PENENTUAN JURULATIH CEMERLANG TUNGGAK KEM TERBILANG
Penentuan jurulatih bagi sesebuah program atau kem motivasi mahupun kem kendiri adalah antara asas-asas untuk memastikan kejayaan kem atau program motivasi tersebut. Jurulatih adalah individu yang memainkan peranan penting dalam mengendalikan setiap acara dalam program. Jurulatih yang membosankan atau dengan erti kata lain gagal untuk berkomunikasi secara baik dengan para peserta akan memincangkan perjalanan kem. justeru, pemilihan jurulatih yang tepat dan bersesuaian dengan setiap objektif program yang dijalankan adalah sangat penting dan menjadi tanggungjawab kepada AJK program untuk membuat penilaian yang memilih yang terbaik.
Menurut Chalofsky dan Reinhart (1988) – Penulis buku Effective Human Resource Development, peranan jurulatih menjadi lebih mencabar memandangkan keputusan yang dibuat berkaitan dengan pembangunan sumber manusia. Ini menerangkan bahawa penentuan jurulatih yang tepat akan mempengaruhi dan memberi impak besar kepada keseluruhan sesebuah program.
Jurulatih yang cemerlang adalah jurulatih yang memahami sepenuhnya peranan dan tanggungjawab beliau dan sentiasa cuba untuk memberikan komitmen yang terbaik sepanjang program berlansung. Antara peranan seorang jurulatih adalah cekap mengatur strategi. Peranan ini adalah melibatkan kerja merancang, melaksana, mengurus dan mengawasi kegiatan latihan.
Selain tu, jurulatih yang cemerlang juga adalah seorang yang mampu menganalisis keperluan latihan atau program. Ini bermaksud, beliau perlu tahu cara untuk menyesuaikan aktiviti seiring dengan kehendak program.
Penentuan jurulatih juga perlu dinilai dari aspek kemahiran yang ada pada setiap jurulatih. Sebagai contoh adalah menjadi bonus kepada para penganjur kem motivasi sekiranya jurulatih yang dipilih dapat memberikan ceramah motivasi dan dalam pada masa yang sama dapat mengawasi para peserta dari aspek keselamatan.
Seorang jurulatih yang baik juga wajib mematuhi nilai-nilai kemanusian sejagat dan mereka harus sedar sepanjang kem atau program motivasi tersebut berjalan, mereka diibaratkan sebagai idola dan segala tindak tanduk mereka akan menjadi contoh dan ikutan kepada para peserta. Justeru, jika mereka mempamerkan imej atau perlakuan yang negatif, maka bimbang jika para peserta akan mengikuti jejak mereka pula.
Jika kita melakukan perkara yang selalu kita lakukan, maka kita hanya akan mendapat perkara yang telah kita perolehi – Tony Robbins