Bijak berkerjasama dan berinteraksi adalah salah satu ilmu yang didedahkan kepada para peserta yang menyertai kem motivasi atau kem jati diri di Asia Camp. Dalam proses menghasilkan MoU (modus operandi) yang baik dalam sesebuah pasukan atau organisasi, interaksi antara ahli pasukan adalah sangat penting.
Interaksi dan kerjasama yang baik dalam pasukan diibaratkan sebagai enjin untuk menggerakan pasukan tersebut. Jika rosak enjinnya, maka adalah mustahil untuk sesebuah pasukan dan organisasi untuk terus bergerak menuju kemajuan.
Ada beberapa kaedah yang perlu diketahui oleh setiap peserta iaitu memberikan sokongan kepada peserta yang lain semasa teknik bijak berkerjasama dan berinteraksi ini dijalankan. Melalui sokongan daripada pihak lain, seseorang individu yang sering merasa rendah diri dan tidak yakin untuk mengutarakan pendapat akan dapat membina semangat positif dalam diri mereka. Selain itu, para peserta juga turut diajar untuk menerima kelemahan dan kelebihan satu sama lain dalam usaha mendorong sikap positif yang berterusan.
Salah satu kaedah lain semasa berinteraksi ini adalah para peserta diminta dengan rela untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan masing-masing. Ini adalah kerana, terdapat segelintir individu yang digelar sebagai “kedekut ilmu” dan enggan berkongsi pengetahuan dan kemahirannya. Mereka menganggap seseorang yang mahukan ilmu hendaklah berusaha keras mendapatkannya.
Justeru, teknik bijak berkerjasama dan berinteraksi ini seharusnya dapat menyedarkan mereka bahawa ada individu yang dikurniakan dengan kelebihan serta kebijaksanaan dalam sesuatu perkara atau bidang, namun ia tidak dapat memberi manfaat kepada orang lain sekiranya ilmu yang baik itu enggan dikongsi bersama. Bak kata pujangga, seseorang tidak mampu mengubah dunia jika hanya bersendirian.
Hanya melalui kerjasama dan interaksi yang baik barulah objektif sesebuah organisasi itu akan dapat dicapai untuk keharmonian bersama. Selain itu, menunjukkan keputusan tidak bersetuju juga adalah salah satu ilmu yang akan didedahkan kepada para peserta kem motivasi atau kem jati diri.
Sesetengah orang terlupa bahawa belajar bukanlah secara tergesa-gesa untuk mengejar dan membuktikan sesuatu, tetapi belajar adalah penghargaan kepada diri sendiri – Andrea Hirata
Teknik bijak berkerjasama dan berinteraksi ini akan mengajar para peserta untuk menyatakan rasa tidak bersetuju dengan cara berhemah. Ia adalah penting untuk menyedarkan ahli yang lain sekiranya keputusan yang dibuat itu adalah salah dan tidak sesuai untuk mencapai objektif pasukan dan sekaligus dapat menyelamatkan pasukan tersebut daripada membuat keputusan yang sia-sia.