Pembangunan jati diri

Tidak menyambung pelajaran kerana kesempitan hidup bukan suatu kesalahan sekiranya anda memilih untuk bekerja.

Jangan terlalu memilih tempat bekerja atau pekerjaan sekiranya matalamat anda untuk keluar dari kepayahan hidup.

Kenapa pentingya untuk keluar dari kelompok kemiskinan dengan mencari pengalaman tanpa memilih tempat berkerja?

1.Peluang belajar

Anda akan menemui banyak peluang belajar di tempat kerja baharu. Dari situ anda boleh meningkatkan kemahiran dan menambah ilmu yang boleh digunakan jika ingin memohon pekerjaan lain kelak.

2.Bersemangat

Teruslah bersemangat dan cuba mencintai pekerjaan baharu itu walaupun ia bukan pilihan utama. Anda perlu ingatkan diri matalamat atau tujuan anda bekerja adalah untuk membantu keluarga dan keluar dari kepompong kemiskinan.

3.Permulaan hidup baharu

Sedar atau tidak, dengan bekerja anda sedang memulakan permulaan sebuah kehidupan yang baharu. Anda mempunya pendapatan sendiri, dan berjumpa dengan orang-orang baharu.

Malah rutin harian anda juga berubah.

4.Berkeyakinan

Tidak memilih tempat bekerja membuatkan anda lebih berkeyakinan. Anda tidak kisah perlu melakukan apa jua pekerjaan dan sentiasa bersedia.

5.Berjaya

Sekiranya anda mengambil langkah pertama tanpa banyak rungutan, tidak mustahil suatu hari nanti akan berjaya mencapai apa yang dicita-citakan.

Adakah penghijrahan ke tempat lain adalah suatu pilihan yang baik untuk membela nasib diri dan keluarga?

Orang berjaya melakukan penghijrahan dalam diri untuk mendapat kehidupan lebih baik. HIjrah bukan sahaja dari sudut wang ringgit, tetapi meliputi fizikal dan rohani.

Jika anda membuat keputusan untuk berhijrah kerana membantu keluarga, ia adalah satu pilihan yang tepat.

Berjumpa dengan lebih ramai orang yang pelbagai ragam dan persekitaran berbeza akan memberi pengalaman baru dalam hidup anda. Pengalaman ini amat berharga untuk anda di kemudian hari.

Jangan takut berdepan dengan perbezaan itu, sebaliknya cuba mempelajari sesuatu daripada mereka untuk dijadikan pengalaman dalam kehidupan dan sebagai nilai tambah dalam diri sendiri.

Sentiasalah berfikiran terbuka!

Kemahiran menyelesaikan masalah

Kemahiran ini penting untuk anda kuasai ketika berhadapan dengan sesuatu perkara yang sukar ketika bekerja.

Bagaimana memahami 4 fasa yang penting di dalam menyelesaikan masalah iaitu:

  1. fasa mencari maklumat dan data berkenaan masalah yang timbul
  2. fasa mendalami maklumat dan masalah yang timbul
  3. fasa mengenalpasti penyelesaian masalah
  4. fasa melaksanakan penyelesaian masalah.

Kenapa anda perlu memahami bahawa tidaklah penting masalah tersebut, apa yang penting adalah solusi kepada masalah tersebut.

1.Mencapai kejayaan

Masalah bukan untuk ditangisi sebaliknya diselesaikan. Setiap masalah yang berjaya diselesaikan pasti ada sesuatu ganjaran menanti.

Bukan sahaja ganjaran daripada majikan, tetapi kepada diri sendiri termasuk peningkatan kemahiran menyesaikan masalah.

2.Tidak berputus asa

Orang yang cuba mencari solusi menyelesaikan masalah tidak akan mudah berputus asa. Mereka akan sentiasa mencuba dan terus mencuba sehingga berjaya dengan pelbagai cara.

3.Menjimatkan masa

Daripada runsing dan menangis memikirkan masalah lebih baik segera mencari penyelesaiannya. Masa kerja anda juga dapat dikurangkan.

4.Kurangkan bebanan kerja

Semakin lambat anda mencari jalan penyelesaian, semakin lama masalah itu akan membelenggu diri.

5.Matang

Anda juga akan menjadi bertambah matang apabila berdepan dengan pelbagai masalah sama ada di tempat kerja atau dalam kehidupan.

Masalah yang diselesaikan akan memberi satu pengajaran dan ilmu baharu dalam kehidupan.

6.Ilmu pengetahuan

Sedar atau pun tidak, dengan masalah anda dapat menambah ilmu pengetahuan. Anda akan mula mencari cara dan membuat rujukan untuk mencari solusi menyelesaikannya segera.

Malah jika di dalam pekerjaan ia boleh digunakan sebagai strategi dan dibangunkan menjadi idea lebih hebat.

7.Ketenangan

Tengok sahaja orang-orang yang tenang, mereka bukan tiada masalah sebaliknya cuba mencari solusi dan menyelesaikannya segera.

Jika tidak mampu menyelesaikan sendirian, cuba meminta pertolongan dari orang lain.

Anda perlu sedar, setiap manusia yang hidup tidak akan lari dari menghadapi masalah. Oleh itu jangan lari dari masalah sebaliknya cuba menyelesaikan dengan segera.

Dapatlah rujukan dan nasihat daripada orang lain sekiranya tidak mampu menyelesaikannya sendiri, jangan berputus asa.

 

 

Creative thinking

Creative thinking

Orang yang sentiasa mempunyai kemahiran creative thinking lebih mudah untuk melakukan sesuatu perkara yang sukar dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Walaupun anda masih dibangku sekolah, kemahiran creative thingking boleh dibina dengan pelbagai cara terutama mencari idea-idea baharu untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Jangan mengalah sebelum cuba untuk berfikir dan menyelesaikan masalah. Jangan takut juga untuk salah dalam percubaan pertama.

Kesalahan-kesalahan yang dilakukan itu sebenarnya akan menyebabkan otak anda lebih kreatif, dan dapat mengeluarkan idea yang baharu.

Ada idea cuba sampaikan sahaja!

Sikap sebegitu akan akan membuatkan diri seseorang itu berjaya mengejar impian dan kehidupan yang lebih baik.

Tips merangsang minda untuk meneroka pelbagai kemungkinan, menghasilkan sesuatu yang tidak pernah dilakukan :

1.Bersedia menghadapi apa jua kemungkinan

Anda perlu melatih diri untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang arahan atau tugasan yang diberikan ketika berada di alam pekerjaan.

Tugasan itu kadangkala bukan sesuatu yang anda bayangkan, namun ia tidak salah untuk anda lakukannya.

2.Yakin diri

Memasuki dunia pekerjaan yang baharu, pelbagai rintangan anda akan hadapi. Malah persekitarannya juga akan berubah.

Namun sekiranya anda mempunyai idea yang baik ambil peluang untuk bertahan dan yakin diri untuk bergaul dengan orang lain.

3.Berkongsi idea

Anda tidak perlu bimbang untuk berkongsi idea dengan orang lain. Sekiranya idea anda ditolak jangan berkecil hati sebaliknya cuba dan terus mencuba untuk berfikir dengan idea baharu.

4.Berfikiran terbuka

Dunia pekerjaan dan alam persekolahan tidak akan sama situasinya. Ketika anda berada di dunia pekerjaan, semuanya bergantung di atas kaki sendiri.

Jika anda mahu berjaya dalam kerjaya, sentiasalah berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menerima kritikan, teguran dan belajar sesuatu yang baharu.

5.Motivasi

Anda perlu sentiasa mempunyai motivasi diri untuk mencapai matlamat hidup. Berfikirlah secara positif dan memberi peluang untuk diri anda melangkah lebih jauh tanpa mengehadkan pemikiran anda.

Kesimpulannya, sebagai seorang pelajar cubalah untuk belajar menjadi seorang creative thinking dalam melakukan sesuatu tugasan dan menyelesaikan masalah. Jangan mudah mengalah dan berserah!

Creative thinking

Apakah creative thinking?

Creative thinking atau berfikiran kreatif adalah kemahiran untuk mencari idea-idea baharu dalam menyelesaikan masalah.

Bagi seorang pelajar kemahiran ini perlu dikuasai untuk mewujudkan keyakinan dalam diri ketika berada dalam dunia kerjaya selepas tamat belajar nanti.

Tips menimbulkan sikap yakin diri pelajar terhadap suasana baru pekerjaan melalui creative thinking di dalam menjayakan sesuatu tugasan :

1.Tanamkan perasaan ingin tahu

Sebagai seorang pelajar anda boleh tanamkan sikap ingin tahu tentang semua perkara. Sikap ingin tahu ini akan mendorong diri anda untuk mencuba dan belajar sesuatu yang baharu.

Sikap sebegini juga akan membuatkan orang sekeliling menyukai anda. Malah tugasan juga dapat diselesaikan dengan baik.

2.Berfikiran terbuka

Memasuki alam pekerjaan, anda perlu bersedia dan sentiasa berfikiran terbuka. Anda tidak kisah untuk mendengar pendapat dan belajar sesuatu yang baharu demi untuk menjayakan sesuatu tugasan.

3.Tidak takut memberi pandangan

Jika anda mempunyai idea tentang sesuatu tugasan yang diberikan, jangan takut untuk melontarkannya.

Memberi pandangan bukan suatu kesalah sebaliknya ia cara untuk menambah baik sesuatu idea atau tugasan yang diberikan jika ia bersesuaian.

4.Brainstorming

Bagi melatih diri supaya sentiasa mempunyai kemahiran creative thinking, brainstorming adalah antara kaedah paling berkesan.

Catatkan idea dan kembangkannya sehingga menemui idea atau penyelesaian baharu.

5.Menjadikan membaca sebagai tabiat

Jangan ingat anda sudah menamatkan persekolahan, tabiat membaca perlu ditamatkan juga. Dengan membaca anda akan lebih berfikiran kreatif dan kritis yang mana ia bagus untuk membina kerjaya anda di kemudian hari.

Tabiat membaca pasti membuatkan seseorang itu dapat menghasilkan idea-idea yang baharu untuk dimanfaatkan dalam setiap tugasan diberikan.

Kemahiran creative thinking ini yang dikuasi ini sebenarnya bukan hanya berguna di dalam kerjaya tetapi di dalam kehidupan seharian.

Orang yang mempunyai daya creative thingking ini tidak akan cepat mengalah dengan kehidupan mereka sebaliknya mencari jalan untuk mencipta kejayaan demi kejayaan.

 

 

 

Zon selesa vs Zon belajar

Kelebihan keluar dari zon selesa di sekolah

Sebagai seorang pelajar pastinya semua keperluan hidup disediakan oleh orang dewasa ataupun ibu bapa.

Itu adalah tanggungjawab mereka untuk memberikan yang terbaik kepada anda sebagai anak-anak.

Namun begitu, sebagai seorang pelajar dan anak, anda tidak boleh terus berada di zon selesa tanpa mahu memikirkan cara membantu meringankan beban keluarga.

Anda tidak akan melakukan sesuatu dalam pelajaran selagi tidak dipaksa atau disuruh kerana ia menyukarkan.

Jika anda meneruskan sikap sebegitu di sekolah, anda akan menjadi orang paling rugi.

Kenapa?

Ini kelebihan keluar dari zon selesa :

1.Berjaya dalam kehidupan

Orang suka mencabar diri, dan mengambil sebarang risiko akan lebih berjaya dalam kehidupan mereka.

Mana tidaknya, mereka sudah terbiasa melakukan perkara-perkara yang sukar, dan tidak mempunyai masalah sekiranya mereka perlu terus bekerja keras untuk berjaya.

2.Berpengetahuan luas

Orang yang keluar dari zon selesa juga akan menjadi mereka lebih berpengetahun luas berbanding orang lain.

Mereka banyak belajar dari kesilapan dan kegagalan apabila mencuba perkara baharu.

3.Lain dari yang lain

Orang yang banyak mengambil risiko dalam kehidupan mereka, akan menyerlahkan sifat unik atau lain dari yang lain.

Sifat ini hanya diperolehi daripada orang-orang yang mempunyai jalan kehidupan yang penuh cabaran. Keunikan mereka akan menjadi nilai tambah dalam diri untuk terus maju ke hadapan.

