Ilmu menggunakan kompas adalah salah satu ilmu berguna yang perlu dipelajari dan diketahui sebelum para peserta kem perkhemahan menyertai sebarang aktiviti di dalam hutan. Kompas pada dasarnya digunakan untuk menentukan sesuatu arah. Jenis kompas yang sering digunakan oleh ahli Pengakap semasa membuat pengembaraan adalah jenis kompas Silva.
Beberapa perkara yang perlu diketahui dan dipelajari oleh setiap ahli perkhemahan mengenai kompas ini adalah seperti jarum magnet, panah orienting, movable house, panah arah, skala darjah dan garis indeks. Istilah-istilah ini adalah sangat membantu para ahli pasukan yang menyertai perkhemahan semasa menunjukkan arah.
Justeru, melalui penerapan ilmu menggunakan kompas ini adalah penting untuk ahli memahami maksud setiap istilah di atas. Sebagai contoh, jarum kompas yang elok seharusnya sering bergerak-gerak sambil menunjukkan kepada satu arah sahaja. Arah yang ditunjukkan oleh jarum kompas tersebut pula adalah arah Utara Magnet. Berpandukan arah ini, ahli pasukan akan dapat menentukan arah-arah lain seperti Timur, Barat dan Selatan.
Kompas juga hendaklah sentiasa diletakkan dalam keadaan rata semasa pembacaan arah bagi memastikan arah yang ditunjukkan adalah tepat. Kompas bearing sudut mempunyai 360 darjah dan semua darjah diukur mengikut pusingan jam.
Selain daripada itu, antara perkara-perkara lain yang perlu diperhatikan oleh ahli pasukan dalam ilmu menggunakan kompas ini juga adalah mereka hendaklah sentiasa memeriksa bearing kompas iaitu arah yang dituju semasa berjalan bagi mengelakkan arah mereka berubah. Jika boleh, bawalah bersama alat yang dipanggil altimeter untuk mengukur ketinggian aras laut.
Mereka juga perlu menentukan sesuatu bahan sebagai tanda atau lebih dikenali sebagai checkpoint supaya mereka boleh terus menuju ke arah yang dituju dengan mudah sebagai contoh pokok-pokok besar, batu besar atau tanda-tanda lain yang luar biasa dan mudah diingati.
Selain empat istilah arah yang dinyatakan di atas, ada empat lagi istilah arah yang perlu diketahui oleh ahli pasukan sebelum memulakan pengembaraan iaitu, Timur Laut, Tenggara, Barar Daya dan Barat Laut. Kesemua arah ini akan membantu para pengembara sekiranya dianalisis dengan tepat.
Klik disini untuk artikel seterusnya>>