Kekuatan keyakinan adalah satu semangat yang perlu ada dalam diri setiap individu tatkala ditimpa pelbagai ujian dan musibah. Ramai individu yang kalah dalam perjuangan hidup dan tidak mampu lagi untuk bangkit berjuang lantaran hilangkan keyakinan terhadap diri dan kehidupan. Malah apa yang lebih buruk, ada di kalangan mereka juga yang lebih senang mengambil jalan singkat dengan cara membunuh diri.
Perkara pertama yang perlu difahami oleh setiap individu, bahawa semua manusia itu dilahirkan dengan pelbagai masalah dan dugaan dalam kehidupan mereka. Dalam sesebuah organisasi, jabatan atau kumpulan juga pelbagai jenis masalah yang perlu ditangani dalam memacu kejayaan.
Justeru, melalui kekuatan keyakinan dan sentiasa memaafkan diri sendirilah yang akan membantu setiap individu itu restart atau memulakan semula sesuatu kegagalan. Tanpa semangat keyakinan diri yang tinggi seseorang itu pasti akan tergapai-gapai untuk mencari hala tujuan semula. Semangat keyakinan ini terbahagi kepada tiga :
- Keyakinan akan perkerjaannya
Keyakinan akan pekerjaannya ini adalah satu jenis pertimbangan yang perlu diambil oleh seseorang apabila terjadinya masalah dan konflik di tempat kerja. Sebagai contoh, adakah wajar untuk seseorang itu meletakkan jawatan hanya disebabkan perselisihan faham dengan teman sekerja. Melalui daya kekuatan keyakinan, seseorang itu harus bijak membuat keputusan dengan mengetahui kedudukan kewangannya dan impak yang terjadi sekiranya dia meletakkan jawatan. Dia perlu memahami sekiranya dia meletakkan jawatan maka dia perlu mencari kerja lain dan bermula semula dari bawah. Justeru, dalam situasi ini kebolehan membuat keputusan secara rasional adalah sangat perlu.
- Keyakinan akan kemampuannya
Keyakinan akan kemampuannya ini lebih senang digambarkan kepada ahli perniagaan yang sering kali jatuh bangun dalam selok belok dunia perniagaan ini. Namun, lantaran adanya semangat kekuatan keyakinan ini, golongan seperti ini masih tetap berusaha untuk mengembangkan perniagaan dan sentiasa cuba memperbaiki strategi pemasaran mereka. Kebiasaannya golongan seperti ini mempunyai semangat motivasi yang sangat tinggi.
- Keyakinan bahawa masih ada hari esok
Keyakinan bahawa masih ada hari esok adalah satu jenis terapi dan harapan kepada mereka yang sedang dilanda kekecewaan. Maka untuk menetapkan semula langkah-langkah yang perlu diambil pada keesokkan harinya di samping sentiasa berdoa maka mereka akan mengorak semula perjalanan mereka dengan fikiran dan semangat positif.
Kesimpulannya, kekuatan keyakinan juga adalah asas yang penting dalam menentukan kejayaan seseorang malah juga kejayaan sesebuah organisasi.
Hidup kita adalah apa yang kita fikirkan dan kita gagaskan – Marcus Aurelius