Flora dan fauna atau lebih dikenali sebagai tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang menjadikan habitat mereka di hutan belantara adalah salah satu keunikan dan keindahan alam semulajadi yang perlu dipelihara dan dipulihara kewujudannya. Ini kerana semakin hari apabila dunia semakin diasak dengan kemodenan dan natijah daripada kerakusan nafsu manusia, semakin banyak hidupan dan khazanah hutan yang menjadi PUPUS.
Masyarakat zaman sekarang tidak lagi berpeluang mengenali pelbagai jenis hidupan yang telah pupus tersebut. Maka, jika keadaan yang ada sekarang tidak dijaga dengan baik dan tidak dipeliharan dan dipulihara sepenuhnya, maka generasi akan datang tidak lagi berpeluang mengenali keindahan flora dan fauna tersebut.
Akar banir adalah akar tunjang kepada pohon yang besar dan hanya berpeluang dilihat di dalam hutan. Akar banir ini memberikan sokongan kepada pokok lapisan atas kanopi yang besar. Lapisan atas kanopi pula merupakan tempat berlakunya proses fotosintesis yang terjadi di dalam hutan hujan. Semasa proses fotosintesis ini, daun di lapisan atas kanopi akan menyerap cahaya matahari untuk dijadikan makanan. Semasa proses inilah, daun akan menyedut karbon dioksida dan membebaskan oksigen ke udara untuk disedut pula oleh manusia.
Sesetengah pokok besar ini mempunyai akar yang dalam menyerap ke dasar tanah untuk membantunya mencari air semasa kemarau.
Keunikan flora dan fauna juga ditakrifkan dengan mengenali haiwan-haiwan yang mendiami hutan tersebut. Binatang-binatang berbisa seperti kala jengking atau labah-labah gergasi adalah sangat berbahaya kepada manusia. Kesan bisa daripada sengatannya mampu membunuh manusia. Haiwan-haiwan ini dianugerahkan dengan bisa dan sengatan yang boleh membunuh adalah salah satu teknik mempertahankan diri mereka sekiranya diancam oleh pemangsa.
Justeru, adalah sangat penting bagi sang pengembara yang gemar meneroka keunikan alam semulajadi di hutan belantara ini untuk mengenali dan hadam tentang ilmu pengembaraan di dalam hutan. Sedikit pengetahuan mungkin mampu membantu para pengembara menyelamatkan nyawa mereka atau ahli pasukan yang lain sekiranya ditimpa kemalangan yang tidak diingini.
Meskipun ada segelintir daripada haiwan-haiwan dan tumbuhan ini sudah boleh dilihat di zoo, namun merasai sendiri pengalaman di dalam hutan adalah sangat berbeza dan pasti menjadi pengalaman paling berharga bagi sang pencinta alam.