Menilai Keberkesanan Latihan Asas Kebakaran
Pada 10hb Julai 2019 yang lepas, telah berlangsung pertandingan latihan asas kebakaran di pusat latihan dan rekreasi Asia Camp Kuala Kubu Bharu. Pertandingan latihan asas kebakaran ini telah diadili dan dikawal selia oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang telah didatangkan khas bersempena dengan pertandingan kawad kaki peringkat negeri yang telah diadakan di tempat yang sama.
Latihan asas kebakaran adalah penting di setiap tempat kerja atau bangunan awam untuk berlatih mengetahui apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kebakaran. Ini juga merupakan keperluan undang-undang yang mengarahkan kesemua pekerja di dalam syarikat mesti mengambil bahagian.
Mari kita ikuti situasi latihan asas kebakaran yang telah berlangsung pada minggu lepas di Asia Camp.
Pada peringkat awal, pihak APM telah memberikan taklimat umum dan peringatan kepada pihak peserta dan anggota masyarakat yang hadir akan asas penggunaan tabung alat pemadam api atau tabung apar. Secara umumnya, tabung keselamatan pemadam api terbahagi kepada 6 bahagian utama yaitu, (1) safety pin, (2) lever atau tuas, (3) handle, (4) silinder, (5) getah hose, dan (6) pengukur tegangan.
Kaedah penggunaan tabung APAR ini menggunakan formula P-A-S-S yang memerlukan seseorang itu menarik pin, mengarahkan kepada dasar sumber api, menekan tuas, dan akhirnya mengalihkan atau menghalakannya dari satu sisi ke satu sisi yang lain (rujuk gambar di bawah).
Di dalam pertandingan ini wakil pihak APM telah menilai 5 aspek utama yaitu melibatkan situasi seperti yang berikut:
i) Cara menghadapi sekiranya berlaku kebakaran
ii) Cara menggunakan alat pemadam api
iii) Cara melepaskan diri dari bangunan terbakar
iv) Cara melepaskan diri jika pakaian terbakar
v) Cara Mencegah kebakaran di tempat awam
Pada masa yang sama, kumpulan-kumpulan seterusnya turut sama mempamerkan bakat dan kemahiran masing-masing dalam menghadapi situasi kecemasan seperti di yang ditunjukkan oleh kumpulan sebelumnya. Contoh gambar-gambar di bawah adalah latihan asas kebakaran yang telah ditunjukkan oleh kumpulan seterusnya.
Manfaat Pengetahuan Mengenai Latihan Asas Kebakaran
Berdasarkan pertandingan ini, dapatlah disimpulkan bahawa latihan asas kebakaran di bangunan-bangunan dan tempat-tempat umum adalah sangat penting. Ini berdasarkan 4 manfaat seperti yang di bawah;
Pertama, ia merupakan satu peluang untuk mengamalkan prosedur pemindahan yang betul untuk memastikan semua kakitangan mengenali tahap keselamatan mereka.
Kedua, mereka perlu mendapatkan bantuan kakitangan untuk keluar dari bangunan yang terbakar dengan cepat. Oleh itu, keadaan panik yang sebenar akan dapat dikurangkan kerana setiap orang telah tahu apa yang harus dilakukannya.
Ketiga, latihan asas kebakaran seperti ini berguna dalam menguji laluan atau ‘route’ melarikan diri bagi menilai keberkesanannya.
Keempat, semasa latihan asas kebakaran berlaku pemeriksaan juga boleh dilakukan pada sistem penggera bagi memastikan ianya berfungsi dengan betul dan laluan keluar kecemasan tidak terhalang. Latihan asas kebakaran secara keseluruhan membantu meningkatkan keselamatan, supaya anggota masyarakat atau kakitangan di tempat-tempat berkenaan akan bersedia sebaik mungkin jika kebakaran benar-benar berlaku.
Akhir kalam, suka atau tidak, latihan asas kebakaran adalah aspek penting keselamatan sekiranya kebakaran benar-benar berlaku dan tempat kerja anda menjadi tempat yang lebih selamat.