Team Building

Kemahiran memotivasikan diri

Esteem diri atau nilai diri seseorang iaitu daya galakan atau motivasi dalaman yang merujuk kepada kaedah bagaimana seseorang itu menghargai dan menilai diri sendiri.

Kemahiran ini penting supaya pelajar tidak menunggu orang lain meniup semangat kepada diri sendiri. Pelajar mesti tahu cara meniup semangat sendiri. Inilah yang dimaksudkan dengan esteem diri.

 7 tips memotivasikan diri :

1. Mengetahui masa silam tidak penting.

Apa yang penting adalah apa yang kita lakukan hari ini. Mulakan hari ini untuk mendapatkan hasil pada masa akan datang.

Cara ini berkesan untuk meniup semangat sendiri. Malah orang yang mempunyai sikap sebegini akan menjadi inspirasi kepada rakan-rakan di sekolah

2. Berhenti mengeluh dengan keadaan sekeliling.

Kita mesti cari apa kelebihan yang ada pada kita dan mula bersyukur. Orang yang suka mengeluh tidak akan disukai rakan-rakan yang lain kerana sikap sebegitu akan membuatkan orang sekeliling bosan berkawan dengan kita.

3. Mengetahui bahawa orang yang bersyukur adalah orang yang menambahbaik apa yang dia dapat.

Ia bukan sekadar ucapan mulut. Sentiasalah melakukan kerja dengan bersungguh dan mencari cara untuk memajukan diri sendiri bukan hanya menyalahkan orang sekeliling.

Pelajar yang berjaya tidak akan melayan perasaan kecewa sebaliknya berusaha untuk menjadi yang terbaik.

4. Bergaul dengan semua orang, tetapi pilih rakan yang positif sahaja untuk kita dengar.

Jangan terlalu menyombong atau memilih teman berdasarkan pandangan luaran sahaja. Bergaullah dengan semua orang, kemudian barulah kita boleh mengetahui kelebihan, kelemahan, kebaikan atau keburukan seseorang.

Dengan cara ini kita akan mengetahui siapa rakan yang boleh berkongsi rasa.

5. Memperbaiki kelemahan diri dari semasa ke semasa.

Ada kelemahan diri yang boleh kita perbaiki seperti lemah dalam pelajaran Bahasa Inggeris atau Matematik.

Kelemahan ini boleh diperbaiki dengan membuat latih tubi, atau belajar dengan kawan-kawan sehingga berjaya menguasainya.

6. Menetapkan matlamat dengan jelas.

Sebagai seorang pelajar, kita boleh menetapkan matlamat dengan jelas apa yang diinginkan ketika di sekolah.

Kebiasaannya sebagai seorang pelajar pastinya mahukan kejayaan dalam pelajaran. Dengan menetapkan matlamat, kita akan termotivasi untuk mencapainya walau dengan apa cara sekalipun.

7. Mendekatkan diri dengan Allah.

Sebagai seorang yang beragama Islam, kita perlu sentiasa mendekatkan diri dengan Pencipta. Kerja solat setiap hari dan berdoa kepada Allah supaya dapat melakukan segala tugasan dengan sempurna serta lancar. Yakinlah Allah akan menolong kita.

Kesimpulannya, motivasi yang tinggi perlu ditanam dalam diri setiap pelajar untuk memastikan mereka sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dalam kehidupan. Anggaplah cabaran dan dugaan itu, proses untuk mematangkan anda menjadi semakin berjaya pada masa akan datang!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *