Team Building

Kemahiran Berbudi Bahasa

Kebolehan menggunakan kata panggilan yang betul dan sopan dalam komunikasi.

“Apa guna berkain batik, kalau tidak berbaju kasa, apa guna memang cantik, kalau tidak berbudi bahasa.”

3 Kelebihan  Berbudi Bahasa

1. Disenangi rakan-rakan

Anak-anak yang diajarkan dengan budi bahasa akan disenangi dan disayangi rakan-rakan kerana pertuturan mereka yang baik.

2. Imej

Pelajar yang berbudi bahasa sentiasa mempunyai imej yang baik di kalangan rakan-rakan sekolah. Malah akan menjadi contoh bagi pelajar lain.

3. Berhemah

Kanak-kanak yang diajar dengan budi bahasa lebih berhemah ketika berkata-kata. Orang sekeliling juga akan menghormati mereka.

12 Kemahiran Berbudi Bahasa Yang Perlu Diterapkan Dalam Diri

1. Menjawab salam dan memberi salam dengan semangat

Ajar anak untuk memberi salam ketika bertemu dengan orang ramai yang beragama Islam dan menjawab dengan jelas untuk menunjukkan mereka memberi perhatian.

2. Menghargai orang sedang bercakap

Anak-anak yang diajar dengan budi bahasa tidak akan menyampuk cakap orang lain, dan menghargai nasihat atau tunjuk ajar yang diberikan rakan-rakan, guru dan orang lebih dewasa.

3. Memperkenalkan diri kepada orang yang baru berjumpa

Adab berjumpa orang baru adalah dengan memperkenalkan diri kepada mereka, seperti guru ataupun rakan-rakan.

4. Mengetuk pintu

Anak-anak perlu diajar dengan adab mengetuk pintu sebelum masuk ke bilik guru.

5. Memuji kawan-kawan

Cuba ajar anak-anak untuk tidak lokek memberi pujian kepada kawan-kawan sekiranya ada yang berjaya dalam sesuatu pertanding atau cemerlang dalam pelajaran.

Hal ini juga boleh mengelakkan rasa iri hati anak-anak.

6. Hormat menghormati

Anak-anak perlu diterapkan dengan adab menghormati antara satu sama lain. Hal ini termasuklah menghormati rakan-rakan sekolah jika ada yang tidak mahu berkongsi barang peribadi dengan orang lain.

7. Tolong-menolong

Ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya sentiasa menghulurkan tangan sekiranya ada orang yang memerlukan terutama rakan-rakan di sekolah.

8. Ikhlas

Ajar anak untuk menolong rakan-rakan atau guru dengan ikhlas tanpa mengharapkan upah dan balasan.

9. Tidak sombong

Jangan biarkan anak bersikap sombong dengan orang lain. Ajar mereka untuk bermesra dan bertolak ansur dengan rakan-rakan dan orang sekeliling.

10. Adil dan saksama

Terapkan kepada diri anak-anak untuk melayan semua orang dengan baik, jangan pilih kasih dan menghina mereka yang mempunyai kekurangan diri.

11. Mendengar kata

Perbuatan mengeluh boleh dianggap tidak baik dan biadap terutama dilakukan ketika guru atau ibu bapa meminta tolong anak-anak melakukannya.

Ajar anak-anak untuk tidak mengeluh dan menuruti arahan yang diminta.

12. Tidak mementingkan diri sendiri

Anak-anak perlu diajar supaya sentiasa bertimbang rasa dan tidak mementingkan diri sendiri apabila melakukan sesuatu.

Semangat kekitaan perlu diterapkan kepada anak-anak melalui aktiviti berkumpulan dan sebagainya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *