APLIKASI TEORI GOL (MATLAMAT) DALAM KECEMERLANGAN TEAMBUILDING
Teori penetapan gol atau juga dikenali sebagai goal setting mengatakan tingkah laku seseorang itu amat dipengaruhi oleh nilai-nilai dan gol-gol kehidupannya. Nilai-nilai yang dijadikan pegangan oleh seseorang itu menyebabkan dia mahu melakukan perkara-perkara yang selaras dengan nilai-nilai golnya sahaja.
Sebagai contoh, seseorang ketua yang sangat mementingkan kejujuran akan memilih mereka yang jujur sahaja bagi bekerja bersamanya dan lebih mementingkan latar belakang peribadi berbanding latar belakang kecemerlangan akademik. Kebanyakkan teori motivasi meletakkan gol sebagai perkara yang paling utama dalam mencapai matlamat dan target.
Justeru, adalah penting untuk sesebuah organisasi arif tentang ilmu dan teori penetapan gol ini kerana gol yang jelas bukan sahaja memberikan kesan positif dalam usaha membentuk kejayaan, malah turut dikenali sebagai alat memotivasikan pasukan.
Apabila seseorang itu sudah menentukan gol yang dijadikan sebagai matlamat dan fokus utamanya, dia akan mula bekerja ke arah mencapai matlamat tersebut. Justeru, pada kebiasannya, dia akan mula memilih aktiviti-aktiviti atau sebarang majlis ilmu yang berkaitan untuk membantunya lebih mengenali gol tersebut. Sebagai contoh, apabila seorang remaja yang sangat bercita-cita dan meletakkan gol untuk menjadi pemain bola sepak, maka dia akan mula dengan mengisi masanya dengan bermain bola sepak sama ada di sekolah atau pun apabila ada masa terluang.
Dalam teori penetapan gol ini juga menerangkan bahawa gol yang tercapai akan menimbulkan rasa puas hati kepada seseorang. Rasa puas hati ini pula adalah salah satu faktor yang menyebabkan para pekerja mempunyai semangat kerja yang tinggi. Selain itu, gol yang tercapai juga akan membantu menambahkan lagi keyakinan kepada para pekerja atau ahli pasukan untuk lebih berusaha gigih supaya dapat menaiki tangga kejayaan yang lebih tinggi.
Kesimpulannya, apabila seseorang itu mempunyai goal setting yang jelas dan tepat, maka dia tidak akan mudah untuk hilang fokus dan sentiasa mengawasi langkahnya agar setiap tindakan yang diambil tidak akan mendatangkan kemudaratan atau menyebabkan golnya tidak tercapai.
Jelas sekali, individu yang mencapai kejayaan tinggi adalah individu yang mempunyai sifat pandai memantau kemajuan diri serta bertanggungjawab ke atas kejayaannya sendiri.