Artical, Kem Latihan & Rekreasi, Motivation Quote

Kem Pelajar Kelantan (Siri 3)

Pengalaman ketiga di kem pelajar di Kelantan

Pengalaman semasa di kem motivasi pelajar di Kelantan lain pula auranya. Topografi kawasan betul-betul di tepi pantai. Objektif dan durasi kem lebih lama, lasak dan tegar. Sasarannya adalah pelajar lepasan SPM yang sedang menunggu keputusan. Kem pelajar tersebut beroperasi selama hampir 3 bulan, mempunyai hampir 20 modul dan melibatkan 300 peserta kem lelaki dan perempuan.

Admin ketika itu diarahkan datang memberikan bantuan buat kem pelajar bagi menggantikan fasilitator yang sudah hampir 2 bulan tidak berganti. Tugasannya terasa berat kerana perlu mengambil-alih tugas menjadi ketua fasilitator buat kem pelajar ini selama 10 hari (sementara fasilitator tetap direhatkan dan diberikan cuti). Tanpa pengenalan dan suaikenal lanjut tentang kem pelajar di Kelantan ini, tanpa bantuan dari fasilitator tetap yang terus menghilang diri untuk berehat, Admin dan team terpaksa mengambil alih 300 peserta yang sudah ‘kelesuan jiwanya’ dek angin panas pantai. Di kem pelajar ini, ia benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental Admin dan kumpulan dalam menghadapi anak-anak remaja yang boleh dikatakan kesemuanya sudah lesu, lelah, tepu benaknya dengan pelbagai info dan terbakar jiwanya. Ia sungguh menguji!

Ketika ini, Admin yang menjadi ketua harus cepat bertindak. Bertindak memotivasikan fasilitator yang ada dan bertindak mencari modul yang bertepatan untuk keadaan semasa di kem pelajar ketika itu. Nekad Admin ketika itu, “jiwa yang sakit ini perlu didekati dengan empati, kasih sayang dan belaian”. Itu sahaja ubatnya yang perlu diberikan dengan dos yang tepat dan suntikan yang kena pada tempatnya.

Seorang fasilitator harus peka, cepat bertindak dan kreatif dalam menyusun langkah dan strategi

Admin dan kumpulan menukar strategi modul. Untuk 2-3 hari pertama sesi suaikenal bersama team fasi yang baru, semua modul berat melibatkan Al-Quran, qiyam dan menjaga kawasan (khatibah) diberhentikan seketika. Kami bersembang santai di tepi pantai mengenai keluarga, rasa, cinta, cita-cita dan gossip senja. Ada adik-adik kem pelajar yang bertanyakan pengalaman cinta para fasi di universiti, alam universiti dan banyak lagi. Selama 3 hari itu, kami duduk ‘side-by-side’, tidur bersama di dorm peserta kem pelajar dan bersuap makanan. Adik-adik peserta kem pelajar ini nampaknya seperti terubat. Satu benda yang sungguh-sungguh Admin rasakan di sini yaitu, “empati ini penting kerana ia mengetuk jiwa dan membuka ruang untuk yang lain masuk dan mengubati penyakitnya dari dalam”.

Konklusi yang dapat disimpulkan di sini ialah perlunya elemen empati, rasa kebersamaan dan ‘care’ sesama fasilitator dan para peserta kem pelajar. Berhadapan dengan para peserta kem pelajar yang datang dari pelbagai latarbelakang, dengan jutaan masalah di kepalanya yang tidak kita ketahui, para peserta kem pelajar ini perlulah dirai dengan sebaik dan seadanya. Menjadi fasilitator bukanlah bermakna diri itu boleh mendabik dada, menjadi ketua yang perlu dituruti arahannya, menjadi tempat rujukan dan sebagainya. Melainkan menjadi fasilitator itu merupakan satu tugas yang berat. Berat di sini kerana fasilitator itu perlu bersama-sama memikul bebanan rasa dan fikiran puluhan bahkan ratusan peserta kem pelajar di bawah jagaan dan seliaannya.

Teringat kata-kata seorang pendeta silam, “ingin menyentuh jiwa, langkah-langkah dan kata-katanya perlulah terus datang dari jiwa. Perhatikan wajahnya, tembusi matanya, dan dalamilah jiwanya, pasti ketemu penyakit dan ubatnya”. Membuktikan kepada kita betapa pentingnya bahasa jiwa, empati dan kasih sayang sesama manusia dalam menaburkan bakti dan budi kepada manusia. Manusia itu ada seninya!  

Klik disini untuk artikel seterusnya>>

 

Related Posts

Leave a Reply