Ilmu komunikasi api dan asap dalam pergerakan unit beruniform adalah salah satu ilmu yang sangat membantu semasa perkhemahan. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa dua elemen ini boleh digunakan sebagai alat komunikasi semasa di dalam hutan.
Jika ada yang masih ingat dalam satu babak filem Hollywood yang terkenal iaitu Pirates of Carribean – The Curse Of The Black Pearl di mana terdapat babak yang menunjukkan Elizabeth Swan membakar pohon rum dan menimbulkan asap tebal semasa dia terkandas di sebuah pulau bersama-sama Kapten Jack Sparrow.
Justeru, apa yang ingin disampaikan adalah setiap ahli pasukan yang berkhemah perlu mengetahui kemahiran tentang cara untuk menghantar pesanan dan membaca isyarat menerusi ilmu komunikasi api dan asap ini.
Komunikasi api biasanya digunakan pada waktu malam dan komunikasi asap pula digunakan pada waktu siang hari. Sejarah penggunaaan dua elemen ini sebagai modul komunikasi dimulakan oleh orang Red Indian di Amerika yang menggunakan isyarat asap sebagai tanda serangan musuh ataupun menandakan telah berlakunya kecemasan yang tidak dijangka.
Asap boleh dijadikan dengan mengumpulkan bahan-bahan kering di dalam hutan seperti daun-daun kering, ranting-ranting kayu atau dahan-dahan yang kering. Bahan-bahan ini dikumpul bersama sebelum menyalakan api. Setelah api terhasil, letakkan pula sedikit demi sedikit daun atau rumput yang basah.
Melalui pembelajaran ilmu komunikasi api dan asap ini juga mengajar para peserta perkhemahan di mana setiap jenis kepulan asap membawa maksud yang berbeza. Kepulan asap yang besar atau panjang yang perlahan-lahan dan berturut-turut tiga kali bermaksud “mara”.
Kepulan asap yang kecil atau pendek berturut-turut pula bermakna “berkumpul”. Kepulan asap yang bersambung dan tidak putus-putus pula membawa maksud “berhenti”. Dan akhir sekali, kepulan asap kecil atau pendek dan besar atau panjang bergilir-gilir pula membawa maksud “bahaya”
Semua jenis perbezaan kepulan asap ini perlu diketahui oleh para ahli perkhemahan kerana ia akan membantu mereka sekiranya terkandas di dalam hutan. Selain itu juga ia dapat memudahkan para ahli pasukan penyelamat untuk mencari lokasi mereka dan seterusnya menyelamatkan mereka.