Senyuman ikhlas yang berharga adalah perlu diberikan kepada setiap insan untuk membantu menyebarkan aura positif kepada semua tidak mengira masa. Senyuman dan gerak bibir seseorang juga akan memberikan banyak kisah dan cerita tentang pemiliknya. Sebagai contoh, lukisan Mona Lisa Potret yang sangat mahal harganya di dunia ini adalah semata-mata kerana dikatakan mempunyai senyuman yang menakjubkan.
Begitulah juga diibaratkan dengan betapa besarnya gerak bibir yang dipanggil senyuman ini tadi kepada masyarakat sekeliling terutama dalam membentuk dan mengekalkan semangat berpasukan yang harmoni dan membahagiakan. Justeru, kita perlu sentiasa melatih bibir untuk sentiasa tersenyum.
Senyuman ikhlas yang berharga juga bukanlah seumpama pepatang lama Melayu “senyum kambing” atau dikenali juga sebagai “senyum sinis”. Dua istilah senyuman tersebut dikenali dengan tujuan untuk mengejek atau memperlekehkan seseorang. Justeru, ia bukanlah satu perbuatan yang bagus untuk diamalkan dalam konsep teambuilding.
Selain daripada itu, gerak bibir juga dikenali sebagai pembuka kata-kata. Oleh yang demikian, maka adalah perlu bagi ahli pasukan yang cemerlang untuk melatih gerak bibir mereka dengan memberikan gambaran positif semasa menguntum senyuman. Acap kali kita mendengar pepatah “senyum itu ibarat satu sedekah”, yang memberitahu kita bahawa insan yang sentiasa menguntum senyuman ikhlas pasti murah dan mudah jalan rezekinya.
Senyuman ikhlas yang berharga ini juga adalah berfungsi sebagai pemangkin semangat positif dalam pasukan. Justeru, belajarlah untuk tersenyum supaya insan lain turut tersenyum kepada anda. Kesan daripada memberikan senyuman yang ikhlas ini antaranya adalah perhubungan akan menjadi lebih lancar dan komunikasi akan menjadi lebih lemah lembut tanpa sebarang tekanan dan paksaan.
Selain daripada itu, senyuman ikhlas yang dilemparkan juga boleh memendekkan rasa amarah sekiranya terjadinya konflik dalam sesebuah pasukan. Selain dapat menjadikan wajah lebih awet muda, senyuman ikhlas juga membantu mengurangkan stress dan tekanan.
Justeru, jika anda masih belum melemparkan senyuman pada hari ini, jangan ragu-ragu untuk mulai tersenyum sekarang untuk kita merasai nikmat hidup dikelilingi oleh semangat positif sentiasa dan hari-hari mendatang akan lebih bahagia.
Jika anda ada tugas untuk dilaksanakan dan sangat berminat, seronok dan tercabar melakukannya, anda akan memberikan sepenuh tenaga. Dalam keseronokan, kesakitan dan keletihan akan hilang dan semangat yang kuat untuk mencapai hasilnya akan mengatasi keletihan yang dirasai. – Jimmy Carter.