LAPAN LANGKAH MENUJU KE ARAH KEHIDUPAN CEMERLANG – Intipati Kem Motivasi

Langkah menuju kehidupan cemerlang adalah antara ilmu pengetahuan yang sentiasa diterapkan dalam mana-mana kem motivasi atau kem jati diri. Seiring dengan perubahan dan cabaran yang dihadapi dalam kehidupan sehari-harian, individu yang sentiasa menimba ilmu pengetahuan pasti akan dapat menempuhi onak duri dan ranjau kehidupan.

Lapan langkah tersebut adalah :-

  1. Individu harus membuat rumusan jelas mengenai sasaran utama dalam kehidupan.
  2. Bijak menggunakan daya imaginasi untuk menguatkan semangat
  3. Sedar bahawa dalam usaha mengejar cita-cita, ada harga yang perlu dibayar dan bersedia membayarnya.
  4. Mengirimkan isyarat yang benar kepada fikiran bawah sedar.
  5. Langkah menuju kehidupan cemerlang juga adalah di mana individu perlu rela, bersedia dan redha menerima kegagalan untuk sementara waktu.
  6. Perlu percaya kepada kekuatan fikiran dan minda boleh merubah banyak hal dalam kehidupan.
  7. Jangan sesekali menuduh diri sendiri dan melemahkan diri sendiri.
  8. Dan sangat penting untuk berhenti menutup kelemahan diri dengan berbagai dalih atau alasan.

Dalam konteks membuat rumusan jelas tentang sasaran utama kehidupan, adalah penting bagi individu tersebut memahami bahawa tidak cukup sekadar pandai mengucapkan ayat-ayat positif RAMBANG seperti “saya inginkan kebahagiaan” atau “saya berazam untuk merubah peribadi saya lebih baik”.

Ini kerana minda perlu diasuh dengan arahan jelas melalui langkah menuju kehidupan cemerlang ini seperti “saya pasti berusaha menjadi seorang jururawat dalam tempoh 3 tahun ini” atau “saya akan menjadi editor bagi syarikat. Selain daripada itu, jadikan rutin harian untuk membaca semula tulisan-tulisan tersebut supaya minda positif itu tadi akan sentiasa mengingati tujuan dan sasaran utama dalam kehidupan.

Orang yang hidupnya tiada matlamat akan seringkali memberikan jawapan atau alasan seperti “kalaulah saya mempunyai pelajaran yang tinggi, tentu saya akan jadi pegawai besar”. Alasan-alasan sedemikian tanpa disedari membunuh impian dan potensi dirinya sendiri untuk lebih maju dalam kehidupan.

Justeru, untuk mengecapi kebahagiaan melalui kehidupan yang positif dan cemerlang, alasan-alasan membunuh kejayaan perlu dielakkan sama sekali.

 

Saya percaya bahawa orang-orang yang besar, iaitu orang-orang yang merealisasikan diri dan hidup secara penuh adalah pemberi berkat yang besar – Mark Victor Hansen-

Terdapat banyak kem yang boleh diikuti untuk memberi motivasi diri kepada anda., AsiaCamp, kem latihan & rekreasi sungai congkak, kem sri raudah, tempat kem kepimpinan di Perak dan banyak lagi kem rekreasi di Perak dan Selangor

MENGENALI ETIKA ALAM SEKITAR SEMASA PERKHEMAHAN DI ASIA CAMP

Etika alam sekitar adalah sebuah prinsip displin pengajian yang baru berkembang ekoran timbulnya krisis alam sekitar yang semakin hebat dihadapi oleh manusia pada hari ini. Adalah menjadi tanggungjawab setiap manusia di muka bumi ini untuk menghargai keindahan alam semulajadi yang telah wujud sejak sekian lama.

Dalam prinsip etika ini, masyarakat akan didedahkan tentang amalan sikap yang dapat membantu memelihara dan memulihara alam sekitar dan alam semulajadi. Apabila dilihat secara konteks global, hampir seluruh dunia berdepan dengan masalah pencemaran yang semakin meruncing malah sudah sampai ke tahap kritikal.

Semasa menyertai sebarang aktiviti perkhemahan, peserta harus diingatkan tentang etika alam sekitar ini bagi mengelakkan mereka melakukan sebarang keganasan terhadap tumbuh-tumbuhan seperti menebang pokok-pokok yang ditanam, memetik bunga dan membunuh haiwan.

Dalam salah satu subjek matapelajaran di sekolah iaitu Geografi, sering kali kita dengar bahawa kepentingan hutan adalah sebagai kawasan tadahan air. Kepupusan kawasan tadahan air ini lantaran kemajuan pesat semua jenis industri lain memaksa pihak berkuasa untuk mewujudkan semula Hutan Simpan.

Justeru, adalah penting bagi kita sebagai seorang manusia yang baik dan bermoral tinggi untuk sama-sama memastikan khazanah Negara ini tidak dicemari oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Patuhi segala peraturan yang telah ditetapkan semasa berada dalam hutan tersebut.

Selain daripada itu, prinsip etika alam sekitar ini juga mengingatkan manusia bahawa melalui penjagaan hutan simpan juga adalah kebergantungan generasi kini dan generasi akan datang untuk mendapatkan bekalan air dan udara yang bersih.

Pada zaman ini, permintaan air bersih bagi Negara Malaysia semakin meningkat sehingga 4%. Sumber utama air yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat adalah daripada hujan, sungai, tasik, kolam takungan dan empangan air buatan manusia.

Namun begitu, bagi menjamin kebersihan air tersebut pemuliharaan dan pemeliharaan hutan adalah sangat penting. Ini kerana air yang bersih datangnya daripada ekosistem alam yang sempurna dan tidak tercemar.

Justeru, memahami cabaran yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini, penerapan ilmu etika alam sekitar adalah satu ilmu yang penting dan perlu dipraktikkan oleh semua pihak sebelum keseluruhan ekosistem alam semulajadi ini terganggu.

PENGALAMAN RAPID SHOOTING DI ASIA CAMP TAMAN NEGARA JERANTUT PAHANG

Rapid shooting adalah satu aktiviti yang sering menjadi pilihan para pengunjung yang berkunjung ke Asia Camp Taman Negara, Jerantut, Pahang. Ia adalah satu aktiviti di mana semua peserta program akan menaiki sampan sambil menikmati pemandangan indah sepanjang menelusuri sungai tersebut.

Para peserta akan berkumpul terlebih dahulu di tebing sungai sebelum mereka bersama-sama menaiki bot panjang yang disediakan oleh pihak Asia Camp di Taman Negara, Jerantut Pahang ini. Setelah semua peserta menaiki bot panjang ini maka, pemandu bot akan mula menghidupkan enjin dan mengemudi. Perasaan teruja para peserta akan dapat dilihat semasa enjin bot mula dihidupkan.

Jelas sekali, meraka tidak sabar untuk merasai pengalaman rapid shooting ini. Masing-masing mula bersedia mengeluarkan gadjet seperti telefon pintar atau kamera digital supaya tidak terlepas untuk merakam atau menangkap foto-foto menarik sepanjang menelusuri anak sungai.

 

Merasai deruan air sungai yang berombak kecil di bawah bot panjang adalah salah satu kaedah terapi yang menenangkan jiwa dan memberi ketenangan minda. Selain berpeluang menikmati pemandangan di tebing-tebing sungai yang penuh dengan kejutan seperti melihat monyet memetik buah misalnya, para peserta juga disajikan dengan pemandangan hijau tumbuh-tumbuhan sungai yang tidak boleh dinikmati dalam kesibukan di kota raya.

Justeru, aktiviti rapid shooting ini adalah salah satu aktiviti yang perlu dirasai oleh semua peserta kem atau pengujung yang berkunjung ke Asia Camp Taman Negara Jerantut, Pahang ini. Salah satu pemandangan menarik yang sering menjadi pilihan pengunjung untuk mengabadikan kenangan dalam foto adalah pemandangan di tebing Sungai Ulu Tembeling di mana terdapat batu-batu besar yang berkumpul seakan membentuk daratan.

Aktiviti sebegini bukan sahaja sesuai untuk peserta kem, malah turut sesuai untuk dijadikan pilihan sebagai aktiviti keluarga semasa membawa keluarga anda bercuti di sini. Lebih-lebih lagi, di Asia Camp Taman Negara Jerantut Pahang ini turut menyediakan Private Chalet untuk keselesaan pengunjung yang mengutamakan privasi.

Sunyi sepi malam yang kelam,

Mujurlah lilin tetap dibawa,

Sungai Pahang khazanah alam,

Menyusuri sungai tenangkan jiwa.

Lawati laman web AsiaCamp resort untuk info lanjut : https://tamannegara2u.com/

MENGENAL KATEGORI BADAN BERUNIFORM PENGAKAP DI ASIA CAMP

Badan beruniform pengakap secara asasnya terbahagi kepada lima kategori. Ahli-ahli pengakap adalah antara ahli badan beruniform yang sering menjalankan aktiviti kem jati diri dan perkhemahan di Asia Camp. Kategori yang pertama dikenali sebagai Pengakap Kanak-Kanak, di mana ia merupakan bahagian yang boleh dianggap sebagai langkah pertama bagi seseorang untuk menceburi bidang ini.

Seseorang murid sekolah rendah yang berumur di antara usia 8 tahun hingga 12 tahun adalah dilayakkan memasuki Pengakap Kanak-Kanak ini. Murid tersebut pula tidak boleh terus kekal dalam Pengakap Kanak-Kanak sekiranya usianya telah melebihi 12 ½ tahun atau memasuki alam persekolah sekolah menengah.

Badan beruniform pengakap bagi kategori Pengakap Muda pula adalah dikenali sebagai kategori kedua selepas Pengakap Kanak-Kanak. Unit Pengakap Muda ini bertujuan menggalakkan dan memperbaiki lagi kesuburan rohani, jasmani, akal dan pergaulan di kalangan ahli-ahli.

Seseorang Pengakap Muda hendaklah berusia di antara 12 ½ tahun hingga 15 ½ tahun. Seorang Pengakap kanak-kanak adalah digalakkan untuk terus menyertai Pengakap Muda. Diingatkan juga bahawa ahli-ahli akan diuji dalam beberapa perkara tertentu sebelum membolehkan mereka memperolehi Lencana Keahlian Pengakap.

Seterusnya seorang ahli pengakap boleh menyambung menyertai kegiatan dan aktiviti pengakap dengan menyertai Pengakap Remaja, Pengakap Kelana dan Pengakap Budika pula. Apa yang menarik mengenai badan beruniform pengakap ini adalah di mana setiap unit pengakap ini mempunyai sistem latihan yang bersesuai dengan peringkat umur atau keupayaan ahli pasukan tersebut.

Selain daripada itu, setiap ahli dan pemimpin pengakap hendaklah mendaftar diri dengan ibu pejabat PPM melalui Setiausaha Persekutuan Pengakap Tempatan. Pada kebiasannya, pendaftaran keahlian ini dilakukan pada awal tahun bagi setiap tahun. Pendaftaran ahli menggunakan Borang PPM-1(A) dan harus diisi dalam satu salinan.

Terdapat pelbagai rancangan latihan bagi Pengakap Muda setelah berjaya mendapatkan Lencana Keahlian iaitu seperti mendapatkan pula Lencana-Lencana Kemajuan seperti Lencana Usaha, Lencana Maju dan Lencana Jaya. Segala maklumat, ketetapan dan syarat-syarat pula untuk mendapat lencana-lencana dalam badan beruniform pengakap ini boleh diperolehi daripada buku Skim Latihan Pengakap Muda daripada PPM.

 

MENGENALI ILMU PERUBAHAN AWAN SEMASA PERKHEMAHAN

Mengenal perubahan awan semasa dalam perkhemahan juga adalah antara ilmu perkhemahan yang sangat penting sekiranya peserta tersesat di dalam hutan. Titisan-titisan wap halus yang terapung-apung di udara juga dikenali sebagai wap. Proses pembentukan awan berlaku apabila air di permukaan bumi seperti di laut, sungai, tasik dan paya tersejat ke udara. Wap air yang tersejat itu pula akan naik ke atas dan berkumpul di langit yang membentuk fenomena yang dikenali sebagai awan.

Awan pula bukanlah semuanya sama. Ia mempunyai berbagai-bagai bentuk dan jenis serta berada pada tahap ketinggian yang berbeza malah juga mempunyai bentuk yang berbeza-beza. Justeru, pengetahuan mengenal perubahan awan ini perlu diketahui oleh para pengembara bagi membolehkan mereka bersedia untuk mendirikan khemah atau mencari tempat berteduh yang sesuai sekiranya hari menandakan hendak hujan.

Terdapat tiga jenis awan yang perlu diketahui oleh sang pengembara iaitu awan kumulus, awan stratus dan awan sirus. Gumpalan awan jenis cumulus ini dapat dilihat melalui pembentukan bahagian bawah yang gelap dan membumbung tinggi membentuk himpunan kubah-kubah putih. Pada kebiasaannya ketinggian awan cumulus ini berada pada paras 6100 meter hingga 9000 meter yang bermaksud agak tinggi. Awan cumulus ini pada kebiasannya memberikan petanda bahawa cuaca adalah agak baik. Namun demikian, dalam ilmu mengenal perubahan awan ini, perlu diingatkan sebarang pertembungan yang berlaku antara udara yang panas terik dengan tekanan udara yang rendah akan membentuk hujan.

Awan stratus pula termasuk dalam kumpulan awan yang berkedudukan rendah iaitu sekitar paras 200 meter sahaja. Kumpulan awan ini kebiasaannya berwarna kelabu seperti ada bayangan gelap. Ia juga membentuk suasana yang suram dan malap dan kebiasaannya mengundang gerimis.

Kategori awan yang ketiga pula adalah awan sirus iaitu awan yang mempunyai kedudukan ketinggian yang paling tinggi sekitar 6100 meter hingga 12,200 meter.  Awan jenis ini membentuk kepulan nipis dan kelihatan seperti kapas. Awan jenis ini menandakan cuaca yang cerah dan membentuk pemandangan waktu senja yang indah.

Kesimpulannya, semoga dengan ilmu mengenal ciri-ciri awan ini akan membantu para pengembara untuk merancang perkhemahan mereka dengan lebih baik dan teratur.

 

SENYUMAN BINA PERSONALITI CEMERLANG DAN POSITIF DALAM PASUKAN

Senyuman ikhlas yang berharga adalah perlu diberikan kepada setiap insan untuk membantu menyebarkan aura positif kepada semua tidak mengira masa. Senyuman dan gerak bibir seseorang juga akan memberikan banyak kisah dan cerita tentang pemiliknya. Sebagai contoh, lukisan Mona Lisa Potret yang sangat mahal harganya di dunia ini adalah semata-mata kerana dikatakan mempunyai senyuman yang menakjubkan.

Image result for monalisa

Begitulah juga diibaratkan dengan betapa besarnya gerak bibir yang dipanggil senyuman ini tadi kepada masyarakat sekeliling terutama dalam membentuk dan mengekalkan semangat berpasukan yang harmoni dan membahagiakan. Justeru, kita perlu sentiasa melatih bibir untuk sentiasa tersenyum.

Senyuman ikhlas yang berharga juga bukanlah seumpama pepatang lama Melayu “senyum kambing” atau dikenali juga sebagai “senyum sinis”. Dua istilah senyuman tersebut dikenali dengan tujuan untuk mengejek atau memperlekehkan seseorang. Justeru, ia bukanlah satu perbuatan yang bagus untuk diamalkan dalam konsep teambuilding.

Selain daripada itu, gerak bibir juga dikenali sebagai pembuka kata-kata. Oleh yang demikian, maka adalah perlu bagi ahli pasukan yang cemerlang untuk melatih gerak bibir mereka dengan memberikan gambaran positif semasa menguntum senyuman. Acap kali kita mendengar pepatah “senyum itu ibarat satu sedekah”, yang memberitahu kita bahawa insan yang sentiasa menguntum senyuman ikhlas pasti murah dan mudah jalan rezekinya.

Senyuman ikhlas yang berharga ini juga adalah berfungsi sebagai pemangkin semangat positif dalam pasukan. Justeru, belajarlah untuk tersenyum supaya insan lain turut tersenyum kepada anda. Kesan daripada memberikan senyuman yang ikhlas ini antaranya adalah perhubungan akan menjadi lebih lancar dan komunikasi akan menjadi lebih lemah lembut tanpa sebarang tekanan dan paksaan.

Selain daripada itu, senyuman ikhlas yang dilemparkan juga boleh memendekkan rasa amarah sekiranya terjadinya konflik dalam sesebuah pasukan. Selain dapat menjadikan wajah lebih awet muda, senyuman ikhlas juga membantu mengurangkan stress dan tekanan.

Justeru, jika anda masih belum melemparkan senyuman pada hari ini, jangan ragu-ragu untuk mulai tersenyum sekarang untuk kita merasai nikmat hidup dikelilingi oleh semangat positif sentiasa dan hari-hari mendatang akan lebih bahagia.

 

Jika anda ada tugas untuk dilaksanakan dan sangat berminat, seronok dan tercabar melakukannya, anda akan memberikan sepenuh tenaga. Dalam keseronokan, kesakitan dan keletihan akan hilang dan semangat yang kuat untuk mencapai hasilnya akan mengatasi keletihan yang dirasai. – Jimmy Carter.

 

KOMUNIKASI MELALUI API DAN ASAP DALAM GERAKAN BADAN BERUNIFORM

Ilmu komunikasi api dan asap dalam pergerakan unit beruniform adalah salah satu ilmu yang sangat membantu semasa perkhemahan. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa dua elemen ini boleh digunakan sebagai alat komunikasi semasa di dalam hutan.

Jika ada yang masih ingat dalam satu babak filem Hollywood yang terkenal iaitu Pirates of Carribean – The Curse Of The Black Pearl di mana terdapat babak yang menunjukkan Elizabeth Swan membakar pohon rum dan menimbulkan asap tebal semasa dia terkandas di sebuah pulau bersama-sama Kapten Jack Sparrow.

Justeru, apa yang ingin disampaikan adalah setiap ahli pasukan yang berkhemah perlu mengetahui kemahiran tentang cara untuk menghantar pesanan dan membaca isyarat menerusi ilmu komunikasi api dan asap ini.

Komunikasi api biasanya digunakan pada waktu malam dan komunikasi asap pula digunakan pada waktu siang hari. Sejarah penggunaaan dua elemen ini sebagai modul komunikasi dimulakan oleh orang Red Indian di Amerika yang menggunakan isyarat asap sebagai tanda serangan musuh ataupun menandakan telah berlakunya kecemasan yang tidak dijangka.

 

Asap boleh dijadikan dengan mengumpulkan bahan-bahan kering di dalam hutan seperti daun-daun kering, ranting-ranting kayu atau dahan-dahan yang kering. Bahan-bahan ini dikumpul bersama sebelum menyalakan api. Setelah api terhasil, letakkan pula sedikit demi sedikit daun atau rumput yang basah.

Melalui pembelajaran ilmu komunikasi api dan asap ini juga mengajar para peserta perkhemahan di mana setiap jenis kepulan asap membawa maksud yang berbeza. Kepulan asap yang besar atau panjang yang perlahan-lahan dan berturut-turut tiga kali bermaksud “mara”.

Kepulan asap yang kecil atau pendek berturut-turut pula bermakna “berkumpul”. Kepulan asap yang bersambung dan tidak putus-putus pula membawa maksud “berhenti”. Dan akhir sekali, kepulan asap kecil atau pendek dan besar atau panjang bergilir-gilir pula membawa maksud “bahaya

Semua jenis perbezaan kepulan asap ini perlu diketahui oleh para ahli perkhemahan kerana ia akan membantu mereka sekiranya terkandas di dalam hutan. Selain itu juga ia dapat memudahkan para ahli pasukan penyelamat untuk mencari lokasi mereka dan seterusnya menyelamatkan mereka.

ILMU PEMBACAAN PETA BAGI PENGEMBARA SEMASA DI HUTAN

Ilmu pembacaan peta adalah sama penting dengan ilmu menggunakan kompas bagi sang pengembara atau mereka yang terlibat dalam aktiviti perkhemahan. Pelbagai maklumat yang perlu dipelajari dan diketahui dalam sesebuah peta. Antara maklumat yang perlu diketahui oleh para pengembara dalam sesebuah peta adalah seperti tajuk peta, siri nombor, nombor sheet, tahun peta dikeluarkan, skala peta seperti 1 : 63360 atau 1 : 10000, sertan petunjuk dalam peta yang menunjukkan bangunan-bangunan, jalan raya, tanaman, sungai atau aliran air, gunung, dan habitat haiwan.

Kegunaan asas peta adalah untuk menunjukkan sesuatu tempat bagi lokasi sebenar. Melalui ilmu pembacaan peta ini para pengembara akan turut didedahkan bagaimana untuk mengenalpasti kedudukan tempat di atas peta dengan menggunakan panduan grid.

Pada sempadan-sempadan peta terdapat garisan-garisan menegak yang dipanggil garisan utara-selatan dan terdapat juga garisan mendatar yang dipanggil garisan timur barat. Garisan-garisan ini akan disertai dengan nombor-nombor untuk memudahkan pembaca peta mengenal pasti kedudukan yang digelar sebagai koordinat.

Garisan menegak dipanggil garisan utaraan manakala garisan mendatar pula dipanggil garisan timuran. Semua garisan grid ini diberi nombor yang berpandukan dari penjuru barat daya. Nombor-nombor ini pula turutannya akan semakin besar apabila menuju ke utara dan timur.

Kebiasaannya, kedudukan panduan grid dalam ilmu pembacaan peta ini dinyatakan dalam enam angka. Tiga angka pertama menunjukkan kedudukan garisan utaraan, dan tiga angka terakhir adalah garisan timuran. Namun begitu, pada kebiasaannya, tiga angka terakhir dinyatakan secara anggaran berdasarkan pengamatan dan agakan, di mana jarak antara dua garisan tersebut dibahagi kepada 10 bahagian. Sebagai contoh jika titik berkenaan berada di bahagian ketiga, maka angka tiga dinyatakan.

Pada era moden ini, masyarakat telah disajikan dengan kemajuan teknologi telefon pintar dan membolehkan mereka memuat turun aplikasi WAZE yang membantu mereka untuk mencari lokasi dengan mudah. Pengguna hanya perlu mengikut suara yang keluar daripada telefon pintar tersebut sehingga tiba ke destinasi.

Namun begitu, aplikasi ini hanya boleh digunakan dengan talian internet yang jelas dan kuat. Justeru, sekiranya di dalam hutan dan talian internet tidak dapat diakses dengan jelas maka ilmu pembacaan peta sangat membantu untuk menentukan arah.

Klik disini untuk artikel seterusnya>>

happiness is genuine gift in life

KEM MOTIVASI MERANSANG KECEMERLANGAN AKADEMIK DAN SAHSIAH DIRI PELAJAR

Kecemerlangan diri dan akademik adalah salah satu modul yang sentiasa dipilih dalam setiap kem motivasi yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah semasa di Asia Camp. Apabila menyebut kepada kecemerlangan akademik ia adalah berkisar kepada keputusan peperiksaan pelajar yang dijadikan sebagai kayu pengukur. Jika pelajar tersebut berjaya memperolehi semua A dalam setiap mata pelajaran maka dia dianggap sangat cemerlang dan mencapai target.

Namun begitu, apabila kemajuan semakin menjengah dunia, aspek kecemerlangan seseorang pelajar tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik sahaja. Ini adalah kerana dikhuatiri golongan pelajar ini terlalu terbeban dengan tekanan dan terlupa bahawa kecemerlangan diri dan akademik adalah perlu seiring.

GAME 2: Line of shoes

Melihat kepada apa yang berlaku pada zaman sekarang, pelajar yang cemerlang akademiknya juga berpotensi terpengaruh dengan gejala buruk dan kes-kes jenayah. Ini adalah senario yang sangat buruk dan tidak seharusnya berlaku pada anak-anak muda. Mereka bukan sahaja adalah asset kepada Negara tetapi juga adalah penyambung kepada generasi seterusnya yang akan memacu dan menentukan kejayaan Negara pada masa akan datang.

Jika buruk peribadi mereka, maka buruk dan hancurlah juga Negara. Justeru, melalui kem motivasi dan program kecemerlangan yang dijalankan, para pelajar akan diberi pendedahan bahawa sahsiah diri peribadi perlu cemerlang seiring dengan kecemerlangan akademik.

Kecemerlangan diri dan akademik akan terbentuk melalui sahsiah diri yang terpuji. Sahsiah diri yang terpuji yang dimaksudkan adalah seperti berdisplin, menghormati orang tua, sentiasa menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang menyalahi undang-undang dan agama dan sentiasa cuba untuk mengisi masa dengan hobi yang berfaedah seperti bermain badminton atau menjahit.

Dalam kem motivasi juga mereka akan didedahkan bahawa sahsiah diri yang terpuji ini adalah tunggak kepada kejayaan mereka di dunia dan akhirat. Ini bermaksud sekiranya mereka berjaya memupuk sahsiah diri yang cemerlang maka potensi diri mereka untuk berjaya dalam setiap bidang yang diceburi sangat tinggi. Berkat doa dan restu daripada semua pihak tentu sahaja perjalanan hidup mereka menjadi lebih mudah dan segala kecemerlangan akan menjadi milik mereka.

Klik disini untuk artikel seterusnya>>

ILMU MENGGUNAKAN KOMPAS BAGI AHLI PASUKAN YANG BERKHEMAH DAN MENGEMBARA

Ilmu menggunakan kompas adalah salah satu ilmu berguna yang perlu dipelajari dan diketahui sebelum para peserta kem perkhemahan menyertai sebarang aktiviti di dalam hutan. Kompas pada dasarnya digunakan untuk menentukan sesuatu arah. Jenis kompas yang sering digunakan oleh ahli Pengakap semasa membuat pengembaraan adalah jenis kompas Silva.

Beberapa perkara yang perlu diketahui dan dipelajari oleh setiap ahli perkhemahan mengenai kompas ini adalah seperti jarum magnet, panah orienting, movable house, panah arah, skala darjah dan garis indeks. Istilah-istilah ini adalah sangat membantu para ahli pasukan yang menyertai perkhemahan semasa menunjukkan arah.

Justeru, melalui penerapan ilmu menggunakan kompas ini adalah penting untuk ahli memahami maksud setiap istilah di atas. Sebagai contoh, jarum kompas yang elok seharusnya sering bergerak-gerak sambil menunjukkan kepada satu arah sahaja. Arah yang ditunjukkan oleh jarum kompas tersebut pula adalah arah Utara Magnet. Berpandukan arah ini, ahli pasukan akan dapat menentukan arah-arah lain seperti Timur, Barat dan Selatan.

Kompas juga hendaklah sentiasa diletakkan dalam keadaan rata semasa pembacaan arah bagi memastikan arah yang ditunjukkan adalah tepat. Kompas bearing sudut mempunyai 360 darjah dan semua darjah diukur mengikut pusingan jam.

Selain daripada itu, antara perkara-perkara lain yang perlu diperhatikan oleh ahli pasukan dalam ilmu menggunakan kompas ini juga adalah mereka hendaklah sentiasa memeriksa bearing kompas iaitu arah yang dituju semasa berjalan bagi mengelakkan arah mereka berubah. Jika boleh, bawalah bersama alat yang dipanggil altimeter untuk mengukur ketinggian aras laut.

Mereka juga perlu menentukan sesuatu bahan sebagai tanda atau lebih dikenali sebagai checkpoint supaya mereka boleh terus menuju ke arah yang dituju dengan mudah sebagai contoh pokok-pokok besar, batu besar atau tanda-tanda lain yang luar biasa dan mudah diingati.

Selain empat istilah arah yang dinyatakan di atas, ada empat lagi istilah arah yang perlu diketahui oleh ahli pasukan sebelum memulakan pengembaraan iaitu, Timur Laut, Tenggara, Barar Daya dan Barat Laut. Kesemua arah ini akan membantu para pengembara sekiranya dianalisis dengan tepat.

Klik disini untuk artikel seterusnya>>