Pemasangan Khemah di Tapak Perkhemahan

Asia Camp seringkali dipilih oleh sekolah-sekolah rendah mahupun menengah di sekitar Perak dan Selangor sebagai tempat perkhemahan badan unit berunifrom sekolah. Mungkin kerana lokasinya yang mesra alam, keluasan tapak kem dan fasiliti lengkap untuk menampung bilangan pelajar yang ramai sehingga lima ke enam buah biji bas. Bagi aktiviti perkhemahan badan beruniform ini, selain perkhemahan di hutan dan bilik-bilik dormitori pihak Asia Camp turut menyediakan tapak khas perkhemahan yang bersifat outdoor.

Pada sesi perkhemahan yang lepas, seramai 60 orang pelajar dari SMK St. John (M) Kuala Lumpur telah berpeluang mempelajari asas pemasangan khemah secara amali dan teknikal. Para pelajar ini terdiri dari unit beruniform pengakap, kadet bomba dan persatuan bulan sabit merah.

Sesi latihan pemasangan khemah ini dimulai dengan sesi taklimat dan demonstrasi dari jurulatih dan para fasilitator dari Asia Camp. Para pelajar dikenalkan dengan peralatan khemah seperti kain khemah, fly sheet, rod fibre, tali dan pancang. 

Seterusnya, para pelajar dibahagikan mengikut kumpulan dan diberikan masa selama 1 jam untuk menyiapkan khemah untuk kumpulan masing-masing. Prosedur pemasangan khemah ini mengikut langkah-langkah seperti berikut:

  1. Memilih tapak khemah yang telah dibersihkan.
  2. Buka dan hamparkan kain khemah ke tapak lantai.
  3. Sambungkan ke semua batang rod fibre.
  4. Masukkan batang rod fibre ke dalam lubang di hujung kain khemah.
  5. Selesai dimasukkan, kedua-dua hujung rod fibre hendaklah ditolak dan bahagian tengah rod fibre bersama bumbung khemah hendaklah diangkat ke atas.
  6. Apabila khemah telah terbentuk, kedua-dua hujung rod fibre hendaklah dimasukkan ke penyendal / lubang yang disediakan.
  7. Langkah 5 dan 6 diulang kepada kesemua batang rod fibre yang disediakan.
  8. Apabila khemah sudah terbentuk, angkat dan susunkan khemah mengikut lokasi yang telah ditetapkan dalam plan tapak perkhemahan.
  9. Pasangkan fly sheet dan ikat semua tali rod fibre dan hujung fly sheet ke tanah.
Para pelajar dibahagikan mengikut kumpulan dan diberikan ruang untuk memasangkan khemah
Para pelajar memasukkan rod fibre ke dalam kain khemah
Rod fibre dikemaskan agar tidak tersekat atau terputus di dalam kain khemah
Pelajar tekun memasukkan rod fibre
Gambar akhir, para pelajar ditugaskan untuk mengemaskan semula khemah dan tapak perkhemahan

Secara keseluruhannya, aktiviti pemasangan khemah ini memberikan hands on experience kepada para pelajar. Aktiviti ini turut membuka peluang kepada pelajar bukan sahaja mempelajari asas dan teknik pemasangan khemah secara lebih dekat, tetapi juga asas kerjasama berkumpulan, tolong membantu dan fokus menyiapkan tugasan yang diberikan.

Klik disini untuk artikel seterusnya>>

Asas Perkhemahan di Hutan

Pengetahuan asas perkhemahan sangat penting apabila kita ingin berkhemah di hutan . Aktiviti perkhemahan sangat sinonim dengan ‘outdoor adventures’ yang mampu mendatangkan keseronokan dan keterujaan berganda buat para pelajar mahupun peserta kem. Namun demikian, asas perkhemahan ini merupakan kerangka asas dalam membuat persediaan awal dan tatacara persediaan untuk aktiviti perkhemahan yang tidak harus dipandang dengan sambil lewa. Hal ini kerana, perkhemahan kem unit beruniform dengan penyertaan dari para pelajar sekolah rendah mahupun menengah biasanya melibatkan angka yang ramai. Persediaan awal yang jika dipandang sepi akan membuka kepada ruang-ruang kecemasan yang pastinya akan menggugat perjalanan program perkhemahan dan fokus para peserta.

Di dalam artikel panduan asas perkhemahan di hutan, pihak Kementerian Kesihatan telah menggariskan beberapa fokus yang melibatkan faktor keselamatan yang patut dititikberatkan oleh setiap peserta, fasilitator mahupun guru pengiring perkhemahan tersebut.   

Pemilihan kawasan lapang dan di tanah tinggi merupakan langkah asas keselamatan yang utama apabila berhadapan dengan situasi kecemasan

Asas perkhemahan bagi pemilihan kawasan dan tapak perkhemahan:

  1. Pilih tanah atau tapak yang rata. Ini memudahkan pemasangan khemah yang selesa sebagai tempat tidur atau berehat dan akan mengelakkan daripada berlakunya air bertakung semasa hujan.
  2. Berhampiran dengan punca air. Air yang bersih penting digunakan untuk memasak, membersihkan diri dan sebagainya. Punca air tersebut hendaklah dipastikan kebersihannya supaya tidak berlaku sakit perut,cirit birit atau penyakit lain yang boleh dijangkiti melalui air yang tidak bersih.
  3. Jauh daripada dahan kayu mati. Ini penting kerana jika berlaku tiupan angin yang kuat atau hujan, pokok atau ranting serta dahan mati tersebut tidak menimpa khemah dan orang yang berada ditapak perkhemahan tersebut.
  4. Pemilihan tapak yang lebih tinggi dari punca air. Ini adalah penting untuk mengelakkan daripada dihanyutkan air jika berkhemah di tepi sungai.
  5. Kawasan yang mudah untuk mendapatkan bantuan. Ini penting jika berlaku sebarang kecemasan, pilih tapak perkhemahan yang berhampiran kawasan kampung, laluan orang serta mudah dihubungi.
  6. Makluman kepada pihak berwajib. Setiap aktiviti perkhemahan juga haruslah dimaklumkan kepada pihak berwajib seperti Polis dan Jabatan Perhutanan yang berhampiran agar bantuan dan maklumat kecemasan akan dapat dimaklumkan secepat mungkin.
  7. Mudah untuk mendapatkan bahan bakar. Bahan bakar perlu untuk memasak jika memasak menggunakan unggun api.
  8. Keselamatan kawasan perkhemahan. Pastikan kawasan tersebut terselamat dari binatang buas atau penceroboh yang tidak diingini.

Kesimpulannya, asas perkhemahan di hutan ini memerlukan persiapan rapi yang haruslah dititik-beratkan dari pelbagai aspek. Pengetahuan asas perkhemahan dimulakan dengan asas pemilihan tempat perkhemahan yang akan melibatkan kelancaran perjalanan program dan aktiviti perkhemahan yang baik. Rujukan di sini.

https://www.youtube.com/watch?v=3aBZvDDiins

Klik disini untuk artikel seterusnya>>