Team Building

5 punca anak tidak mendengar kata

Ramai ibu bapa gusar dengan keadaan anak mereka yang tidak mendengar kata dan mengikut arahan. Malah anak-anak cuba memberontak untuk menunjukkan protes sekiranya mereka tidak bersetuju dengan arahan ibu bapa.

Jika dibiarkan, kelakuan itu akan menjadi tabiat sehingga tidak mampu dibendung oleh ibu bapa lagi.

Tahukah anda punca anak tidak mendengar kata mungkin disebabkan tindakan yang ditunjukkan ibu bapa sendiri tanpa sedar?

Ini antara lima punca anak tidak mendengar kata :

1. Suka menengking

Anak-anak yang berjiwa rapuh mudah terasa dan trauma dengan sikap ibu bapa yang pemarah. Ibu bapa yang suka menengking akan membuatkan anak-anak sukar untuk mengikut arahan dan mendengar kata.

2. Tiada pantauan

Ada kajian menyatakan kanak-kanak yang kerap terdedah dengan penggunaan peranti atau smartphone lebih sukar untuk mendengar arahan atau kata. Hal ini kerana, mereka lebih memberi fokus kepada skrin smartphone yang dianggap begitu menarik dan mengujakan mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu memantau kekerapan dan cara penggunaan smartphone anak-anak dengan betul termasuk menyemak kandungan yang ditonton mereka.

3. Arahan tidak jelas

Ibu bapa perlu tahu cara untuk memberi arahan kepada anak-anak mengikut situasi usia mereka. Arahan yang diberikan perlu jelas, pendek dan tegas namun tidak meninggi suara. Arahan ibu bapa yang berserta amarah akan membuatkan anak tidak faham dan sukar untuk bertindak mengikutinya.

 4. Janji tidak ditetapi

Walaupun anak-anak masih kecil dan kurang memahami keadaan sekeliling, namun mereka boleh mengingati kata-kata ibu bapa mereka. Kebiasaannya ibu bapa mudah menabur janji kepada anak-anak di saat menginginkan mereka melakukan sesuatu. Bagaimanapun, sekiranya ibu bapa selalu terlupa atau sengaja tidak menunaikan janji kepada anak-anak akan menyebabkan mereka merasa tertipu. Anak-anak tidak mahu lagi melakukan arahan dan tidak lagi mendengar kata-kata ibu bapa kerana rasa tertipu.

5. Tidak konsisten

Tindakan ibu bapa yang tidak konsisten dalam memberi arahan antara penyumbang anak-anak tidak mendengar kata. Ibu bapa perlu sentiasa tegas, dan tidak mudah berubah hati apabila sedang mendidik anak-anak untuk mendengar kata. Jika tindakan ibu sering berubah dan bertukar-tukar, anak-anak akan menganggap perkara itu tidak serius dan tidak perlu melakukannya segera.

Justeru itu, ibu bapa perlu menguasai ilmu mendidik anak-anak dan bertegas dengan setiap tindakan yang dilakukan supaya anak-anak lebih mendengar kata ketika diberikan arahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *