Program membina kerjaya di kalangan para remaja adalah salah satu contoh program yang sesuai dilaksanakan semasa kem motivasi dianjurkan. Menerusi kem motivasi, pengenalan kepada aktiviti-aktiviti yang dapat membina kerjaya di masa akan datang akan didedahkan kepada para remaja. Usia remaja iaitu 13-18 tahun adalah sangat perlu didedahkan dengan realiti kerjaya.
Jika dibandingkan dengan dua dekad yang lalu, pemikiran para ibu bapa hanya tertumpu kepada kemajuan akademik sahaja lantaran memaksa anak-anak mereka untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam pelajaran. Jika ada anak-anak yang kurang cemerlang pula, maka anak tersebut seolah-olah dianggap seperti tidak mempunyai masa hadapan yang cerah.
Justeru, program membina kerjaya di kalangan para remaja ini adalah salah satu contoh platform terbaik pada masa kini untuk memperkenalkan dan memberitahu kepada para remaja bahawa kejayaan seseorang itu tidak lagi diukur melalui pencapaian akademik semata.
Sebagai contoh melalui Program Usahawan Beliau Tani mendedahkan para remaja tentang pengeluaran tanaman makanan yang dilakukan bagi menyahut dasar pertanian Negara di samping untuk memenuhi keperluan pekerjaan di kalangan golongan remaja. Di bawah rancangan ini, tanah hak milik kerajaan yang berpotensi akan dimajukan bagi penanaman pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan bergantung kepada mutu dan jenis tanah. Pendedahan ini seharusnya membantu golongan remaja yang minat bercucuk tanam.
Program membina kerjaya di kalangan para remaja ini biasanya dilaksanakan menerusi beberapa program lain anjuran jabatan kerajaan seperti Program Rakan Muda dan Program Latihan Keusahawanan.
Program keusahawanan dilaksanakan bagi memupuk potensi keusahawanan dalam kalangan remaja serta memberi pendedahan kepada cara pemasaran produk. Latihan ini juga dilihat sebagai latihan yang sangat bermanfaat kerana ia memberikan pendedahan sebenar tentang dunia usahawan dan cabaran-cabarannya.
Bagi golongan remaja yang dilihat cemerlang dari segi akademik pula, melalui program membina kerjaya ini, mereka akan didedahkan kepada jenis-jenis kerjaya dan pekerjaan yang boleh dipilih. Antara bidang kerjaya yang disyorkan kepada mereka adalah kerjaya dalam sektor awam, bidang pendidikan, bidang perbankan dan bidang perubatan.
Kesimpulannya, program bina kerjaya bagi remaja adalah perlu diselitkan dalam setiap kem motivasi pelajar sekolah khususnya sekolah menengah.