4.Berkeyakinan

Kepayahan yang dilalui apabila melangkah keluar dari zon selesa akan menambah keyakinan diri.

Sebagai pelajar anda akan lebih yakin untuk membuat keputusan dan tampil kehadapan memberi pandangan.

5.Lebih proaktif

Anda ada usaha untuk memastikan segala tugas yang diberikan berkualiti dan kemas.

Kesimpulannya, tindakan keluar dari zon selesa membantu anda bukan sahaja dalam pelajaran tetapi kehidupan supaya boleh maju kehadapan dengan usaha sendiri.

Anda juga akan mengecapi manisnya cabaran yang dilalui untuk mendapatkan sesuatu.

Zon selesa vs Zon belajar

Cara mendorong diri keluar dari zon selesa dan masuk ke zon belajar

Setiap orang mempunyai zon selesa yang tersendiri. Zon selesa ini setiap orang ini boleh merangkumi kemudahan, rumah, sekolah dan juga rakan-rakan sekolah.

Zon selesa ini juga membuatkan ramai orang tidak mahu lagi mengambil risiko atau cabaran untuk mencapai kejayaan.

Sebenarnya, orang selalu keluar dari zon selesa akan lebih berjaya dalam kehidupan mampu merubah sesuatu kepada yang lebih baik.

Lima cara mendorong diri keluar dari zon selesa dan masuk ke zon belajar

1.Atasi ketakutan diri

Senaraikan perkara-perkara yang anda takuti, dan penyelesaiannya. Kebanyakan perkara yang anda takuti itu sebenarnya mempunyai potensi untuk anda maju ke hadapan dalam pelajaran.

Percayalah sekiranya anda mampu atasi ketakutan ini, ia akan membantu meningkatkan keyakinan diri dan melangkah dari kepayahan hidup.

2.Yakin diri

Anda mungkin selesa dengan keadaan diri yang tidak dikenali dan dipeduli oleh rakan-rakan atau guru di sekolah. Anda tidak kisah dipinggirkan kerana tidak yakin dengan diri.

Sebenarnya apa yang perlu anda lakukan adalah cuba bergaul dengan orang lain untuk sentiasa berkeyakinan, keluar dari zon selesa anda sekarang!

Mulakan bercakap dengan rakan-rakan mengenai kerja rumah dan berbincang topik-topik dalam buku teks.

3.Katakan “Ya”

Anda lebih selesa untuk mengelak membuat kerja-kerja sukarela yang diminta guru atau ahli kumpulan kerana tidak mahu bersusah payah berfikir untuk menyelesaikannya.

Jika anda mahu keluar dari zon selesa dan berjaya, katakan sahaja “Ya” dalam setiap arahan atau tugasan.

Kemudian cubalah selesaikannya dengan meminta tunjuk ajar guru-guru atau rakan-rakan. Hal ini akan mendorong diri untuk kembali bersemangat dalam pelajaran.

4.Paksa diri

Ramai pelajar yang selesa dengan rutin harian mereka. Mereka sudah merasa cukup dengan usaha yang dilakukan mereka pada setiap tahun tanpa mahu berusaha keras dalam pelajaran untuk mendapatkan pencapaian lebih baik dalam pelajaran.

Sebenarnya anda boleh ubah rutin dan paksa diri untuk mengikuti jadual baharu dalam kehidupan sebagai seorang pelajar.

Walaupun sukar pada mulanya, ia akan menjadi kebiasaan pada akhirnya dan anda boleh merasai perubahannya nanti.

5.Mengambil risiko

Tidak ramai yang mahu mengambil risiko untuk mencuba perkara-perkara baharu dalam kehidupan mereka.

Mencuba perkara baharu ini perlu banyak berkorban jiwa dan raga, malah akan boleh mengubah kehidupan anda.

Namun begitu, dengan mencuba perkara baharu ini anda akan menjadi lebih kuat dan lebih berpengetahuan berbanding rakan-rakan yang lain.

Ini peluang untuk anda melatih diri supaya menjadi semakin kuat pada masa akan datang.

Matlamat hidup yang jelas

Bagaimana matlamat hidup yang jelas akan memberi semangat untuk memulakan kerjaya?

Sebagai seorang pelajar, pasti matlamat hidup untuk bekerja adalah mencari wang untuk membeli sesuatu yang diidamkan.

Namun, bagi mereka yang kurang bernasib baik matlamat memulakan kerjaya adalah untuk membantu keluarga meneruskan hidup.

Walau apa pun matlamat hidup anda, namun perlu ditetapkan dengan jelas.

Tips menetapkan matlamat hidup yang jelas :

1.Motivasi diri
Walaupun anda masih tidak mempunyai pengalaman dalam pekerjaan, namun anda perlu yakin boleh melakukan tugasan yang diberikan. Memotivasi diri sendiri setiap hari perlu dilakukan untuk memastikan lebih yakin terhadap matlamat hidup anda.

2.Pilihan tepat
Anda perlu membuat pilihan yang tepat dalam menetapkan matlamat hidup. Pilihan yang tepat akan membantu anda memilih kerjaya yang tepat dengan matlamat hidup. Pilihan ini juga mampu mengelakkan trauma dan berputus asa.

3.Sanggup berkorban
Untuk mencapai matlamat hidup, anda perlu bersedia untuk berkorban sama ada wang ringgit, masa ataupun tenaga. Pengorbanan sebenarnya bukanlah sesuatu yang teruk sebaliknya ia dapat membina jati diri dan keyakinan diri dalam pekerjaan kelak.

4.Befikiran terbuka
Setiap orang mempunyai pengalaman pertama yang sukar. Anda perlu sentiasa berfikiran terbuka sekiranya memulakan kerjaya pertama selepas tamat belajar di bangku sekolah menengah.

5.Bersedia untuk belajar benda baharu
Mahu atau tidak mahu, anda perlu bersedia untuk mempelajari benda baharu yang tidak akan sama seperti ketika belajar di sekolah. Di alam pekerjaan anda akan berhubung dengan orang yang mempunyai pelbagai ragam, usia dan sikap. Mungkin cara mengajar dan mendidik mereka juga tidak sama seperti guru di sekolah.

6.Bijak kewangan
Anda perlu bijak merancang kewangan anda. Tetapkan matlamat dan beri keutamaan kepada perkara yang lebih penting ketika menggunakan wang pendapatan anda. Jika dari mula bekerja anda gagal menguruskan kewangan, kemungkinan matlamat anda tidak akan berjaya pada masa akan datang.

Justeru itu, anda perlu menetapkan matlamat hidup yang jelas sejak dari bangku sekolah atau sebelum memohon pekerjaan lagi. Matlamat hidup yang jelas akan membantu anda memilih haluan kerjaya yang tepat.

Matlamat hidup

Kepentingan memulakan kerjaya untuk mencari pendapatan sendiri

Tidak semua yang hidup di dunia ini memiliki kehidupan yang sempurna. Ramai juga yang berusaha sejak dari kecil untuk mendapatkan sesuatu dalam kehidupan.

Ramai yang memilih memulakan kerjaya untuk mencari pendapatan sendiri selepas tamat belajar di tingkatan lima. Mereka tiada pilihan untuk terus sambung pelajaran.

Oleh itu, jangan bersedih atau bimbang, jika anda juga di dalam kategori ini.

Kerjaya yang boleh anda ceburi :

1.Bekerja di kedai makan
Anda mungkin akan diberikan tugas sebagai pelayan tetamu, mengambil pesanan atau juru wang. Kerjaya ini akan melatih diri untuk lebih cekap. Bayaran upah diberikan juga boleh membantu anda untuk membeli barangan sendiri.

2.Bekerja di restoran francais
Banyak peluang pekerjaan dibuka untuk pelajar lepasan sekolah menengah di restoran francais ini. Bekerja di restoran ini anda akan dibayar mengikut jumlah atau pun secara bulanan.

3.Memulakan perniagaan sendiri
Sebagai lepasan sekolah, anda mungkin tidak mempunyai modal dan kurang berpengalaman dalam perniagaan. Namun tidak mustahil untuk anda mencuba menjual sesuatu yang tidak mengeluarkan modal yang banyak seperti menghasilkan rantai kekunci, menjual kuih dan sebagainya.

4.Servis menulis
Jika anda berbakat dalam bidang penulisan, tidak salah untuk memohon pekerjaan sebagai penulis blog atau mengambil upah menulis artikel. Bayaran yang dibuat bergantung kepada jumlah perkataan.

5.Bekerja di sektor perkilangan
Jangan takut untuk cuba memohon pekerjaan di sektor perkilangan kerana di sana gaji yang diberikan agak lumayan. Malah persekitaran kerja juga lebih kondusif.

6.Bercucuk tanam
Jika anda berminat dalam aktiviti pertanian, cuba memulakan langkah menanam sayur-sayuran atau pokok herba yang mudah tumbuh. Anda boleh menjual di laman web e-dagang atau pergi rumah ke rumah.

7.Melukis
Jika anda berbakat dalam lukisan, anda boleh mengambil upah melukis potret dan sebagainya. Iklankan sahaja di internet atau media sosial.

8.Dropship
Bekerja sebagai dropship juga tidak memerlukan wang. Anda hanya perlu memilih mana-mana jenama dan memohon untuk menjadi ahli dropship mereka. Semudah ABC.

9.Servis mengemas rumah
Anda juga boleh mencuba menawarkan servis mengemas rumah kepada orang ramai. Anda boleh menubuhkan satu pasukan kerja untuk menjalan kidmat servis ini. Bekerja dengan rakan-rakan sekolah kadangkala akan membangkitkan semangat anda setiap hari ini.

10.Memberi tuisyen
Hari ini ramai ibu bapa sangat mementingkan pelajaran anak-anak. Jika anda seorang yang pintar dalam mata pelajaran tertentu cuba tawarkan servis guru tuisyen.

Kesimpulan

Kesemua kerjaya di atas boleh dilakukan walaupun anda tidak mempunyai pengalaman kerja. Ambil langkah pertama untuk anda dapatkan pendapatan pertama bagi membeli kelengkapan diri dan membantu keluarga.

Kemahiran berunding

Kemahiran ini penting bagi pelajar untuk meningkatkan daya saing. Daya saing penting bagi menghadapi sebarang konflik.

Takut dan lari dari masalah akan menjadikan pelajar tidak berdaya saing. Daya saing yang tinggilah yang akan meningkatkan kebolehan diri pelajar.

Berdaya saing bukan bermaksud kita mesti bersaing dan menang. Ia bermaksud kita mampu memberikan yang terbaik ketika membuat sesuatu tugasan.

Tipsnya adalah:

1. Apabila tidak bersetuju, mesti kemukakan cadangan lain. Sekiranya tidak ada cadangan lain, kitamestilah menerima cadangan tersebut. Terima dengan hati ikhlas dan terbuka akan membuahkan hasil yang lebih baik.

2. Kita mesti mengetahui tidak ada menang kalah di dalam perbincangan. Semua pendapat mesti diraikan dengan tidak mengkritik pendapat orang lain.

Jangan merasa kecewa jika pendapat kita tidak diterima, sebaliknya cuba memberi yang terbaik.

3. Runding isunya sahaja, bukan runding tentang hal peribadi.Jangan suka bercakap tentang hal orang lain, sebalik memberi keutamaan kepada isu yang dibincangkan.

Orang pandai berunding tidak akan bercakap atau bersangka buruk kepada rakan yang lain.

4. Patuh pada hasil rundingan.Hasil rundingan yang dipersetujui perlu dilakukan segera dan jangan mengubah tanpa perbincangan dengan yang lain.

Sikap suka mengubah hasil rundingan ini akan memberi masalah bukan sahaja kepada hasil kerja sebaliknya hubungan dengan rakan-rakan yang lain.

5. Kawal emosi. Jangan cepat melenting dan membuat kesimpulan awal dalam perundingan. Ketika berunding, pastikan diri kita sentias dalam keadaan tenang. Jika tidak bersetuju diam sahaja.

6. Menjadi pendengar aktif. Dalam proses berunding ada masanya kita perlu diam sahaja, namun masih perlu memberi perhatian.

Kaedah mencatat di dalam buku atau telefon pintar juga boleh menunjukkan kita sedang memberi perhatian kepada rundingan.

7. Jangan mendesak. Sekiranya kita mahu tahu lebih lanjut mengenai hal yang dirundingkan jangan terlalu mendesak, sebaliknya beri peluang kepada orang sedang bercakap untuk menghabiskan ayat mereka.

Sebagai seorang pelajar sekolah menengah juga, kemahiran berunding yang dikuasi akan memudahkan mereka untuk berjaya dalam kehidupan akan datang.

Mereka akan berusaha dan mencari jalan menyelesaikan masalah untuk mencapai apa yang diinginkan.

Kemahiran memotivasikan diri

Esteem diri atau nilai diri seseorang iaitu daya galakan atau motivasi dalaman yang merujuk kepada kaedah bagaimana seseorang itu menghargai dan menilai diri sendiri.

Kemahiran ini penting supaya pelajar tidak menunggu orang lain meniup semangat kepada diri sendiri. Pelajar mesti tahu cara meniup semangat sendiri. Inilah yang dimaksudkan dengan esteem diri.

 7 tips memotivasikan diri :

1. Mengetahui masa silam tidak penting.

Apa yang penting adalah apa yang kita lakukan hari ini. Mulakan hari ini untuk mendapatkan hasil pada masa akan datang.

Cara ini berkesan untuk meniup semangat sendiri. Malah orang yang mempunyai sikap sebegini akan menjadi inspirasi kepada rakan-rakan di sekolah

2. Berhenti mengeluh dengan keadaan sekeliling.

Kita mesti cari apa kelebihan yang ada pada kita dan mula bersyukur. Orang yang suka mengeluh tidak akan disukai rakan-rakan yang lain kerana sikap sebegitu akan membuatkan orang sekeliling bosan berkawan dengan kita.

3. Mengetahui bahawa orang yang bersyukur adalah orang yang menambahbaik apa yang dia dapat.

Ia bukan sekadar ucapan mulut. Sentiasalah melakukan kerja dengan bersungguh dan mencari cara untuk memajukan diri sendiri bukan hanya menyalahkan orang sekeliling.

Pelajar yang berjaya tidak akan melayan perasaan kecewa sebaliknya berusaha untuk menjadi yang terbaik.

4. Bergaul dengan semua orang, tetapi pilih rakan yang positif sahaja untuk kita dengar.

Jangan terlalu menyombong atau memilih teman berdasarkan pandangan luaran sahaja. Bergaullah dengan semua orang, kemudian barulah kita boleh mengetahui kelebihan, kelemahan, kebaikan atau keburukan seseorang.

Dengan cara ini kita akan mengetahui siapa rakan yang boleh berkongsi rasa.

5. Memperbaiki kelemahan diri dari semasa ke semasa.

Ada kelemahan diri yang boleh kita perbaiki seperti lemah dalam pelajaran Bahasa Inggeris atau Matematik.

Kelemahan ini boleh diperbaiki dengan membuat latih tubi, atau belajar dengan kawan-kawan sehingga berjaya menguasainya.

6. Menetapkan matlamat dengan jelas.

Sebagai seorang pelajar, kita boleh menetapkan matlamat dengan jelas apa yang diinginkan ketika di sekolah.

Kebiasaannya sebagai seorang pelajar pastinya mahukan kejayaan dalam pelajaran. Dengan menetapkan matlamat, kita akan termotivasi untuk mencapainya walau dengan apa cara sekalipun.

7. Mendekatkan diri dengan Allah.

Sebagai seorang yang beragama Islam, kita perlu sentiasa mendekatkan diri dengan Pencipta. Kerja solat setiap hari dan berdoa kepada Allah supaya dapat melakukan segala tugasan dengan sempurna serta lancar. Yakinlah Allah akan menolong kita.

Kesimpulannya, motivasi yang tinggi perlu ditanam dalam diri setiap pelajar untuk memastikan mereka sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dalam kehidupan. Anggaplah cabaran dan dugaan itu, proses untuk mematangkan anda menjadi semakin berjaya pada masa akan datang!