sahaja. Justeru, para ibu bapa yang mahukan kecemerlangan anak-anak perlu tahu cara untuk mengawal masa mereka menggunakan telefon pintar atau gadjet tersebut. Penggunaan alat teknologi yang tidak dikawal akan menyebabkan persiapan menghadapi peperiksaan menjadi gagal dan seterusnya menjejaskan kecemerlangan murid dan pelajar dalam peperiksaan.

 

Image result for no gadget policy

Selain daripada persiapan fizikal, persiapan mental juga merupakan aspek yang sangat penting bagi menjamin kecemerlangan para pelajar. Elakkan perasaan gemuruh yang berlebihan semasa menjawab peperiksaan kerana dikhuatiri semua ilmu dan formula yang dihafal akan menjadi hilang atau terlupa saat para pelajar menjawab peperiksaan.

Tidak dinafikan apabila menjelang saat-saat akhir, tekanan menghadapi peperiksaan semakin dirasai oleh para pelajar, para ibu bapa dan para guru. Justeru, apa yang paling penting di saat-saat akhir menjelang peperiksaan adalah para pelajar lebih menenangkan emosi dan fikiran di samping memperbanyakkan berdoa.

Tidak dilupakan juga, pada saat-saat akhir menjelang peperiksaan, para pelajar perlu meminta maaf dengan semua guru dan minta supaya dihalalkan ilmu yang diajar, selain meminta maaf dengan ibu bapa dan meminta doa daripada mereka supaya diberikan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.