Membina nilai murni dalam sesebuah pasukan adalah di mana satu kumpulan tersebut sepakat dan saling berkerjasama untuk mencapai matlamat dengan menegakkan nilai moral dalam masyarakat. Ini kerana, tidak dinafikan terdapat banyak kejadian jenayah yang dilakukan beramai-ramai. Walaupun ia tetap menunjukkan semangat berpasukan namun ia adalah salah daripada segi agama dan undang-undang.
Justeru, semangat berpasukan sebegini tidak harus dicontohi dan dijadikan ikutan. Mengutamakan nilai-nilai murni dalam semangat pasukan adalah seperti mengekalkan intergriti diri dalam melaksanakan tugas. Setiap ahli harus bersikap jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Selain daripada itu, ahli pasukan perlu fokus kepada apa yang boleh disumbangkan untuk membina nilai murni dalam semangat berpasukan. Sebagai contoh seorang ahli yang lain berkemampuan untuk menyumbangkan dana dalam bentuk wang ringgit untuk menggerakkan program, maka ahli pasukan lain yang kurang berkemampuan untuk menyumbangkan wang ringgit pula haruslah terus peka dan secara sukarela menyumbangkan tenaga.
Jika ada di antara ahli yang mempunyai idea bernas pula, jangan sesekali bersikap kedekut ilmu. Segala perbuatan dan sumbangan yang baik haruslah dikongsi bersama. Dengan cara ini, barulah kejayaan dan kecemerlangan dalam sesebuah pasukan dapat dicapai.
Pelbagai natijah buruk yang boleh berlaku sekiranya sesebuah pasukan atau organisasi gagal untuk membina nilai murni dalam semangat pasukan ini. Antaranya keadaan tempat kerja atau organisasi tersebut akan dilanda konflik dan ahli pasukan akan saling salah menyalahkan antara satu sama lain jika wujudnya sebarang masalah.
Apa yang lebih membimbangkan sekiranya tidak disertapkan nilai-nilai murni dan diutamakan dalam semangat pasukan, kes-kes penyelewengan akan berlaku. Adalah menjadi tugas utama kepada ketua pasukan dan pemimpin untuk mengenalpasti kemerosotan nilai-nilai murni dalam pasukannya dan sekaligus mengambil langkah drastik bagi mencegah masalah yang lebih besar terjadi.
Sebab mengapa kerisauan lebih banyak membunuh orang berbanding pekerjaan ialah kerana terlalu ramai orang yang risau berbanding yang bekerja – Robert Frost
Moral dan nilai murni yang tinggi akan membantu ahli pasukan untuk lebih bersemangat dan bermotivasi setiap hari dalam melaksanakan tugas. Mereka juga akan lebih produktif dalam memberikan idea-idea baru untuk kemajuan bersama.