Kem Minda Pelajar diadakan bagi mengasah bakat kepimpinan dalam diri setiap individu di samping memperkenalkan gerak kerja berorganisasi, memupuk keyakinan diri dan menjauhkan diri dari gaya hidup yang tidak sihat. Kebiasaannya, modul-modul yang terdapat di pelbagai pusat latihan dan rekreasi mengandungi modul aktiviti luar dan dalam bilik darjah. Paduan hasil dari kedua-dua aktiviti luar dan dalam ini dilihat penting bagi mendapatkan keseimbangan kecergasan fizikal dan ketahanan minda serta melatih kemahiran berfikir pelajar secara kritis dan kreatif.
Oleh kerana ini, modul-modul yang terdapat di Asia Camp khususnya sentiasa ditambahbaikkan dari masa ke semasa bagi mendapatkan kualiti latihan yang bermutu tinggi.
Antara modul kepimpinan yang bersifat dalaman (yakni diadakan di dalam bilik kelas atau ruang tertutup) di kem minda pelajar di Asia Camp ialah aktiviti pembentangan berkumpulan. Objektif utamanya adalah mengasah kemahiran pelajar berucap di khalayak ramai, berani ke hadapan, bersifat terbuka dan mampu menerima komen dari yang lain serta bertanggungjawab dalam menyiapkan tugasan yang diberikan.
Seringkali di kem minda pelajar, aktiviti pembentangan ini dipandang mudah oleh kebanyakan pelajar hatta juga oleh sesetengah dewasa. Namun demikian, aktiviti pembentangan berkumpulan ini membuka ruang untuk diri menerima pendapat, komen dan kritikan dari kawan-kawan yang lain. Bermula dari menyiapkan tugasan di kertas majong untuk dipersembahkan ideanya kepada umum, membentangkan idea dan mempertahankan idea semuanya memerlukan kemahiran-kemahiran tertentu yang perlu diasah dan digilap agar sesi perkongsian dan percambahan idea itu berada di dalam suasana yang tenang dan membina.
Seringkali juga, ramai berpendapat bahawa sesi pembentangan berkumpulan ini merupakan sesi melanyak atau menghentam para peserta dengan gasakan soalan-soalan cepumas. Hal ini menyebabkan ramai di kalangan kita, khususnya adik-adik pelajar yang baru meniti dewasa takut untuk tampil ke hadapan, berucap dan membentangkan idea serta isi kumpulannya kepada umum. Ini merupakan satu perkara yang perlu dijernihkan semula dan bertentangan dengan objektif pembentangan berkumpulan di kem minda pelajar.
Haruslah diingatkan bahawa, aktiviti pembentangan merupakan sesi latihan bersoal jawab secara kritis dan kreatif, melatih meningkatkan daya fokus dalam berfikir, serta memahami cara diplomasi untuk meraikan pendapat rakan atau menolak pandangan yang lain secara lembut. Ini semua merupakan seni dalam berucap dan kemahiran sosial yang perlu digilap. Hasil dari aktiviti-aktiviti pembentangan sebeginilah akan mampu melahirkan pelajar yang mempunyai kriteria pemimpin yang prihatin, punya empati, bertanggungjawab dan menghormati yang lain.