KESIHATAN FIZIKAL YANG BAIK MELATIH INDIVIDU MENJADI CEMERLANG

Kesihatan fizikal yang baik adalah sama pentingnya dengan kesihatan mental yang baik bagi memastikan seseorang individu itu sentiasa cemerlang dan bertenaga dalam meneruskan aktiviti hariannya. Tidak dinafikan, tanpa kesihatan yang baik maka kejayaan adalah mustahil untuk dicapai.

Jika kita perhatikan, individu yang suka bersenam adalah tampak lebih menarik dan berketrampilan. Malah ada juga yang tampak awet muda berbanding usia sebenar. Pelbagai kesan positif yang boleh diperolehi apabila kita menjaga kesihatan fizikal dan mental. Antara kesan positif tersebut adalah di antaranya dapat melatih diri lebih berdisplin dalam konteks pengurusan masa dan pembahagian tugas.

Kesihatan fizikal yang baik dapat melatih minda supaya sentiasa fokus kepada apa yang perlu diberi perhatian sahaja. Dalam erti kata lain ia melatih minda seseorang supaya sentiasa memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang mendatangkan hasil yang baik dan segera melupakan perkara-perkara yang tidak menyeronokkan seperti perselisihan faham dengan seseorang.

Tubuh badan sentiasa bertenaga untuk melakukan aktiviti-aktiviti lasak yang tidak dijangka. Sebagai contoh seseorang itu tentu tidak tahu bila masanya tayar motornya akan pancit. Membayangkan seseorang yang lemah fizikalnya tiba-tiba didatangi dengan masalah sedemikian tentu akan merasa lemah semangat dan tertekan. Berbeza dengan seseorang individu yang sihat tubuh badan dan mempunyai kesihatan fizikal yang baik tentu sahaja dia mampu menolak motorsikal yang rosak itu ke tepi jalan sementara menunggu tayar yang baru untuk ditukar atau membawa motorsikal tersebut ke bengkel untuk dibaiki.

Bagi golongan para pelajar yang mempunyai kesihatan yang baik tentu sahaja mereka akan lebih berpeluang untuk menyertai pelbagai aktiviti kem atau perkhemahan di sekolah. Justeru, kesihatan yang baik akan membuka lebih banyak peluang kepada golongan pelajar untuk mempelajari sesuatu yang baru berbanding dengan mereka yang tidak sihat tubuh badannya.

Kesimpulannya, adalah penting untuk mendidik masyarakat untuk menjaga kesihatan melalui amalan bersenam setiap hari atau 3 hari sekali misalnya. Ini kerana kesihatan yang baik adalah salah satu anugerah yang tiada gantinya.

EMPAT FAKTOR UTAMA DALAM MERAIH KEJAYAAN DAN KECEMERLANGAN – ASAS MODUL KEM MOTIVASI

Faktor utama meraih kejayaan adalah suatu jenis ilmu dan tips yang sangat perlu dikongsi dalam setiap modul kem motivasi dan kem kecemerlangan pelajar. Sifat semulajadi seseorang individu itu adalah dia sentiasa mahukan yang terbaik untuk dirinya. Ada yang sanggup berusaha keras mendapatkan kejayaan namun begitu, ada juga yang hanya mahu kejayaan datang bergolek kepada dirinya.

Hakikatnya kejayaan tidak dapat bergolek tetapi seseorang yang mahukan kejayaan perlukan sentiasa gigih dan sabar dalam mendapatkannya. Justeru, dalam artikel kali ini, penulis akan berkongsi tentang ilmu dan tips yang diperlukan dalam faktor utama meraih kejayaan ini.

GIGIH DAN SABAR KUNCI KEJAYAAN

Ada empat faktor utama yang perlu diketahui oleh mereka yang dahagakan kejayaan tidak kira dari segi kejayaan akademik di sekolah mahupun dalam alam pekerjaan.

  1. Faktor pertama adalah kekayaan pengetahuan. Pengetahuan yang dimaksudkan adalah pengetahuan tentang jalan hidup yang ingin dan akan ditempuhi. Pengetahuan tentang mengenali kemampuan dan kebolehan diri sendiri juga termasuk dalam faktor pengetahuan ini. Seseorang yang tidak mampu mengenali kemampuan dirinya akan merasa ragu-ragu dalam setiap langkah. Malah ada yang lebih buruk apabila mereka adalah jenis individu yang dikategorikan sebagai “hangat-hangat tahi ayam” di mana hanya bersemangat pada awalnya sahaja dan akhirnya segala usaha terbengkalai.
  2. Faktor utama meraih kejayaan yang kedua pula adalah ilmu keterampilan. Tentu sahaja individu yang menunjukkan keterampilan yang positif dan bersesuaian dengan kehendak semasa akan lebih menarik perhatian para pelabur dalam perniagaan misalnya berbanding dengan individu yang tidak tahu cara menyesuaikan diri dan kelihatan sangat kekok.
  3. Faktor yang ketiga adalah kemahuan dalam mengecapi kejayaan. Ibarat kata pepatah “hendak seribu daya tak hendak seribu dalih”. Begitu jugalah halnya dengan seseorang individu yang telah mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing. Semua daripada mereka adalah golongan yang pernah gagal dan merasa tertekan dalam kehidupan seperti tokoh-tokoh hebat JK Rowling dan Jack MA.
  4. Faktor yang terakhir adalah percaya dan sentiasa berfikir untuk memcapai kejayaan. Ia sinonim dengan sikap orang yang berjaya yang tidak pernah kenal erti mengalah.

TIDAK MENGALAH WALAUPUN DITIMPA KEGAGALAN

Seseorang yang berhenti mengembangkan diri beerti dia berhenti menjadi orang yang berkarakter – Cromwell

ENAM LANGKAH MELATIH EMOSI DAN DIRI AGAR SENTIASA CEMERLANG – MODUL KEM MOTIVASI

Langkah-langkah melatih emosi adalah salah satu teori pemikiran kreatif yang telah dibuktikan hasil daripada kajian ahli psikologi di mana ia mampu meruntuhkan jalan-jalan perasaan negatif dalam diri individu. Terdapat enam langkah yang telah disenaraikan oleh pakar-pakar psikologi yang paling ampuh dalam membuang emosi negatif seseorang iaitu :-

  1. Menukar perasaan dan tingkah laku lama. Teknik ini mengajar seseorang individu untuk mengenal pasti setiap emosi yang bermain di jiwa dan minda mereka dan membuang emosi-emosi yang dikategorikan sebagai terlalu buruk untuk dipendam.

 

  1. Mengetahui sentiment-sentimen sebenar dalam setiap perasaan juga adalah antara langkah-langkah melatih emosi. Teknik ini melatih seseorang untuk berlaku jujur kepada perasaannya sendiri di mana dia perlulah memahami perasaan sebenar dalam kecelaruan emosi tersebut. Sebagai contoh seorang wanita yang merasa sangat sayu dan pilu lantaran ditinggalkan oleh tunangnya perlu bijak menerima hakikat bahawa dunia ini masih luas dan terdapat pelbagai manusia yang menghadapi masalah dan dugaan yang lebih berat.

 

 

  1. Menukarkan perasaan-perasaan negatif tersebut dengan pandangan yang positif. Sebagai contoh, apabila seseorang pelajar itu gagal untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA atau universiti, maka cara terbaik untuk melatih emosinya supaya tidak terus kecewa adalah dengan meyakinkan dirinya bahawa dia mempunyai peluang yang lebih cerah di tempat lain.

 

  1. Langkah-langkah melatih emosi juga adalah dengan menambahkan senjata dalam diri iaitu keyakinan dan iltizam kepada diri sendiri. Perlu diketahui bahawa dalam kecelaruan emosi sebenarnya tiada orang lain yang mampu membinasakan seseorang melainkan individu itu sendiri.

Image may contain: 5 people, people standing, outdoor and nature

 

  1. Langkah seterusnya dalam melatih emosi adalah dengan cuba menerapkan emosi positif secara berterusan. Kecemerlangan tidak akan terhasil sekiranya emosi positif yang dibina hanya sementara atau semasa dalam kem motivasi sahaja. Penerapan dan mempraktikkan ilmu positif secara berterusan membantu dalam menentukan hala tuju yang cemerlang.

 

  1. Langkah terakhir dan yang keenam adalah menguasai emosi positif diri. Sentiasa cuba untuk berfikir di luar kotak atau mencari hikmah yang terjadi dalam setiap permasalahan yang menimpa dan berfikir dengan mata hati.

PENGALAMAN MENYEMBELIH AYAM DI ASIA CAMP MEMBERI ILMU BARU

Pengalaman menyembelih ayam di Asia Camp merupakan satu aktiviti baru yang berpeluang dirasai dan dipelajari kebaikan ilmunya oleh para pelajar dan murid-murid. Ilmu yang semakin pupus ditelan zaman ini perlu sentiasa diperlihara dengan mengajarkannya kepada anak-anak muda. Jika pada sekitar 20 atau 30 tahun yang lalu, masyarakat rata-ratanya arif dalam ilmu penyembelihan ini lantaran tiada ayam proses yang siap disembelih yang dijual.

Seiring dengan peredaran zaman, masyarakat pada hari ini rata-ratanya tidak lagi perlu bersusah payah untuk menyembelih sendiri ayam tersebut lantaran terlalu banyak ayam proses yang telah siap disembelih dijual di pasaraya atau di kedai-kedai.

Image may contain: 3 people, outdoor

Lantaran itu, pengalaman menyembelih ayam oleh murid-murid yang menyertai kem jati diri di Asia camp ini bukan sahaja memberikan mereka pengalaman baru malah ilmu baru yang sangat berguna apabila mereka dewasa kelak.

Sedikit perkongsian ilmu tentang penyembelihan yang boleh dikongsi adalah :-

  1. Rukun Sembelihan

Amnya rukun sembelihan terbahagi kepada 4: –

  1. Penyembelih
    2. Binatang sembelihan
    3. Alat untuk menyembelih
    4. Keadaan (tempat / perbuatan) sembelihan.

 

Semasa penyembelihan pula, adalah diiwajibkan untuk memutuskan dua jenis urat iaitu urat halkum dan urat marih.  Ini adalah asas kepada ilmu penyembelihan bagi memastikan haiwan  adalah bersih dan selamat dimakan. Ilmu inilah yang diajar semasa pengalaman menyembelih ayam di Asia Camp kepada para murid.

Antara babak yang paling menyeronokkan pula adalah di mana para murid berpeluang merasai pengalaman mencabut bulu ayam semasa proses membersihkan ayam tersebut sebelum bersedia untuk dimasak.  Dalam aktiviti ini mereka bukan sahaja dapat berseronok dan menimba pengalaman baru, malah mereka turut belajar untuk berkerjasama semasa menyiapkan hidangan.

Jika sebelum ini aktiviti-aktiviti yang kebiasaannya diadakan di Asia Camp hanyalah berkisar kepada aktiviti lasak yang menguji ketahanan fizikal dan mental sahaja, namun kini pihak pentadbiran Asia Camp sentiasa cuba menghasilkan aktiviti-aktiviti baru yang menarik dan yang paling penting memberi ilmu dan manfaat kepada para peserta kem.

Apa yang penting lagi adalah pihak pentadbiran ASIA CAMP sering cuba untuk memberikan pengalaman terbaik dan akan dikenang sampai bila-bila oleh setiap para peserta yang menyertai kem di sini.

PENDIDIKAN BERTERASKAN KASIH SAYANG JANA PELAJAR CEMERLANG

Pendidikan berteraskan kasih sayang adalah kaedah terbaik untuk mendidik dan mengajar anak-anak sebelum para ibu bapa menggunakan pelbagai jenis kaedah yang lain. Kasih sayang yang ditunjukkan pula bukanlah kasih sayang yang berunsurkan material semata-mata sebaliknya pendekatan kerohanian dan didikan ilmu berguna kepada anak-anak.

Salah satu kaedah yang selalu digunakan oleh para ibu bapa adalah teknik menegur anak. Justeru, teknik menegur anak yang terbaik adalah disulami dengan kasih sayang. Ia bermaksud ibu bapa tidak seharusnya menengking atau memukul anak-anak sehingga menyebabkan kecederaan. Itu bukan menegur sebaliknya lebih bersifat mendera dan anak-anak pula akan menjadi pendendam.

Image may contain: 6 people, people smiling, people standing

Beri anak-anak ruang untuk meluahkan perasaan mereka

Pendidikan berteraskan kasih sayang adalah asas kepada kecemerlangan jati diri para murid-murid. Tidak dinafikan pelajaran pertama yang diperolehi oleh kanak-kanak bukanlah di sekolah sebaliknya di rumah. Ibu yang cemerlang dan sentiasa beraura positif akan melahirkan dan menghasilkan anak-anak yang cemerlang berbanding dengan golongan ibu yang tertekan.

Kajian menunjukkan golongan ibu yang tertekan dengan kehidupan rumah tangga mereka akan melampiaskan rasa mara dan kecewa tersebut kepada anak-anak. Lantaran itu, anak-anak kecil yang tidak berdosa ini menjadi mangsa dan lebih menyedihkan mereka tidak mampu untuk hidup bahagia seperti anak-anak kecil yang lain.

Ibu ceria menghasilkan keluarga cemerlang

Bagi golongan para pendidik pula, melalui pendekatan konsep pendidikan berteraskan kasih sayang ini adalah di mana para guru dan pendidik lebih bersikap bertoleransi dan tidak memaksa murid-murid untuk mengejar kecemerlangan demi mencapai sasaran sekolah. Perlu difahami bawah setiap murid yang dilahirkan adalah berbeza kemampuan dan kebolehannya. Jika seseorang murid itu tidak cemerlang dalam akademik tidak bermakna mereka tidak boleh cemerlang dalam bidang lain.

Dewasa ini, pelbagai bidang kemahiran diperkenalkan kepada semua golongan pelajar bagi mengasah bakat dan kemampuan mereka sejak kecil. Ia adalah satu bentuk usaha yang sangat bagus oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk memberikan pilihan atau alternatif lain kepada para pelajar dan ibu bapa untuk menentukan bidang yang sesuai.

Image may contain: 15 people, people smiling, people standing, grass, outdoor and nature

Apa yang penting, jangan sesekali mengabaikan konsep kasih sayang ini dalam pendidikan dan juga dalam kehidupan kerana apa yang pasti dengan kasih sayang yang betul, dunia yang cemerlang dengan generasi yang terbilang pasti akan terhasil.

 

 

KREATIVITI : ASAS DAN KONSEP DALAM MENGENDALIKAN PROGRAM

Daya kreativiti atau pemikiran kreatif sudah lama dibincangkan dan dibahaskan secara ilmiah. Sering kali terdapat perbezaan tanggapan pada pengertian dan definisi “kreatif” itu sendiri. Namun begitu, hal ini adalah perkara biasa dalam dunia akademik kerana masing-masing merupakan tokoh akademik, penyelidik, sarjana dan dapat mengemukakan konsep yang asli berdasarkan pemerhatian, pengalaman, kajian dan latar displin ilmu yang mereka miliki.

 

Perbezaan pendapat inilah yang mencetuskan kekayaan ilmu yang mampu menjadi rujukan yang baik kepada generasi akan datang. Pemikiran kreatif turut ditakrifkan oleh para ilmuwan sebagai “the ability to bring something new existence”.

Justeru, dalam konsep mengendalikan program, daya kreativiti atau pemikiran kreatif ini mampu menjadikan sesebuah program itu lebih seronok dan akan sentiasa dikenang oleh para peserta yang menyertainya. Dapat dirumuskan bahawa konsep pemikiran kreatif ini adalah berkisar kepada entiti berikut ;-

  1. Melakukan sesuatu dengan cara dan pelaksanaan yang unik.
  2. Seseorang itu dapat keluar daripada pola yang sama atau the pattern of sameness.
  3. Berfikir di luar kotak atau thinking outside of the box.
  4. Melihat sesuatu daripada perspektif baru.
  5. Menggabungkan idea yang sedia ada kepada pembentukkan idea baru.
  6. Membuka minda dengan idea-idea baru.
  7. Mencabar andaian.
  8. Menggabungkan daya kreativiti dengan penghasilan idea dan diterjemahkan sebagai produk yang asli atau original.
  9. Membuat sintesis, imaginasi dan visualisasi.

Dalam melaksanakan sesebuah kem motivasi atau kem teambuilding, sering sahaja para peserta dimomokkan dengan aktiviti yang sama dan persekitaran yang membosankan. Justeru, adalah penting bagi setiap jawatankuasa pelaksana program dan kem motivasi ini untuk sentiasa cuba mengaplikasikan daya kreativiti mereka dalam kelansungan sesebuah program.

Antara aktiviti yang disyorkan adalah ;

  • Permainan kreatif yang baru dan segar
  • Ilmu personaliti diri berdasarkan kiraan nombor tarikh lahir
  • Kenali personaliti diri melalui gambar
  • Cara menangani masalah personaliti diri tersebut.

Kesimpulannya, daya kreativiti ini tidak hanya penting dalam mengendalikan sesebuah program sahaja, namun begitu, pemikiran kreatif yang hebat akan membantu dalam mengembangkan perkara-perkara di bawah ;

  • Ekonomi tanpa sempadan
  • Industri kreatif
  • Komunikasi segera
  • Pengurusan pengetahuan
  • Perkembangan sejarah dan tamadun manusia.

Fikiranlah yang menjadikan sesuatu itu baik atau buruk, yang menjadikannya sedih atau bahagia, kaya atau miskin – Edward Spenser.

 

 

TEKNIK MENGENDALIKAN KEKECEWAAN : BINA SEMANGAT POSITIF DALAM KEM MOTIVASI

Teknik mengendalikan kekecewaan dan perasaan sedih adalah salah satu ilmu dan kemahiran diri yang perlu diterapkan dan diajarkan kepada setiap individu sejak dari usia kanak-kanak lagi. Jika dahulu, teknik dan ilmu ini hanya diajarkan kepada golongan dewasa sahaja.

Namun begitu, jika dilihat natijah daripada kepesatan teknologi sekarang, golongan kanak-kanak juga semakin terkesan dengan tekanan hidup. Tidak terlepas juga golongan remaja. Justeru, adalah penting supaya dalam setiap kem motivasi atau kem jati diri supaya asas-asas mengendalikan kekecewaan dapat diajarkan dan dititipkan kepada mereka untuk membantu mereka dalam membuat sesebuah keputusan.

Image may contain: 2 people, people sitting and indoor

Teknik mengendalikan kekecewaan ini adalah berbeza kepada setiap individu. Ini kerana mereka tidak menghadapi masalah yang sama malah peringkat masalah mereka juga berbeza. Ada orang yang merasakan bahawa masa depannya akan gelap sama sekali dan lansung tiada harapan hidup apabila dia kehilangan harta benda.

Walhal dengan pengetahuan dan mendalami ilmu yang lebih luas dia seharusnya menyedari bahawa kehilangan harta benda bukanlah pengakhiran hidup. Golongan yang meletakkan kekayaan dan harta benda sebagai ukuran kejayaan seseorang individu ini adalah mereka yang sentiasa mahu dilihat hebat di mata manusia dan sangat mementingkan reputasi.

Image may contain: 3 people, people standing, hat and outdoor

Maka, nasihat yang terbaik untuk golongan sebegini adalah mereka harus lebih bersyukur dan mencari ketenangan jiwa. Antara teknik mengendalikan kekecewaan yang boleh dipraktikkan oleh mereka adalah;

  • Cuba untuk tersenyum walaupun hati sedang kecewa
  • Meluahkan masalah kepada orang lain dan dia akan sedar bahawa dunia ini bukan hanya dia sahaja yang mempunyai masalah
  • Mendapatkan nasihat daripada orang-orang yang lebih berusia dan mereka akan sedar bahawa golongan ini telah menempuh pelbagai kekecewaan yang lebih besar
  • Setup mind bahawa dunia ini bukan hanya ada masalah harta benda atau wang ringgit sahaja, namun di seluruh dunia terdapat golongan yang sedang bergelut dengan peperangan, kesihatan dan kebuluran.

Kesimpulannya, teknik mengendalikan kekecewaan yang paling berkesan adalah dengan menerapkan ilmu bersyukur dan sentiasa mengingatkan mereka bahawa masalah dunia adalah bersifat sementara. Pasti ada harapan bagi mereka yang sentiasa berusaha.

MENGHADAPI RASA BERSALAH DAN TEKANAN PERASAAN KUNCI KETENANGAN JIWA

Rasa bersalah dalam diri dan tekanan perasaan adalah satu jenis perasaan yang akan dirasai oleh setiap individu yang normal dan masih waras. Selagi individu itu masih hidup di muka bumi, maka kesalahan dan kesilapan diibaratkan sebagai rencah kehidupan yang pasti akan dilalui oleh semua orang. Namun begitu, apa yang membimbangkan dewasa ini adalah apabila perasaan bersalah itu dibiarkan menjadi racun yang akhirnya akan memusnahkan individu tersebut.

The culture of interactive and constructive discussion should be implemented to encourage a competitive working environment

Perasaan bersalah ini amat mudah menjadi racun dalam jiwa sekiranya tiada dorongan dan panduan dalam meneruskan kehidupan. Seseorang individu yang sedang bergelut dalam menghadapi rasa bersalah dalam diri dan tekanan perasaan yang memuncak haruslah berani untuk ;

  • Menganggap kesilapan adalah satu kesalahan dan bertekad memperbaiki kesilapan tersebut dan tidak mengulanginya kembali.
  • Berani mengakui kesilapan dan meminta maaf.
  • Tidak menghukum diri sendiri dan mengatakan bahawa dirinya adalah tidak berguna.
  • Menahan diri agar tidak terlalu mengenang setiap saat yang pahit.
  • Menjadikan kesilapan sebagai satu batu loncatan untuk bertindak lebih baik
  • Menerima hakikat bahawa kesilapan adalah satu pengalaman untuk membantu membuat keputusan yang lebih baik pada masa akan datang.

Selain daripada itu juga, sikap seseorang juga adalah penentu dalam sesuatu tindakan. Memandang negatif terhadap rasa bersalah dalam diri juga tidak mampu untuk membuatkan keadaan menjadi bertambah baik sebaliknya hanya memburukkan keadaan.

Dalam keadaan tertekan ini tadi adalah lebih baik individu tersebut menyemaikan sikap positif seperti ;

  • Percaya kepada diri sendiri dan memberi peluang kepada diri sendiri untuk memulakan semula pengharapan yang baru
  • Menerima hakikat bahawa ujian yang paling tinggi seharusnya dapat memotivasikan diri dan membina sikap terpuji seperti rendah diri dan menghargai apa yang dikurniakan kepadanya.
  • Kita sendiri yang menentukan emosi diri sama ada mahu bersedih atau berduka, termasuk juga mahu terus dibelengu kesilapan lampau atau kembali berusaha memperbaiki kesilapan.

Inspiring youth leadership skills through fun and challenges activities

 

Kesimpulannya, mental yang tenang dan positif dan dicorakkan dengan sifat-sifat jujur, akan mudah membentuk keperibadian yang positif selari dengan ketetapan minda tersebut.

Kita mengangkat diri kita dengan fikiran-fikiran kita. Kita mendaki di atas visi yang berasal daripada diri kita – Orison S Marden.

 

MENGEMBANGKAN FIKIRAN DAN SEMANGAT KEYAKINAN POSITIF DALAM JATI DIRI

Mengembangkan fikiran positif dan semangat positif adalah salah satu keperluan asas untuk mencapai kejayaan tidak kira sama ada kejayaan individu mahupun kejayaan sesebuah organisasi. Jika seseorang itu tidak berjaya untuk berfikir secara positif dan mengembangkan semangat positif dalam dirinya, maka secara kesimpulannya mencapai kejayaan adalah dianggap sebagai suatu perkara yang mustahil.

Seseorang yang sentiasa melatih dirinya untuk beranggapan positif pasti menyedari akan satu jenis keajaiban yang digelar “kekuatan berfikir positif”. Secara lahiriah, setiap manusia dilahirkan dengan dua sisi otak iaitu otak kanan dan otak kiri. Otak bahagian kanan adalah pemecah masalah dan berupaya mengembangkan fikiran positif.

Ini bermaksud  jika seseorang itu sedang mengkritik sesuatu, maka otak kirinya yang sedang berkerja, namun jika anda cuba mencari jalan penyelesaian lantaran kritikan tersebut, maka otak kanan yang sedang digunakan. Justeru, telah dibuktikan melalui kejayaan orang-orang besar dan tokoh-tokoh hebat di mana kebanyakan mereka adalah terdiri daripada golongan orang yang mampu menggunakan kehebatan kedua-dua belah otak dalam membuat pertimbangan dan pemikiran yang luas.

Fikiran negatif pula tidak mampu membantu seseorang itu menemui potensi dirinya yang sebenar. Justeru, mengembangkan fikiran positif dalam diri individu bukan sahaja akan membantu dirinya membina kekuatan emosi dalam menangani pelbagai permasalah, malah mengeluarkan daya potensi yang sebenar dalam diri seseorang itu.

Jika kita lihat daripada temubual orang-orang hebat yang telah berjaya, rata-rata daripada mereka mengatakan hal yang sama iaitu mereka sendiri tidak percaya akan kebolehan diri mereka pada awalnya. Namun, lantaran berpegang kepada satu semangat yang sama iaitu tidak pernah berputus asa, maka segala penat lelah mereka dibayar dengan kejayaan pada masa yang sesuai.

Justeru, nyata sekali semangat tidak berputus asa dan bangun berkali-kali dalam perjuangan hidup hanya mampu diperolehi daripada fikiran dan semangat yang positif. Dengan semangat dan kemampuan untuk sentiasa berfikir positif jugalah yang mampu menentukan seseorang itu berjaya atau gagal.

 

Fikiranlah yang menjadikan sesuatu itu baik atau buruk, yang menjadikannya sedih atau bahagia, kaya atau miskin – Edward Spenser.

 

MEMBUDAYAKAN KESUKARELAWANAN DI KALANGAN MURID-MURID DAN PELAJAR ASAS JATIDIRI CEMERLANG

Membudayakan kesukarelawanan dalam kalangan anak muda merupakan satu bentuk usaha kerajaan dalam melibatkan golongan muda untuk menjadi aktivis sosial yang prihatin kepada masyarakat sekeliling. Golongan sukarelawan ini merupakan aktivis sosial yang mempunyai nilai-nilai murni dalam jiwa mereka dan sentiasa terdorong untuk membantu golongan lain yang berada dalam kesusahan.

Menjadi sukarelawan ini adalah satu anugerah lantaran dewasa ini kebanyakan anak muda khususnya golongan remaja lebih cenderung untuk memilih menjalankan aktiviti yang kurang baik seperti melepak sehingga larut malam atau terlibat dalam kegiatan lumba haram yang lebih dikenali sebagai merempit.

Justeru, peranan kerajaan dan masyarakat dalam usaha membudayakan kesukarelawanan ini adalah sangat penting. Ia adalah supaya semangat sukarelawan ini dapat dipupuk dalam diri golongan murid-murid dan para pelajar.

Jika kita lihat, di sekolah-sekolah, sering sahaja para guru menganjurkan program gotong royong secara besar-besaran yang melibatkan para pelajar dan juga ibu bapa. Setiap individu termasuk para guru, pelajar dan ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan program seumpama ini berjalan lancar. Tidak dinafikan juga, melalui konsep gotong royong ini juga, para guru mampu menilai sikap kerjasama dan teambuilding juga keprihatinan mereka terhadap sekolah.

Terdapat beberapa langkah yang penting dalam mempersiapkan diri untuk menjadi sukarelawan yang terbaik dalam usaha membudayakan kesukarelawanan ini. Antaranya adalah ;

  • Mempunyai minat terhadap kerja sukarela : minat harus wujud dari sanubari individu itu sendiri dan tidak dipaksa oleh orang lain. Hal ini demikian adalah sangat penting kerana tanpa minat dikhuatiri para pelajar tidak akan ikhlas melaksanakan tugasan malah mengharapkan balasan insentif seperti bayaran pula.
  • Mengenal pasti golongan sasaran yang ingin dibantu : golongan sasaran ini terdiri daripada pelbagai kelompok masyarakat seperti kanak-kanak, remaja bermasalah, keluarga, golongan orang kurang upaya dan warga emas. Individu yang mahu terlibat dalam aktiviti sukarelawan ini perlu memilih golongan mana yang lebih selesa dibantu.
  • Mempunyai perancangan masa yang berkesan : pengurusan masa yang terbaik adalah kunci kejayaan bagi setiap individu. Jangan pula disebabkan terlalu sibuk dengan aktiviti sukarelawan, maka tugasan hakiki pelajar tersebut diabaikan.

Kesimpulannya, melalui konsep membudayakan kesukarelawanan ini akan dapat membentuk keperibadian yang cemerlang di kalangan para pelajar.