Artical, Team Building

MEMBUDAYAKAN KESUKARELAWANAN DI KALANGAN MURID-MURID DAN PELAJAR ASAS JATIDIRI CEMERLANG

Membudayakan kesukarelawanan dalam kalangan anak muda merupakan satu bentuk usaha kerajaan dalam melibatkan golongan muda untuk menjadi aktivis sosial yang prihatin kepada masyarakat sekeliling. Golongan sukarelawan ini merupakan aktivis sosial yang mempunyai nilai-nilai murni dalam jiwa mereka dan sentiasa terdorong untuk membantu golongan lain yang berada dalam kesusahan.

Menjadi sukarelawan ini adalah satu anugerah lantaran dewasa ini kebanyakan anak muda khususnya golongan remaja lebih cenderung untuk memilih menjalankan aktiviti yang kurang baik seperti melepak sehingga larut malam atau terlibat dalam kegiatan lumba haram yang lebih dikenali sebagai merempit.

Justeru, peranan kerajaan dan masyarakat dalam usaha membudayakan kesukarelawanan ini adalah sangat penting. Ia adalah supaya semangat sukarelawan ini dapat dipupuk dalam diri golongan murid-murid dan para pelajar.

Jika kita lihat, di sekolah-sekolah, sering sahaja para guru menganjurkan program gotong royong secara besar-besaran yang melibatkan para pelajar dan juga ibu bapa. Setiap individu termasuk para guru, pelajar dan ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan program seumpama ini berjalan lancar. Tidak dinafikan juga, melalui konsep gotong royong ini juga, para guru mampu menilai sikap kerjasama dan teambuilding juga keprihatinan mereka terhadap sekolah.

Terdapat beberapa langkah yang penting dalam mempersiapkan diri untuk menjadi sukarelawan yang terbaik dalam usaha membudayakan kesukarelawanan ini. Antaranya adalah ;

  • Mempunyai minat terhadap kerja sukarela : minat harus wujud dari sanubari individu itu sendiri dan tidak dipaksa oleh orang lain. Hal ini demikian adalah sangat penting kerana tanpa minat dikhuatiri para pelajar tidak akan ikhlas melaksanakan tugasan malah mengharapkan balasan insentif seperti bayaran pula.
  • Mengenal pasti golongan sasaran yang ingin dibantu : golongan sasaran ini terdiri daripada pelbagai kelompok masyarakat seperti kanak-kanak, remaja bermasalah, keluarga, golongan orang kurang upaya dan warga emas. Individu yang mahu terlibat dalam aktiviti sukarelawan ini perlu memilih golongan mana yang lebih selesa dibantu.
  • Mempunyai perancangan masa yang berkesan : pengurusan masa yang terbaik adalah kunci kejayaan bagi setiap individu. Jangan pula disebabkan terlalu sibuk dengan aktiviti sukarelawan, maka tugasan hakiki pelajar tersebut diabaikan.

Kesimpulannya, melalui konsep membudayakan kesukarelawanan ini akan dapat membentuk keperibadian yang cemerlang di kalangan para pelajar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *