5 idea aktiviti cuti sekolah untuk anak-anak

Musim cuti persekolahan adalah waktu yang dinanti anak-anak selepas bertungkus lumus ke sekolah dan memenuhi hampir sepenuh hari dengan aktiviti sekolah. Pasti pelbagai idea dikemukakan anak-anak kepada ibu bapa untuk diisi sepanjang waktu cuti persekolahan mereka.

Namun tidak semua idea dan hasrat anak-anak boleh dituruti ibu bapa disebabkan kekangan waktu bekerja dan kewangan. Bagaimanapun ada beberapa idea untuk mengisi masa anak-anak dengan perkara berfaedah sepanjang cuti persekolahan mengikut kesesuaian masa dan kewangan anda.

Ini lima idea aktiviti cuti sekolah untuk anak-anak :

1. Masak makanan kegemaran bersama

Aktiviti memasak bersama anak boleh menjadi pengalaman mengujakan bagi mereka. Pilih menu yang mudah dan ringkas untuk mengelakkan pembaziran dan kecederaan kepada anak-anak ketika berada di dapur. Contohnya membuat kek cawan mini. Bahan untuk membuat kek cawan mudah diperolehi di mana-mana kedai serbaneka. Cara penghasilannya juga ringkas namun sudah cukup untuk meningkatkan daya kreativiti mereka.

2.Menonton filem bersama-sama

Menonton filem bersama anak-anak juga boleh menjadi memori indah dalam keluarga. Sama ada menonton di panggung wayang atau di rumah ia akan menjadi menarik jika dibuat dengan sedikit perancangan. Bagi yang memilih menonton filem di rumah pastikan pemilihan cerita sesuai di tonton seisi keluarga. Filem berunsur komedi juga mampu membuatkan anak-anak ketawa, dan terhibur. Sediakanlah semangkuk bertih jagung, bersama snek ringan dan air untuk anak-anak bagi mengelakkan gangguan ketika mereka menonton.

3.Mengemas rumah

Aktiviti mengemas rumah mungkin menjadi perkara yang paling tidak diminati anak-anak ketika menghabiskan waktu persekolahan. Kreativiti ibu bapa diperlukan untuk memancing minat anak-anak. Antaranya ibu bapa boleh mengubahsuai sedikit bilik anak-anak dengan susun atur yang baru tanpa perlu mengeluarkan wang, seperti menampal lukisan di dinding. Tindakan meminta pendapat dan idea daripada anak-anak akan membuatkan mereka bertambah teruja untuk melakukannya.

4.Mengenali alam

Inilah masa yang dinantikan untuk anak-anak mengenal keindahan alam, melihat haiwan dan tumbuhan dengan lebih dekat. Banyak tempat-tempat menarik yang menyediakan pakej ini seperti mengunjungi zoo, taman rekreasi air terjun, pantai atau taman botani. Di kawasan sebegini anak-anak lebih bebas untuk berinteraksi dengan flora dan fauna. Jika taman rekreasi air terjun yang menjadi pilihan, anak-anak boleh melakukan aktiviti mandi sungai, jungle trekking, berkhemah, berkelah dan mengamati kehijauan serta bunyi sahutan unggas. Pengalaman sebegini akan menambah pengalaman mereka dan melegakan tekanan anak-anak termasuk ibu bapa.

5.Balik kampung

Aktiviti balik kampung ini bukan sahaja boleh mengeratkan silaturrahim antara sanak saudara tetapi diisi dengan pelbagai perkara yang bermanfaat buat anak-anak sepanjang cuti persekolahan mereka. Bermula dengan mengemas pakaian untuk di bawa pulang, anak-anak juga sudah boleh di ajak untuk turut serta. Di dalam perjalanan menuju ke kampung, adakan aktiviti sampingan supaya anak-anak tidak bosan contohnya bernyanyi bersama. Setibanya di desa, anak-anak boleh membantu datuk dan nenek mereka di kebun dan di reban ayam. Aktiviti sebegini tidak mungkin boleh dilakukan di rumah sendiri atau sekolah. Anak-anak juga akan lebih bebas  untuk beraktiviti seperti mengayuh basikal, mengutip buah di kebun, mandi sungai dan mencuba permainan tradisional lain yang menjadi kebiasaan dimainkan di kampung.

 

Begitu banyak aktiviti yang bermanfaat boleh dilakukan ibu bapa dengan anak-anak ketika cuti persekolahan sama ada perlu mengeluarkan wang atau pun tidak. Lima idea aktiviti cuti sekolah untuk anak-anak ini boleh dijadikan panduan anda. Rancanglah dengan bijak. Kebahagian anak-anak ditangan anda!