Team Building

Restoran/Tempat Makan Yang Menarik di Kuala Selangor

Restoran/Tempat Makan Yang Menarik di Kuala Selangor

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua, apa khabar? Diharap semua berada dalam keadaan yang baik. Hari ini saya akan menulis sebuah artikel yang bertajuk restoran atau tempat makan yang menarik di Kuala Selangor.

Tujuan Artikel ini ditulis adalah untuk memberitahu restoran/tempat makan yang menarik anda boleh kunjungi. Paling penting sedap dan mesra poket (berpatutan dan murah) yang terdapat di Kuala Selangor.

Lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 ini anda semua tidak dibenarkan untuk keluar daripada rumah tanpa tujuan. Pasti anda semua sudah merasa lepu dan bosan kerana telah lebih daripada setahun duduk di rumah.

Baru-baru ini kerajaan telah membenarkan aktiviti pelancongan dijalankan semula tetapi bersyarat. Syaratnya adalah menggunakan agensi pelancongan yang sah atau tidak merentasi daripada negeri masing-masing.

Mungkin dengan membaca artikel ini anda semua mendapat idea untuk mencari tempat pelancongan dan makanan yang menarik untuk anda semua kunjungi.

Sejarah Awal Kuala Selangor

Baiklah, sebelum saya meneruskan artikel ini dengan menceritakan tempat makanan yang terdapat di Kuala Selangor. Lebih baik kita mempelajari dahulu serba sedikit sejarah awal berkaitan dengan Kuala Selangor.

Inilah tempat bermulanya nama Selangor. Ia sebuah pekan yang terletak di Pinggir sungai. Wujudnya atau terbinanya nama Selangor adalah bersempena dengan nama sungai tersebut.

Dahulunya, sebelum dinamakan sebagai Kuala Selangor ia dipanggil sebagai Kuala Sungai. Pada zaman dahulu memang telah menjadi kebiasaan bagi masyarakat mendapatkan nama sesuatu tempat daripada nama sungai.

Selain itu, dianggarkan oleh sejarahwan di Kuala Selangor nama Selangor (Kuala Selangor) ini telah wujud lebih awal dari kurun masihi 15 kerana sebelum Melaka dikalahkan oleh Portugis dalam tahun 1511, Kuala Selangor pernah ditakluk oleh Melaka..

Tambahan pula, dalam sejarah Melayu menyebut ketika zaman Paduka Seri Maharaja memerintah Singapura. Terdapat seorang Pasai yang bernama Tun Jana Khatib yang handal dalam pengajian Khayal Lillah dan Tauhid.

Beliau serta dua orang sahabat telah berpecah untuk melakukan perjalanan. Seorang pergi ke Samarlingga (Selangor) dan seorang lagi ke Bungoran manakala Tun Jan Khatib pula pergi ke Singapura.

Berdasarkan nota, Paduka Seri Maharaja memerintah semasa Kurun Masihi 14 (1301-1400). Andainya sejarah ini benar, jelaslah bahawa nama Selangor telah pun ada ketika itu mahupun zaman dahulu.

Sungai Klang dan Selangor darat boleh dilihat di peta lama tersebut. Sejarah Melayu juga ada menyebutkan di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1445-1458), Tun Perak telah dijemput menjadi Penghulu di Klang.

Akhir sekali, dengan segala keterangan di atas, nayatalah nama Selangor telah ada sebelum Kurun Masihi 15. Selangor yang dimaksudkan oleh keterangan di atas ialah Kuala Selangor sekarang ini di mana bermulanyan politik bagi negeri tersebut.

Semua bukti ini tidak ada siapa yang menyanggah yang membenarkan bahawa di Kuala Selangorlah bermulanya Pentadbiran negeri itu masih terdapat sehingga sekarang.

Baiklah selesai juga serba sedikit sejarah berkaitan kuala Selangor. Ada yang dah bosan dan hampir tertidur ke?. Membaca maklumat berkaitan sejarah ini memang membosankan tetapi kita perlu mempelajarinya.

Dengan mempelajarinya kita dapat mengelakkan perkara yang buruk sebelum ini berlaku lagi di zaman ini dan segala perkara yang baik perlu diteruskan dengan mengikut peredaran masa. Harap anda semua membaca sejarah ini hingga ke akhir dan jangan di langkau.

 

Tempat Makan Menarik di Kuala Selangor.

Ini masa yang ditunggu-tunggu iaitu saya akan menulis berkaitan tempat makan yang paling menarik dan ‘best’ di Kuala Selangor. Sekiranya, anda pergi melancong, bercuti dan bersiar-siar ke tempat percutian.

Pasti anda akan makan sama ada sarapan pagi, makan tengah hari mahupun makan malam. Anda mungkin tidak tahu di mana terletaknya kedai yang mengikut citarasa anda.

Di sini saya sediakan info berkaitan lima kedai makan yang menarik di Kuala Selangor yang mungkin anda boleh kunjungi ketika bercuti di sini. Mari kita lihat restoran apa yang terpilih di dalam artikel ini.

  1. Restoran Aroma Ikan Bakar.

Tempat makanan yang pertama ialah Restoran Aroma Ikan Bakar. Restoran ini terletak di Jalan Pantai Jeram, 45800 Kuala Selangor.

Bagi mereka yang sering datang ke sini Restoran Aroma Ikan Bakar ini bukan nama yang asing lagi bagi mereka. Restoran ini juga sering mendapat komen dan maklum balas yang baik daripada pengunjung yang datang makan di sini.

Restoran Aroma ikan Bakar ini merupakan lokasi makanan laut yang paling popular dan dikenali ramai. Anda boleh memilih sendiri makanan laut yang segar mengikut saiz dan citarasa anda.

Kedudukan restoran ini berhadapan dengan laut yang membolehkan anda makan sambil melihat terbenamnya matahari (pada waktu senja). Tempat makan ini sesuai bagi mereka yang ingin membawa keluarga makan kerana tempatnya yang sangat luas.

Selain itu, di sini terdapat banyak meja yang anda boleh duduk (kecuali yang sudah di tempah). Sekiranya, ada daripada anda yang ingin membuat kursus dan majlis anda boleh memilih untuk makan di sebuah bangunan khas yang boleh diduduki lebih kurang seramai 50 orang atau lebih (bukan jumlah tepat).

Tambahan pula, jika anda membawa anak-anak kecil, warga emas atau diri anda sendiri yang sukakan keselesaan dan privasi. Di sini juga terdapat gazebo yang boleh anda sewa untuk anda makan dengan tenang. Bagi mereka yang beragama islam terdapat juga sebuah surau untuk menunaikan solat.

Antara menu makanan di sini ialah pertama udang masak butter, sotong goreng tepung dengan sos pencicah, tomyam, ketam masak telur masin dan ikan bakar. Semuanya sedap-sedap belaka.

  1. Aunties Kopitiam.

Tempat makan yang seterusnya ialah Auntie Kopitiam Kuala Selangor. Kedai ini terletak di c-3, Jalan Sultan Ibrahim, 45000 Kuala Selangor.

Kedai ini yang menariknya ialah suasana di dalam kedai ini sangat ringkas tetapi cantik, bersih dan selesa. Sesuai untuk duduk bagi menjamah makanan dan minuman.

Kedai Auntie Kopitiam ini sama seperti kedai kopitiam yang pernah anda makan. Di sini anda akan menemui makanan Malaysia yang mengabungkan citarasa pelbagai kaum.

Antara menu yang terdapat di sini ialah nasi lemak (paling diminati), mi kari, sandwich, kuih muih dan pelbagai lagi menu masakan tempatan. Pastinya makanan di sini enak-enak belaka.

Bagi mereka yang mempunyai selera tinggi dalam makan, mungkin satu bungkus nasi lemak tidak mencukupi. Ini disebabkan, kuantiti makanan dalam pinggan adalah tidak begitu banyak.

Terdapat juga segelintir pelanggan merasakan makanan di sini agak mahal berdasarkan harganya. Auntie Kopitiam ini sesuai untuk anda singgah pada waktu sarapan sebelum memulakan aktiviti yang menarik di Kuala Selangor.

  1. Mak Engku Steamboat & Grill.

Tempat makan yang seterusnya ialah Mak Engku Steamboat & Grill. Restoran ini terletak di No.2 Jalan Bendahara 1, 45000 Kuala Selangor.

Restoran ini mempunyai dekorasi dan hiasan yang kemas. Restoran ini boleh membuatkan pengunjung lebih berselera dan selesa untuk makan.

Restoran ini merupakan tempat yang amat sesuai untuk anda membawa keluarga, saudara mahupun rakan-rakan. Rasa masakannya pasti akan memuaskan tunas dan citarasa anda.

Ini kerana, makanannya tidak jauh beza dengan restoran yang lain. Antara kelebihan makan di restoran ini ialah pada layananya serta harga yang berpatutan iaitu ‘wallet friendly’.

Anda perlu membuat tempahan terlebih dahulu sekiranya datang pada waktu puncak. Jika tidak, terpaksalah anda berdiri menunggu giliran untuk makan. Restoran ini dari Selasa sehingga Ahad bermula jam 11 pagi sehingga 11 malam.

  1. Restoran Azee.

Tempat makan yang ketiga ialah Kedai Makan yang diberi nama Azee. Restoran ini terletak di No.53-G, Jalan PUJ 3/9, Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai, 43300, Kuala Selangor.

Nama Restoran ini sangat mudah untuk disebut iaitu Azee. Jika kebanyakkan restoran di Kuala Selangor Popular dengan makanan laut tetapi Azee dikenali dengan masakan melayunya.

Azee juga sering mendapat komen dan maklum balasa daripada rakyat tempatan bahkan Azee juga mendapat pujian daripada pelancong luar. Bagi pelanggan yang datang mereka merasakan dengan memakan di kedai tersebut amat berbaloi dengan wang mereka.

Pelanggan yang membuat tempahan juga akan mendapat makanan mereka dengan pantas. Ada juga beberapa komen negatif daripada pelanggan iaitu terdapat beberapa pekerja di restoran tersebut tidak mampu untuk bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik. Suasana di kedai ini amat selesa dengan sentuhan moden.

  1. RS Cafe.

Tempat makan yang terakhir ialah RS Cafe. Cafe ini terletak di Bandar Baru, 45000 Kuala Selangor.

Jika kebiasannya, anda semua datang ke Kuala Selangor pasti menemui restoran yang dikenali dengan makanan laut. Tetapi di RS Cafe mereka memberikan kelainan dengan memperkenalkan masakan asam pedas yang disediakan di dalam claypot.

Sekiranya anda bukan penggemar makanan asam pedas jangan risau kedai ini juga ada menyediakan masakan ala barat. Dekorasi cafe ini juga ringkas dengan gaya jiwa muda masa kini.

Layanan pekerja di cafe juga adalah baik. RS Cafe boleh dijadikan tempat makanan dengan citarasa berbeza jika anda mahukan kelainan kerana kekerapan makan makanan laut di Kuala Selangor.

Kesimpulan

Kesimpulan yang saya dapat daripada penulisan artikel ini ialah pertama, kita perlulah tidak semata-mata memandang restoran yang mahal untuk memuaskan citarasa kita. Sedangkan restoran dan kedai yang tidak mewah juga mempunyai makanan yang enak-enak.

Selain itu, kita haruslah membawa keluarga keluar untuk makan bersama-sama. Ini juga, dapat mengeratkan lagi hubungan terutama sekali ibu bapa bersama anak-anaknya ataupun anak-anak dengan ibu bapanya.

Akhir sekali, kita perlulah sentiasa menyokong peniaga tempatan yang membuat perniagaan. Ini disebabkan, dengan sokongan kita ekonomi peniaga tersebut juga akan naik serta dapat membantu diri mereka.

Itu sahaja penulisan artikel yang bertajuk tempat makan yang menarik di Kuala Selangor daripada saya. Diharap anda semua telah membacanya sehingga ke penghujung artikel.

Serta mendapat serba sedikit ilmu dan mendapat idea untuk mencari tempat makan sekiranya berkunjung ke Kuala Selangor. Baiklah, terima kasih kerana telah membaca artikel ini. Jumpa lagi di artikel yang lain. Saya mengundurkan diri Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Muhammad Jazri Bin Muhammad Mazlan
B03SPL19F008

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *