Artical

KESIHATAN FIZIKAL YANG BAIK MELATIH INDIVIDU MENJADI CEMERLANG

Kesihatan fizikal yang baik adalah sama pentingnya dengan kesihatan mental yang baik bagi memastikan seseorang individu itu sentiasa cemerlang dan bertenaga dalam meneruskan aktiviti hariannya. Tidak dinafikan, tanpa kesihatan yang baik maka kejayaan adalah mustahil untuk dicapai.

Jika kita perhatikan, individu yang suka bersenam adalah tampak lebih menarik dan berketrampilan. Malah ada juga yang tampak awet muda berbanding usia sebenar. Pelbagai kesan positif yang boleh diperolehi apabila kita menjaga kesihatan fizikal dan mental. Antara kesan positif tersebut adalah di antaranya dapat melatih diri lebih berdisplin dalam konteks pengurusan masa dan pembahagian tugas.

Kesihatan fizikal yang baik dapat melatih minda supaya sentiasa fokus kepada apa yang perlu diberi perhatian sahaja. Dalam erti kata lain ia melatih minda seseorang supaya sentiasa memberi keutamaan kepada perkara-perkara yang mendatangkan hasil yang baik dan segera melupakan perkara-perkara yang tidak menyeronokkan seperti perselisihan faham dengan seseorang.

Tubuh badan sentiasa bertenaga untuk melakukan aktiviti-aktiviti lasak yang tidak dijangka. Sebagai contoh seseorang itu tentu tidak tahu bila masanya tayar motornya akan pancit. Membayangkan seseorang yang lemah fizikalnya tiba-tiba didatangi dengan masalah sedemikian tentu akan merasa lemah semangat dan tertekan. Berbeza dengan seseorang individu yang sihat tubuh badan dan mempunyai kesihatan fizikal yang baik tentu sahaja dia mampu menolak motorsikal yang rosak itu ke tepi jalan sementara menunggu tayar yang baru untuk ditukar atau membawa motorsikal tersebut ke bengkel untuk dibaiki.

Bagi golongan para pelajar yang mempunyai kesihatan yang baik tentu sahaja mereka akan lebih berpeluang untuk menyertai pelbagai aktiviti kem atau perkhemahan di sekolah. Justeru, kesihatan yang baik akan membuka lebih banyak peluang kepada golongan pelajar untuk mempelajari sesuatu yang baru berbanding dengan mereka yang tidak sihat tubuh badannya.

Kesimpulannya, adalah penting untuk mendidik masyarakat untuk menjaga kesihatan melalui amalan bersenam setiap hari atau 3 hari sekali misalnya. Ini kerana kesihatan yang baik adalah salah satu anugerah yang tiada gantinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *