Artical, clients

MENGUCAPKAN TERIMA KASIH ASAS KOMUNIKASI POSITIF

Mengucapkan terima kasih adalah satu unsur budaya yang sangat penting dalam semua lapisan masyarakat tidak mengira usia, budaya dan latar belakang pendidikan atau sosioekonomi. Pelbagai sebab dan tujuan yang membolehkan seseorang itu memberi ucapan terima kasih kepada seseorang yang lain. Antara sebab dan tujuan ucapan penghargaan ini dituturkan antaranya adalah

  1. Menerima jemputan atau undangan bagi sesebuah program atau keramaian.
  2. Mendapat bantuan dan pertolongan dari segi fizikal ; misalnya dibantu oleh mekanik lantaran kereta yang rosak.
  3. Mendapat penghargaan atau pujian daripada individu lain ; seorang murid yang dipuji oleh cikgunya lantaran kecemerlangan.

Perkara-perkara yang dinyatakan di atas adalah antara faktor seseorang itu mengucapkan terima kasih. Keikhlasan hati dan nada suara serta gerak badan dan senyuman yang dilontarkan semasa ucapan tersebut juga perlu selari bagi menunjukkan kesyukuran atas bantuan yang diterima.

Perlu diingatkan bahawa nada yang kurang menyenangkan akan menjejaskan komunikasi positif dalam komunikasi dua hala ini. Terdapat juga ucapan terima kasih yang lebih panjang yang menggambarkan kesopanan dan penghargaan khusus kepada seseorang individu atau jabatan tersebut seperti ;

  1. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada jawatankuasa yang menganjurkan majlis ini.
  2. Tidak dapat saya gambarkan betapa besarnya penghargaan saya….

Justeru dalam budaya mengucapkan terima kasih ini, selain daripada teknik menzahirkan ucapan penghargaan tersebut dengan baik dan ikhlas, teknik membalas kembali ucapan tersebut perlu dititikberatkan. Ini kerana cara yang terbaik dan mampu menyebarkan emosi positif kepada individu yang menerima bantuan adalah dengan membalas ucapan tersebut dengan turut seikhlas hati dan tidak sekadar menganggukkan kepala sahaja.

Contoh ucapan terima kasih kembali yang sesuai dan lebih positif adalah ;

  • Saya senang hati sekali melakukannya
  • Saya gembira dapat membantu tuan
  • Saya melakukan hanya yang termampu sahaja
  • Tidak mengapa tuan, tidak perlu disebut-sebut lagi

Dengan ucapan timbal balas di atas, maka kedua-dua pihak akan sama-sama rasa dihargai dan merasa lebih gembira.

Terima kasih daun keladi,

Lain hari bantulah lagi,

Kami kini terhutang budi,

Semoga tuan sentiasa dirahmati.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *