Team Building

5 Cara mendidik anak di rumah

Pendidikan awal anak-anak bermula dari rumah. Ibu bapa jugalah yang mula mencorakkan peribadi anak-anak sejak dilahirkan ke dunia.

Tauladan yang baik perlu dipertontonkan ibu bapa di rumah kepada anak-anak supaya mereka dapat mencotohi ketika berada di luar seperti di sekolah.

Antara lima cara mendidik anak di rumah ialah :

1.Berkasih sayang

Anak-anak memerlukan kasih sayang dari seorang ibu dan bapa. Curahan kasih sayang yang mencukupi untuk anak-anak dapat mendidik jiwa mereka sentiasa tenang. Kasih sayang boleh ditunjukkan dengan memberi perhatian kepada anak-anak seperti mendengar cerita mereka dengan penuh minat dan menjawab setiap soalan yang diajukan secara berhemah. Sesekali mengelus rambut mereka ketika menonton televisyen juga sudah cukup membuatkan anak-anak merasai kasih sayang ibu bapa mereka.

2.Mengemas mainan

Anak-anak perlu dilatih untuk mengemas mainan mereka sendiri selepas bermain. Ibu bapa boleh menyediakan bakul atau kotak bagi memudahkan anak-anak mengemas mainan mereka selepas puas bermain atau tiba waktu untuk tidur, makan atau melakukan kerja sekolah. Dalam hal ini, ibu bapa perlu bertegas kerana anak-anak akan mencari pelbagai alasan untuk tidak melakukannya.

3.Membahagikan tugas

Ibu bapa juga boleh mencuba teknik membahagikan tugas sama rata kepada anak-anak. Buat satu aktiviti mengemas rumah dan berikan arahan jelas kepada anak-anak untuk memilih tugas yang mereka suka. Contohnya kakak menyapu lantai, adik mengemas bilik, dan ibu mencuci baju. Pastika ibu bapa juga memantau tindakan anak-anak supaya tidak tercedera. Jangan lokek memberi pujian selepas anak-anak menyelesaikan tugasan mereka.

4.Adab ketika makan

Anak-anak perlu diajar adab ketika menikmati makanan dengan betul. Hal ini, akan memudahkan anda ketika ingin keluar makan di luar bersama keluarga. Ketika di meja makan, anak perlu fokus kepada makanan dan tidak boleh menggunakan smartphone dan bergurau senda berlebihan. Anak-anak juga boleh diajar menggunakan set kutleri dengan betul.

5.Membetulkan cadar

Walaupun sesetengah orang menganggap mengemas bilik tidur dan membetulkan cadar selepas bangun tidur adalah benda remeh. Namun tahukan anda, perbuatan yang kecil ini dapat membantu mendisiplinkan anak-anak sejak dari kecil.

Sebagai ibu bapa, jangan alpa dengan tugasan hakiki mendidik anak-anak di rumah. Jadilah ibu bapa yang bijak dan kreatif ketika ingin memberi didikan anak-anak walaupun sekadar melakukan kerja-kerja rumah. Anda boleh mulakan dengan lima cara mendidik anak di rumah ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *